KUALA LUMPUR 15 Feb. – Kebenaran kitab al-Quran yang diturunkan lebih 14,000 tahun lalu, banyak dibuktikan hasil penemuan dalam bidang sains biologi moden oleh para saintis masa kini.
Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Mohamed berkata, ini kerana tahap ilmu yang dibicarakan itu tidak mungkin dapat dicapai pada waktu itu tanpa bantuan alat-alat teknologi yang ada masa kini.
Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung mampu menarik minat orang Islam dan bukan Islam mengkaji tanda-tanda kebesaran Allah dalam al-Quran.
“Al-Quran sering mengajak manusia melihat ayat-ayat atau tanda-tanda kebesaran Allah dan ternyata semakin banyak ditemui, semakin terserlah kebenaran al-Quran.
“Malah dalam banyak fenomena alam termasuk kejadian manusia sendiri, binatang dan alam maya yang boleh dijadikan iktibar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk `Pengajaran Biologi Dari Al-Quran’ pada Seminar Islam Hadhari Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.
Dr. Abdul Latiff memberitahu, antara bukti biologi yang jelas dalam al-Quran adalah mengenai peringkat kejadian manusia, penerangan mengenai kulit dan deria sakit, tanda cap jari, habitat binatang dan gambaran kiamat.
Selain itu, beliau berkata, ada juga antara bukti penemuan itu digambarkan oleh Allah menerusi kisah-kisah Nabi dan umat terdahulu.
“Terlalu banyak contoh lain yang boleh dikemukakan tentang bukti kebenaran dan kekuasaan Allah tentang setiap penemuan biologi pada hari ini.
“Ini sejajar dengan janji Allah bahawa bukti ini akan datang dari segenap penjuru dan ufuk serta pada diri kejadian kita sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kebenaran ayat dalam al-Quran itu mampu menjadi asas kepada ketamadunan Islam dan menjadikan budaya ilmu sebagai penggerak tindak tanduk serta kemajuan masyarakat.
“Al-Quran bukanlah buku biologi tetapi sebagai panduan untuk kita hidup dengan lebih sempurna dan memenuhi sifat sebenar diri serta ummah di muka bumi ini,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia