Dalam wacana awam hari ini, zakat sering dibicarakan dari sudut kutipan dan kecekapan agihan. Namun, persoalan yang lebih mendasar jarang disentuh adalah adakah zakat kita masih menepati keadilan dan tujuan di syariatkan atau sudah mula menyimpang menjadi alat kepentingan?
Pesanan Rasulullah S.A.W. kepada Muʿādh ibn Jabal r.a. sewaktu diutus ke Yaman meletakkan asas hukum yang jelas iaitu zakat wajib diambil daripada golongan kaya setempat dan diserahkan kembali kepada fakir miskin di wilayah yang sama. Hal ini bukanlah sekadar satu prosedur pentadbiran tetapi merupakan teras falsafah keadilan sosial yang menjunjung prinsip pemerkasaan lokaliti. Namun begitu, realiti pelaksanaan hari ini kadangkala dilihat semakin tersasar daripada paksi dan tujuan asalnya. Walaupun majoriti pemegang taruh masih memegang teguh amanah ini, tidak dinafikan wujudnya lompang kepincangan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan, lantas menafikan hak asnaf di kawasan sepatutnya.
Kini, sempadan geografi bukan lagi penghalang. Kemajuan dan kepantasan teknologi jari dan lambakan institusi membolehkan muzakki (pembayar zakat) menyalurkan wang mereka ke mana-mana sahaja atas alasan keyakinan terhadap pengurusan luar, kecekapan tatakeloa atau tarikan insentif. Impak langsung daripada fenomena “zakat tanpa sempadan” ini amat kritikal kerana menyumbang berlakunya ketirisan aliran dana yang merugikan asnaf tempatan, membiarkan mereka terus terkapai-kapai dalam keperitan hidup yang kian hari kian sempit. Apa yang lebih menakutkan, keterbukaan tanpa kawalan ini turut menjadi medan eksploitasi bagi segelintir pihak khususnya NGO atau pertubuhan serta individu tertentu yang menunggang sentimen agama demi mengaut dana awam. Mereka menjaja naratif emosi yang memancing simpati namun wang yang dikumpul jarang sekali sampai ke tangan asnaf yang sebenar. Pada titik inilah, zakat yang sepatutnya menjadi instrumen pembelaan insan dan amanah umat, berdepan bahaya dicemari dan diubah menjadi sekadar alat kepentingan peribadi.
Al-Quran telah menetapkan peruntukan zakat dengan amat jelas menerusi firman Allah SWT: “Sesungguhnya (innamā) sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, miskin…” (Surah At-Taubah: 60). Penggunaan kalimah “innamā” dalam ayat ini bukan sekadar gaya bahasa biasa, sebaliknya ia berfungsi sebagai hasr (pembatasan) yang amat tegas dan membawa maksud “hanyalah untuk” dan “tidak kepada selainnya”. Ini bermakna dana zakat terikat secara mutlak kepada lapan asnaf yang dikhususkan, bukannya dana awam bebas yang boleh disalurkan untuk apa jua tujuan atas alasan ‘kebaikan umum’. Tafsiran ini disokong oleh Imam Ibn Kathir yang menjelaskan bahawa pengagihan zakat adalah ketetapan wahyu yang qat’i sekaligus menutup pintu ijtihad yang terlalu longgar. Imam Al-Tabari turut menegaskan bahawa zakat merupakan hak eksklusif golongan yang dinamakan, bukan harta umum yang boleh diagih sesuka hati. Persoalannya di sini tatkala dana zakat mula dicairkan untuk pelbagai tujuan di luar keperluan asnaf yang sebenar, adakah kita hakikatnya masih setia pada prinsip batasan “innamā” yang digariskan oleh Allah SWT?
Selain itu, antara ruang yang paling terdedah kepada polemik dan ketirisan dana zakat ialah perluasan tafsiran asnaf fisabilillah. Secara jumhur, ulama daripada empat mazhab utama mengehadkan takrifannya secara ketat kepada jihad dan hal ehwal pertahanan Islam. Namun begitu, seiring peredaran zaman, tafsiran ini telah dikembangkan oleh ulama’ kontemporari seperti Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi yang merangkumi sektor pendidikan, usaha dakwah dan aktiviti kemasyarakatan. Walaupun ijtihad peluasan ini mempunyai asas dalil syarak, masalah mula timbul apabila diaplikasikan secara semberono tanpa kawalan disiplin yang ketat. Akibatnya, hampir apa jua aktiviti organisasi dengan mudah dilabelkan atas nama fisabilillah, menjadikan asnaf ini seolah-olah “jalan pintas” untuk mengakses dana zakat awam. Impaknya amat membimbangkan kerana fokus pengagihan tidak lagi tertumpu kepada asnaf fakir dan miskin yang berdepan desakan hidup, sebaliknya dana tersasar kepada pelbagai agenda pengurusan yang tidak menepati awlawiyyat (keutamaan).
