Dalam meniti arus pembangunan yang kian pesat pada hari ini, didapati antara salah satu cabaran besar yang tidak boleh diabaikan dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya adalah berhubung isu berkaitan sumber tenaga.
Memandangkan sumber tenaga ini menjadi nadi penting dalam segala urusan seharian, maka kelangsungannya perlulah dipelihara agar permintaan terhadapnya dapat dipenuhi dalam memastikan tuntutan pembangunan negara tidak terjejas.
Namun demikian, apa yang membimbangkan adalah sumber-sumber asas utama yang digunakan bagi menjana tenaga elektrik ini merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu dan gas asli yang pastinya lama kelamaan akan kehabisan. Jika situasi ini berlaku pastinya ia akan memberi dampak yang besar kepada generasi akan datang yang mungkin bakal berdepan dengan krisis tenaga yang kritikal pada masa hadapan.
Justeru, dalam menghadapi kemungkinan ini penggunaan elektrik perlulah secara berhemah dan tidak dibazirkan dengan sewenang-wenangnya agar kelangsungan sumber ini dapat terus dikekalkan bagi menampung keperluan generasi pada masa akan datang dan tidak pupus daripada muka bumi.
Sementelah, Islam sendiri sangat mengeji umatnya melakukan pembaziran kerana ia merupakan perbuatan syaitan, sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya (Surah al-Israa’, ayat 27) yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Ayat di atas memberi gambaran jelas kepada kita bahawa orang-orang yang membelanjakan segala nikmat kurniaan Allah dengan boros pada jalan yang dilarang oleh Allah SWT, bermakna mereka telah kufurkan nikmat Allah, yakni tidak bersyukur di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Malah, keadaan mereka yang melakukan demikian telah disamakan dengan perbuatan syaitan yang kufur kepada Allah kerana telah menghabiskan dengan rakusnya segala daya usaha yang diberikan oleh Allah SWT untuk menyesatkan manusia di atas muka bumi dan menghasut mereka untuk menderhaka kepada Allah SWT.
Larangan melakukan pembaziran seharusnya diberi perhatian yang serius kerana ia boleh mengundang mudharat di kemudian hari. Dalam konteks sumber tenaga elektrik misalnya, ia boleh membawa kepada kepupusan sumber-sumber asas yang diperlukan bagi menjana tenaga ini yang seterusnya pasti turut memberi kesan kepada makhluk lain di atas muka bumi.
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman lagi di dalam surah al-An’aam, ayat 141 yang bermaksud: “…janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
Selain melakukan penjimatan dengan mengelakkan pembaziran, usaha berterusan dan proaktif perlu digiatkan dalam meneroka dan membangunkan sumber tenaga alternatif lain untuk mengurangkan kebergantungan utama kepada sumber arang batu dan gas asli serta mengalih kebergantungan kepada sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui dan lebih mesra alam.
Tambahan pula, kebergantungan secara berterusan kepada sumber yang semakin menyusut dan berhadapan risiko kehabisan di kemudian hari pastinya tidak menjamin kelangsungan kepada pembangunan negara. Selain itu, kesan pencemaran yang dihasilkan daripada penggunaan sumber tenaga sedia ada (arang batu dan gas asli) juga pastinya akan menjadi lebih meruncing dan tidak dapat dikurangkan jika masih terus bergantung sepenuhnya kepada sumber tenaga berkenaan.
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita memikirkan secara lebih serius tentang penerokaan sumber tenaga hijau yang dilihat mempunyai prospek yang lebih tinggi untuk diaplikasikan sebagai sumber penjanaan tenaga utama negara pada masa hadapan.
Antaranya, dengan mengkaji, meneliti dan mengenalpasti sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar, tenaga angin, tenaga hidro dan tenaga nuklear dengan melihat secara lebih mendalam dari pelbagai aspek yang mungkin berpotensi untuk diaplikasikan bersesuaian dalam konteks semasa negara pada hari ini.
