Makanan adalah unsur yang penting dan selalu diambil oleh setiap individu. Ia bukan setakat penting untuk tumbesaran dan kesihatan badan tetapi juga untuk pembangunan jiwa.Namun, pernahkah terfikir , adakah makanan yang kita ambil adalah selamat atau sebaliknya?Selamat dalam ertikata makanan yang dimakan tidak mengandungi bahan pencemar pada aras yang membahayakan kesihatan. Sama ada di peringkat penghasilan, pengeluaran, pengedaran, penyediaan mahupun pengguna adalah sebahagian daripada rangkaian makanan, seharusnya memastikan keselamatan sesuatu makanan berada di tahap yang tidak membahayakan.
Memang benar ungkapan ‘kita adalah apa yang kita makan‘. Barangkali ia sudah sebati dengan masyarakat kini namun sejauh mana kata- kata tersebut dinilai dan digarap dalam amalan seharian? Intipati daripada ungkapan tersebut ialah apa yang kita makan, itulah kelak akan membina kesihatan badan, akal dan kerohanian. Ia menunjukkan betapa makanan menjadi sebahagian daripada pembentukan diri kita. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 168 yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu”. Dalam Kitab Tafsir al-Jalalain menyebut bahawa perkataan toyyiba (baik) itu adalah sifat kepada halal itu sendiri. Maka dapatlah di fahami bahawa setiap makanan yang halal itu mestilah juga baik daripada pelbagai segi samada bahan campurannya, bersih dan selamat dalam proses penyediaan serta dapat memberi manfaat kepada tubuh badan manusia.Yang menjadi persoalan kini, apakah makanan halal yang kita makan dikategorikan sebagai selamat dan baik untuk kesihatan? Pakej yang ditawarkan dalam al Quran cukup lengkap iaitu halalan toyyiba. Tetapi, adakah hakikat semasa memenuhi kehendak tersebut?
Di antara punca menyebabkan makanan tidak selamat ialah pencemaran disebabkan mikro-organisme seperti kuman dan bakteria, bahan kimia yang digunakan dan ditambah dalam pembuatan dan pemprosesan makanan serta pencemaran fizikal seperti kotoran dan debu.Antara mikro-organisma yang menyebabkan pencemaran makanan ialah bakteria Salmonella, E.Coli, Vibrio cholerae, Listeria monocytogens dan kumpulan bakteria Campylobacter. Bahan kimia yang wujud secara semula jadi juga boleh memudaratkan kesihatan makanan termasuk toksin daripada kulat atau cendawan. Ia juga boleh disebabkan bahan alah atau alergi dalam makanan laut dan kekacang. Di samping itu, pencemaran makanan diproses akibat bahan kimia boleh berlaku akibat penyimpanan dan pengendalian makanan yang tidak betul.
Terlalu banyak laporan dan berita yang didengar dan dibaca berkenaan dengan makanan Malaysia dikatakan tidak selamat untuk dimakan serta membahayakan kesihatan. Ia termasuklah roti, susu, daging, telur dan produk telur, minuman, minyak, sos, garam dan rempah. Makanan tersebut dikatakan mengandungi pencemar mikrobiologi ataupun patogen yang boleh menyebabkan penyakit seperti Salmonella typi dan Staphylococcus aureus. Ia menjadi penyebab kepada keracunan makanan. Semua makanan yang tersenarai adalah bahan asas yang dimakan oleh semua lapisan masyarakat. Lantas, apakah makanan yang selamat untuk kita makan?
Kita tidak seharusnya menuding jari mencari kesalahan pelbagai pihak. Tetapi setiap pihak yang terlibat didalam penghasilan makanan sehinggalah kepada pengguna harus mengambil perhatian. Ia bukan masalah picisan tetapi akan memberi kesan buruk sekiranya tidak ditangani. Banyak pengilang tidak mematuhi peraturan makanan yang digariskan menyebabkan pencemaran mikrobiologi, pewarna, perisa dan bahan pengawet yang berlebihan. Mereka juga tidak mematuhi pelabelan di samping kesalahan- kesalahan lain seperti pencemaran logam berat, penambahan pemanis berlebihan, terdapat unsur pestisid dalam makanan dan juga bahan anti oksidan. Pada dasarnya, kesemua penambahan bahan pengawet, perisa, pewarna dan anti oksidan adalah bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan proses penghasilan makanan tersebut, tetapi penggunaan yang berlebihan akan mendatangkan kemudaratan. Bahan pengawet yang ditambah ke dalam makanan boleh menyebabkan alahan, sesak nafas dan kanser. Walaupun jumlah setiap bahan penambah yang boleh ditambah ke dalam makanan telah digariskan oleh pihak berkuasa, namun masih ada pengilang yang gagal mematuhinya dan akhirnya memberi kesan kesihatan kepada pengguna.