Dasawarsa ini, satu perkembangan yang membimbangkan dan semakin menular pada masa kini ialah kecenderungan menjadikan zakat sebagai sumber pembiayaan utama sesebuah organisasi. Modus operandinya sering kali digerakkan melalui pengumpulan dana yang diiringi dengan pelbagai tawaran atau janji pulangan tertentu seolah-olah ibadah yang wajib bagi golongan yang berkemampuan itu tidak tercapai maqasid pensyariatan ibadah zakat. Dana yang terkumpul ini kemudiannya diserap secara meluas bagi menampung kos operasi, urusan pentadbiran dan kempen pengembangan institusi itu sendiri. Lebih parah lagi, wujud juga keadaan di mana kewangan tersebut disalurkan kepada pihak-pihak tertentu yang jelas terikat dengan vested interest atau kepentingan peribadi organisasi.
Walaupun pendekatan sebegini mungkin cuba diwajarkan atau dibuktikan sebagai “sah” dari sudut teknikal pengurusan, tetapi tetap mengundang polemik yang kritikal apabila ditimbang di atas neraca maqasid syariah. Persoalannya, di manakah letaknya keadilan buat golongan asnaf fakir dan miskin yang selayaknya diangkat sebagai keutamaan mutlak? Tatkala institusi mula melayan dana zakat tidak ubah seperti sebuah “modal pusingan”, kita harus berani bermuhasabah dan bertanya, adakah amalan ini masih layak dipanggil ibadah zakat atau ia hakikatnya telah berevolusi menjadi instrumen kewangan yang lain?
Jika ditelusuri dari sudut pengamalan di Malaysia, senario ini menuntut penegasan hukum yang tuntas. Umat Islam di seluruh negara wajar diperingatkan agar melunaskan kewajipan ini semata-mata melalui pusat pungutan zakat rasmi yang sah di setiap negeri. Perlu ditegaskan, pembayaran yang disalurkan melalui ejen, broker atau proksi yang tidak memiliki tauliah berisiko menjadikan zakat tersebut tidak sah. Pihak ketiga ini tidak berhak dan dilarang keras mengambil sebarang komisen daripada wang zakat. Status mereka bukanlah amil lantikan rasmi di bawah bidang kuasa Ulil Amri (pemerintah negeri), lantas sebarang alasan berteraskan akad wakalah (perwakilan) sama sekali tidak membenarkan mereka memotong peruntukan wang asnaf berkenaan.
Sementelahan, implikasinya amat besar dari sudut hukum. Berpandukan rujukan muktamad oleh Imam al-Nawawi melalui kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, sekiranya dana tersasar kepada pihak yang tidak berhak, maka zakat muzakki (pembayar) dikira belum tertunai dan masih berstatus berhutang ibadah zakat dan wajib qada zakat tersebut. Bayangkan skala kerosakannya, jika wang zakat yang dipindahkan secara tidak sah melalui ejen-ejen ini mencecah RM2 bilion, bermakna kesemua penyumbang yang terlibat masih memikul hutang zakat di sisi Allah SWT. Tuntasnya, umat Islam jangan sesekali terpedaya dengan sebarang kempen atau manipulasi Cash Back (pulangan tunai) dalam urusan ibadah ini. Perkara sebegini tidak pernah wujud dan tidak bertepatan dengan lunas syariat.
Demikian itu, sudah tiba masanya pembaharuan yang serius dan menyeluruh dilakukan dalam ekosistem pengurusan zakat. Prinsip lokaliti dan wilayah perlu diperkasa kembali agar keupayaan dana zakat dapat menyelesaikan kemelut kemiskinan tepat di tempat ia dikutip, manakala aliran pengagihan rentas wilayah wajib dikawal ketat agar ia tidak dinormalisasikan sebagai satu kebiasaan. Selain itu, tafsiran asnaf fisabilillah mesti diperhalusi dengan disiplin ilmu yang jelas bagi menutup pintu penyalahgunaan. Hal ini seiring dengan keperluan mendesak untuk menuntut tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada pihak institusi mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengendalikan dana umat.
Sudah terang lagi bersuluh, zakat bukan sekadar satu kewajipan ibadah semata-mata, sebaliknya ia merupakan sebuah sistem keadilan sosial yang sangat halus dan terancang. Apabila keluhuran sistem ini disalah guna, meskipun dihiasi dan berselindung di sebalik nama agama, yang terkorban kelak bukan sekadar prinsip syarak, tetapi kehidupan manusia yang sebenar iaitu golongan fakir, miskin dan mereka yang menaruh sepenuh harapan kepada amanah ini demi kelangsungan hidup.
Intihanya, kejayaan pengurusan zakat hakikatnya bukanlah diukur melalui jumlah angka dan jutaan ringgit yang megah dikutip tetapi ia menjawab persoalan asas insani tentang siapa yang akhirnya terbela dan siapa yang terus terpinggir dan tercicir.