Dengan pengaplikasian teknologi hijau, setidak-tidaknya kelangsungan sumber dapat dijaga dan dipelihara, selain masa depan dan kesinambungan penjanaan tenaga dapat diteruskan dengan lebih meyakinkan terutamanya dalam memastikan generasi pada masa akan datang dapat menikmati bekalan tenaga boleh diperbaharui yang lebih bersih serta tidak mencemarkan alam, selamat, efisien, dan berkekalan.
Ini pastinya sangat bertepatan dengan roh Islam sendiri yang begitu menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran dan kelangsungan sumber yang perlu dijaga dan dipelihara selaku khalifah Allah SWT di atas muka bumi dalam memastikan keseimbangan alam sekitar terus dapat dikekalkan.
Selain itu, terdapat beberapa kelebihan lain daripada penggunaan tenaga alternatif. Penjanaan tenaga solar misalnya, boleh dijana pada tahap yang optimum dan menjana cukup tenaga pada harga yang sangat rendah bagi membangunkan pengeluaran tenaga yang berdaya maju.
Malah, ia dilihat sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada sumber tenaga kita kerana tidak bergantung kepada mana-mana sumber asing dan terdapat di semua negara di dunia yang merupakan nikmat perkongsian bersama yang Allah SWT kurniakan kepada semua makhluk hidupan di muka bumi. Tambahan pula, ia merupakan proses semulajadi serta tidak membawa sebarang kemudharatan kepada manusia dan juga makhluk hidupan lain.
Manakala bagi tenaga nuklear pula, ia turut memberi manfaat dalam bidang perubatan. Sebagai contoh, sinar gamma yang terhasil daripada tenaga nuklear dapat mencegah penyakit kanser serta mengesan keadaan sistem organ dalam tulang dalaman manusia. Ini sekali gus dapat mengelakkan manusia daripada menghidap penyakit barah yang berbahaya kerana rawatan perubatan dapat dilakukan sebelum penyakit memasuki peringkat yang lebih serius.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat juga kesan negatif daripada pengaplikasian sumber tenaga alternatif ini. Misalnya, aktiviti penebangan dan pembersihan hutan untuk tujuan pembinaan empangan akan menyebabkan kawasan tadahan menjadi semakin berkurang dan hidupan liar di daratan serta organisma hidro akan musnah.
Bagi pembangunan tenaga nuklear pula, ia boleh memberi impak kepada kesihatan manusia kerana tenaga nuklear menghasilkan radiasi yang sangat berbahaya yang boleh merosakkan sel badan manusia, selain dibimbangi risiko berlakunya kemalangan di loji tenaga nuklear.
Namun demikian jika diamati dari sudut jangka panjang, kebaikan daripada penggunaan sumber tenaga alternatif adalah jauh lebih besar berbanding aspek keburukan terutamanya dari segi kemaslahatan terhadap kehidupan sejagat.
Ini kerana, sedikit kelemahan yang mungkin dihadapi akan dapat diatasi dengan melakukan perancangan dan pengurusan yang lebih teliti, terancang serta bijaksana bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk yang bakal timbul di kemudian hari.
Sedangkan, keperluan mencari alternatif kepada sumber tenaga merupakan satu kemestian dan langkah terbaik dalam usaha menangani krisis tenaga yang mungkin bakal dihadapi oleh generasi pada masa hadapan dalam usaha membangunkan tamadun ke peringkat yang lebih tinggi.
Bahkan, Islam sendiri menggalakkan umatnya untuk sentiasa berusaha bagi mencapai kemajuan hidup kerana ia merupakan sebahagian daripada tuntutan agama ke arah menikmati keselesaan dan kebahagiaan hidup selaku khalifah di atas muka bumi, selain tidak sekali-kali mengabaikan tugas memelihara kepentingan makhluk lain serta kesejahteraan planet bumi seluruhnya.