Dalam satu kajian yang dibuat oleh Singh et. al (2020) ke atas 326 responden – yang terdiri daripada 103 : Melayu; 111: Cina dan 112: India – bagi melihat corak pengambilan alkohol dan risiko-risiko tingkah laku yang berkaitan dengannya dalam kalangan millennial di Lembah Klang mendapati 47.5% daripada mereka mengaku meminum arak. Daripada angka ini 20% yang dikaji mengaku mereka merupakan binge drinkers yakni mereka yang minum dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa sehingga mabuk atau memudaratkan. Antara risiko tingkah laku yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol dalam kajian Singh et.al ini ialah memandu dalam keadaan mabuk, bergaduh, terlibat dalam hubungan seks secara paksa dan masalah merokok. Apa yang mendukacitakan ialah kajian Singh et.al ini mendapati 8% daripada binge drinkers ialah golongan millennial Melayu.
Sebagai sebuah negara yang dihuni secara majoriti orang Islam, gejala minum arak tidak seharus berlaku terutamanya dalam kalangan orang Islam. Namun dapatan kajian ini dan beberapa kajian menunjukkan masalah ini berlaku dan lebih mengejutkan ia turut membabitkan golongan pelajar dan generasi muda. Ini merupakan satu hakikat yang sukar diterima kerana hukum meminum minuman yang memabukkan adalah jelas sekali di sisi Islam iaitu haram.
Ketegasan Islam dalam pengharaman arak kerana kemudaratan yang dihasilkannya ialah satu bentuk peraturan yang bersandarkan kepada justifikasi yang kukuh dan rasional. Dalam al-Quran, minuman yang memabukkan dirujuk sebagai khamr. Dalam surah al-Maidah ayat ke-90, Allah SWT menggambarkan khamr ini sebagai al-rijs yakni kotoran/najis yang termasuk dalam perbuatan syaitan dan merupakan pencetus kepada permusuhan (al-‘adawah) dan benci membenci (al-baghda’). Hal ini berlaku kerana apabila seseorang itu mabuk maka dia akan kehilangan kewarasan. Dari sini akan lahir pula pelbagai perkataan dan perbuatan buruk yang menyakiti hati manusia yang akhirnya memungkinkan berlaku pembunuhan, pukul memukul, rompakan, kefasikan, penyebaran rahsia dan pengkhianatan terhadap pemerintah dan negara (Al-Maraghiy, 4:1690-1691, Hamka, 7:40).
Justifikasi pengharaman arak oleh Islam ini turut disokong oleh kajian-kajian semasa yang mengaitkan kesan bahaya pengambilan arak ke atas peminum dan persekitaran peminum tadi serta masyarakat keseluruhan. Kesan-kesan ini termasuklah kesan-kesan sosial dan kesan-kesan ekonomi. Kesan-kesan sosial yang dimaksudkan di sini merujuk kos yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat dan persekitaran si peminum yakni ia tidak secara eksklusif ditanggung oleh peminum arak tadi sahaja – seperti kos membeli alkohol untuk kegunaannya. Kos sosial ini lebih menjurus kepada kesan ke atas kesejahteraan masyarakat. Antara contoh-contoh kesan sosial ialah kemalangan jalan raya, masalah di tempat kerja, kemiskinan, kesihatan, keganasan rumah tangga, kegagalan melaksanakan peranan sosial terhadap keluarga dan sebagainya. Seterusnya kesan sosial ini akan memberi impak negatif terhadap aspek ekonomi secara keseluruhan. Hal ini wujud kerana aspek sosial merupakan unsur penting yang boleh mempengaruhi produktiviti dan mutu penghasilan kerja masyarakat dan negara.
Di Malaysia, dapatan kajian dan kutipan data-data yang dibuat oleh Assunta, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut senada dengan dapatan-dapatan kajian yang dilakukan di peringkat antarabangsa tentang perkara ini.