Penggunaan asid borik dalam makanan juga dilarang di bawah Akta Makanan 1983 dan pesalah akan didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga 2 tahun. Bahan kimia tersebut digunakan sebagai bahan pembersih, flame retardant (bahan yang menghalang kemarakan api) dan juga sebagai antiseptik tetapi pengilang makanan yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan bahan tersebut untuk mengawet makanan yang segar yang bertujuan bagi memanjangkan tempoh hayat sesuatu makanan. Walaupun peraturan ini telah dikuatkuasakan, tetapi kehadiran asid borik masih lagi dikesan dalam mi kuning, bebola ikan, kek ikan dan kue teow. Di sini, dapat dilihat sikap pihak pengilang yang tidak telus bagi mendapatkan keuntungan walaupun dilabelkan pada pembungkusan bahan makanan tersebut ‘tanpa asid borik’.
Jika dilihat akan permasalahan ini, rangkaian makanan daripada pengeluar kepada pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan sesuatu makanan terjamin. Bagi pihak pengeluar, sudah tentu perlu memastikan pelabelan makanan diutamakan. Ini membolehkan pengguna membuat pilihan ke atas makanan yang hendak dibeli atau dimakan. Namun begitu, pelabelan makanan merupakan suatu masalah yang dihadapi oleh pengguna kerana sesetengahnya adalah tidak mesra pengguna. Kebanyakan pengguna tidak mengetahui apa yang mereka guna atau makan kerana tidak memahami pelabelan tersebut. Contohnya bahan tambah makanan yang dilabelkan dengan kod nombor atau alphabet atau secara ringkasnya menyatakan ‘mengandungi pewarna yang diluluskan’, ‘mengandungi perisa yang diluluskan’ atau ‘mengandungi bahan tambah yang diluluskan.’ Pelabelan sebegini amat mengelirukan pengguna apatah lagi pengguna adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Justeru, hal ini perlu dilihat sebagai sesuatu keadaan yang memerlukan perubahan dan penguatkuasaan undang- undang sama ada di pihak berkuasa mahupun pengeluar dan juga pengguna.
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa gabungan antara pewarna dan pengawet tiruan yang diambil oleh kanak- kanak dalam sesuatu makanan akan memberi kesan terhadap tabiat dan tingkahlaku kanak- kanak tersebut selain kurang tumpuan, panas baran, hiperaktif dan alahan. Justeru itu, pakar keselamatan makanan menasihati agar ibu bapa mengelakkan daripada memberi makanan yang mengandungi bahan tambah kepada anak- anak mereka. Kemudaratan akibat penggunaan bahan-bahan tersebut dalam makanan mungkin akan wujud dalam tempoh beberapa tahun, namun begitu tidak salah seandainya kita mengelakkan makanan tersebut terus diambil oleh anak- anak dan juga keluarga.
Justeru, kita sebagai pengguna, harus memikirkan bagaimana untuk menghadapi permasalahan ini. Makanan tersebut menjadi pilihan kita saban hari tetapi keselamatannya diragui. Prinsip bersederhana yang dianjurkan dalam Islam perlu sentiasa diamalkan agar kita tidak terjebak dengan kemudaratan yang dihidangkan. Sifat berhati- hati dalam memilih makanan juga mesti menjadi keutamaan. Kita seharusnya menggunakan kebijaksanaan semasa membeli makanan walaupun terdapat undang- undang yang mengawal rapi pemprosesan sesuatu makanan. Ini kerana terdapat juga pengeluar yang mempunyai kepentingan sendiri tanpa memikirkan kesan kepada kesihatan awam. Dan yang paling penting, setiap pengguna harus memiliki pendidikan tentang pemakanan agar tidak tertipu dengan pembungkusan yang menarik dan maklumat yang mengelirukan. Akhirnya, pakej halalan toyyiba yang dianjurkan dalam Islam dapat dijadikan matlamat dalam pemilihan makanan yang selamat.