KUALA LUMPUR 15 Feb. – Badan yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa diminta supaya mengadakan kerjasama dengan ahli sains dan teknologi bagi membolehkan mereka membuat sesuatu keputusan dengan lebih tepat dan meyakinkan.
Pengarah Agrobio, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Makhdzir Mardan berkata, kerjasama antara dua pihak itu penting selaras dengan perkembangan semasa bidang sains dan teknologi yang berkait rapat dengan kehidupan umat Islam.
Katanya, keputusan yang dibuat secara bersama itu juga secara tidak langsung akan membantu umat Islam melaksanakan keputusan atau fatwa itu lebih yakin.
“Misalnya, jika berlaku najis mughalazah (babi dan anjing) diuraikan dan mungkin juga mengakibatkan hukumnya berubah, Majlis Fatwa perlu berbincang dengan ahli sains bagi mendapatkan cara bagi mengesan penguraian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Penumpuan ICT dan Biologi: Implikasi Terhadap Dakwah Islamiah pada seminar Islam Hadhari di sini hari ini.
Seminar selama dua hari bertajuk `Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah’ itu dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Makhdzir menjelaskan, terdapat banyak peralatan dan teknologi terkini yang dapat membantu ahli agama mengeluarkan keputusan mereka dengan lebih tepat.
Contohnya kata beliau, proses nanoteknologi yang dapat mendiagnosis kompaun najis khinzir di sungai, kompaun lemak khas yang terdapat pada khinzir, anjing dan bangkai serta mengenal pasti jenis-jenis najis sama ada najis ringan, pertengahan atau berat.
“Ini akan dapat membantu Majlis Fatwa membuat keputusan sama ada air di sesebuah sungai yang tercemar dengan najis misalnya, masih boleh digunakan atau tidak,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pembentang, Prof. Madya Dr. Juhana Salim dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, UPM berkata, adalah penting bagi umat Islam pada masa ini melengkapkan diri dengan ilmu agama dan menguasai teknologi bagi menyemarakkan lagi dakwah Islamiah.
Katanya, umat Islam perlu memikirkan cara bagaimana peralatan moden dapat dimanfaatkan bagi mendapatkan ilmu dan penyebaran idea secara lebih mudah, berpengaruh dan berkesan.
“Dalam konteks bioinformatik, ahli agama, pakar sains komputer dan teknologi maklumat serta pakar biologi perlu berkerjasama dalam membangunkan sistem, perkhidmatan dan produk berasaskan pengetahuan Islam,” katanya.
Dalam kertas kerja bertajuk “Menggunakan Bioinformatik Secara Strategik Untuk Dakwah Islamiah,” beliau berkata, bidang bioinformatik boleh dimanfaatkan dalam membantu mengenal pasti “tanda-tanda” saintifik (fakta saintifik) dalam al-Quran dan Sunnah yang masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata, penulisan kesarjanaan dalam bidang al-Quran dan Sains yang dilaporkan di kalangan pakar yang menjalankan penyelidikan untuk mengesan kenyataan saintifik yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah juga telah membawa mereka mengenali Islam dan memeluknya.
Sumber : Utusan Malaysia