Kajian yang dibuat oleh Assunta pada 2001 menunjukkan bahawa penagihan arak merupakan faktor utama yang memburukkan lagi masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat terutama kaum India yang bekerja sebagai buruh di ladang getah dan kelapa sawit. Dalam sebulan pekerja-pekerja ladang ini boleh membelanjakan hampir keseluruhan gaji mereka bagi membeli arak. Ketagihan arak ini kemudiannya memporak-perandakan institusi keluarga dan kebiasaannya kaum wanita dan anak-anak menjadi mangsa yang terpaksa menanggung penderitaan ini yang wujud dalam bentuk penderaan dan juga pengabaian. Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 5.3% kes keganasan rumah tangga dan 4,5% kes penderaan anak-anak berpunca daripada alkohol (Mastura, 2016).
Selain memburukkan isu kemiskinan dan menyebabkan rumah tangga porak-peranda, pengambilan arak juga merupakan antara penyebab berlaku kemalangan jalan raya di Malaysia. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pemandu mabuk 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang tidak di bawah pengaruh alkohol. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tempoh 2014 sehingga 2018, sebanyak 637 kematian yang berpunca daripada kemalangan yang membabitkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol direkodkan.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) yang dibuat oleh Institut Kesihatan Umum, KKM, 11.8% daripada penduduk Malaysia mengambil alkohol di mana 45.8% daripada angka ini mengambil alkohol secara mudarat/sehingga mabuk. NHMS 2019 ini turut melaporkan pengambilan alkohol dalam kalangan rakyat Malaysia juga menjadi penyebab kepada kematian akibat kemalangan jalan raya iaitu 17.6% dalam kalangan lelaki dan 10.9% dalam kalangan wanita, sirosis hati (lelaki,16.8%; wanita,16.2%) dan juga kanser (lelaki, 2.2%, wanita, 0.6%). Selain itu, terdapat data-data kemasukan ke hospital-hospital di bawah KKM yang menunjukkan 48% daripada kes kemasukan ke hospital akibat kecelaruan mental dan tingkah laku yang berpunca dari pengambilan bahan psikoaktif (mental and behavioural disorder due to psychoactive substance) adalah berpunca daripada pengambilan alkohol.
Arak turut menjadi punca kepada pergaduhan dan perbalahan baik dalam kalangan keluarga mahupun dalam kalangan masyarakat dan kaum. Data yang dikeluarkan oleh JKM menunjukkan sepanjang 2008 hingga 2010 terdapat 281 kes pergaduhan kaum yang berpunca daripada arak. Walaupun ini merupakan data lain, namun masalah pergaduhan kaum bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan Malaysia ialah sebuah negara majmuk. Sebarang ketegangan kaum yang berterusan boleh menyebabkan agenda pembangunan negara terbantut.
Islam mengharamkan penganutnya meminum arak. Meskipun al-Quran mengakui manfaat yang ada pada arak, namun pada masa yang sama ia juga menegaskan bahawa mudarat yang terhasil daripada pengambilan arak ini adalah lebih besar berbanding dengan manfaatnya. Hikmah pengharaman arak mempunyai kaitan dengan aspek penjagaan akal (hifz al-aql) yang terkandung dalam maqasid al-syariah. Apabila manusia hilang kewarasan akal, maka pelbagai kesan buruk yang akan timbul. Dari hanya kesan ke atas penjagaan akal, kemudaratan arak menular kepada aspek penjagaan agama, keturunan, jiwa dan harta. Di sini impak negatif pengambilan arak dimanifestasikan, antara lain menerusi keganasan rumah tangga, kemalangan jalan raya, kemiskinan, pergaduhan, masalah kesihatan dan juga masalah prestasi kerja.
Dengan kata lain pengharaman arak oleh Islam adalah bersandarkan kepada justifikasi yang kukuh, rasional dan boleh diterima oleh mereka yang mempunyai akal yang waras baik dia seorang Muslim atau bukan Islam iaitu arak boleh menghilangkan maslahah atau unsur kebaikan dalam kehidupan manusia. Mungkin sudah tiba masanya kita melihat kembali aspek perundangan (syariah dan sivil), peraturan penjualan dan penguatkuasaan yang berkaitan dengan arak ini yang dilihat mempunyai ruang yang boleh ditambah baik bagi memastikan isu pengambilan arak dalam kalangan ahli masyarakat dapat ditangani demi mewujudkan satu bangsa yang sihat dan sejahtera.