Manusia sering meminta bukti dan mengemukakan banyak persoalan sebelum mempercayai sesuatu dan mengimaninya. Demikian pulalah dengan kewujudan dan kekuasaan Allah SW.T., maka manusia sering bertanyakan Rasul-Rasul utusan-Nya tentang bukti dan tanda-tanda kekuasaan Allah S. W. T. kerana manusia lebih cenderung melihat dan merasa bukti fizikal dan lahiriah dari hanya bukti kerohanian dan mental atau pemikiran.
Sebab itulah di dalam kitab suci al-Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan tentang tanda-tanda kebesaran Allah S. W. T. yang sering disebutkan ” … di antara tanda-tandanya ialah … ” iaitu yang menjelaskan tentang objek alam yang dapat dirasa dan dilihat manusia, yang berlaku dan berkembang di sekeliling makhluk manusia itu sendiri yang disandarkan kepada penciptanya yang tunggal iaitu Allah S.W.T. kerana tidak ada makhluk atau satu kuasa ghaib lain yang dapat menciptakannya seperti ciptaan Allah S.W.T. sendiri.
Maka amat menarik sekali dalam konteks tulisan saya kali ini ketika Allah S.W.T. memberikan satu bukti kebesaran dan kekuasaan-Nya, iaitu dengan firman Nya:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, ialah penciptaan langit dan bumi, dan kepelbagaian bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda¬tanda bagi orang-orang yang mengetahui. (Al-Rum, 23)
Maka orang-orang yang mengkaji dan menyelidik, yang berpengetahuan dan berilmu tentang kejadian alam semesta, kepelbagaian bahasa dan warna kulit manusia sejagat, merupakan satu keistimewaan kejadian makhluk Allah yang sungguh mengkagumkan dan memberikan keyakinan tentang kewujudan dan kekuasaan Allah S.W.T.
Dalam tulisan kali ini saya berhasrat untuk memfokuskan kepada satu aspek sahaja dari ayat di atas iaitu tentang bahasa dan variasinya di kalangan umat manusia, kerana bahasa atau lisan seperti yang disebutkan di dalam al-Quran merupakan alat penting yang memberi gambaran tentang keimanan, cara hidup dan akidah manusia, dan hal ini digambarkan Allah S.W.T. dalam banyak situasi dan konteks ketika dibawakan kisah-kisah nabi dan rasul dan dalam banyak konteks ketika manusia menyatakan keimanan dan kekufuran mereka.
Kerana kepentingan bahasa jugalah maka ketika Allah mengutuskan para rasul-Nya, Allah S.W.T. menegaskan:
Kami (Allah) tidak mengutuskan seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. (Ibrahim, 4)
Maksud al-Quran di sini bahawa walaupun al-Quran diturunkan di dalam bahasa Arab, tetapi kitab suci itu dan segala ajaran yang dibawanya bukanlah hanya semata-mata ditujukan kepada orang-orang Arab, tetapi ianya ditujukan kepada seluruh umat manusia, dan ianya hendaklah difahami oleh seluruh manusia menerusi bahasa ibunda masing-masing kerana tidak mungkin semua orang akan dapat menguasai bahasa al-Quran, meskipun itulah yang sebaik-baiknya.
Penekanan saya di sini ialah tentang kepentingan bahasa ibunda, iaitu bahasa kita sendiri dalam konteks orang-orang Malaysia, yang seharusnya mengimaninya bahawa bahasa kita adalah bahasa utama yang dapat digunakan sepenuhnya dalam semua aktiviti komunikasi, keilmuan, perindustrian, perniagaan dan pembangunan sosio-budaya, undang-undang, kesenian dan sebagainya.
Komitmen perundangan dan pemerintahan kita tentang dasar bahasa kebangsaan merupakan satu langkah dan iltizam yang amat konkrit dan mantap dalam mendaulatkan bahasa kita, tetapi mekanisme penghayatan dan sikap pengguna bahasa kita sendiri mungkin berada di tahap kritikal dan serius sekali menjelang abad baru dan alaf baru.
Saya beranggapan demikian kerana menjelang empat puluh satu tahun kemerdekaan negara, kongres demi kongres yang membicarakan isu bahasa dan persuratan Melayu masih mengambil rumusan yang sama iaitu bahasa Melayu hendaklah digunakan secara menyeluruh sebagai bahasa kebangsaan yang berdaulat dan mantap.
Kalau dijuruskan lagi kepada aspek yang lebih fokus tentang penggunaan bahasa dan peranan Kementerian Penerangan, maka Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelima yang diadakan pada tahun ini merumuskan hal-hal yang menyatakan perkara-perkara berikut:
1) Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dasar teknologi maklumat negara;
2) Pengawalan penyiaran bahasa siaran berunsur negatif melalui media elektronik;
3) Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang penyiaran negara; dan
4) Penyiaran karya sastera, bahasa dan wacana intelektual melalui media elektronik.
Rumusan-rumusan yang diambil itu ternyata menggambarkan satu cetusan reaksi terhadap perkembangan dalam media elektronik negara yang kelihatan terlalu banyak dimuatkan dengan muatan asing yang amat ganjil sekali jika ditinjau dari sudut penggunaan dan pernyataan rasa dalam bahasa Melayu yang mantap dan terkini.
Saya percaya pihak media elektronik menyedari tentang dasar bahasa kebangsaan, menyedari tentang hidangan bahasa rojak yang disiarkannya dan menyedari tentang glamour bahasa asing yang dicampur adukkan dengan bahasa Melayu oleh para artis, ahli-ahli korporat (mungkin juga ahli politik) dan lain-lain, tetapi simpati saya kepada para peneraju media elektronik bahawa mereka mungkin tidak ada pilihan lain, kerana pada zaman moden dan zaman global ini tidak ada lagi orang yang mahu menggunakan satu bahasa sahaja dalam bicara mereka, baik rasmi atau tidak rasmi.
Baru-baru ini Menteri Penerangan mengatakan bahawa media elektronik tidak akan menerima lagi karya-karya drama yang mencampur adukkan dialog bahasa Melayunya dengan bahasa lain. Pendiriannya ini amat unggul dan sewajarnya diberikan segala sokongan, tetapi tidak diketahui bilakah hal ini dapat direalisasikan sepenuhnya, sekiranya pihak penulis skrip, penerbit dan para pelakon drama Melayu sendiri’ tidak mengubah sikap mereka dan membetulkan persepsi mereka tentu kaitan bahasa dengan budaya dan cita rasa bangsa.
Saya kadang-kadang lebih menyenangi menonton filem dan drama-drama Indonesia dan filem-filem tahun lima puluhan atau enam puluhan seperti filem-filem P . Ramlee kerana ianya menggunakan bahasa standard yang amat menyedapkan telinga, menyegarkan fikiran dan membuka selera dan cita rasa. Tetapi kini mendengar hebahan rancangan dan berita dari siaran TV yang berbeza-beza itupun kadang-kadang agak menyakitkan telinga, kerana dari segi nahu, fonetik, sebutan dan sebagainya berlaku kekecohan dan kekalutan, apa lagi ketika menonton sesetengah drama moden yang bukan sahaja memperkecil-kecilkan minda penonton kerana jalan ceritanya yang dangkal dan tidak logik, malah memperdayakan penonton pula dengan dialog bahasa rojak yang tidak kesampaian. Bahasa Inggeris atau bahasa Melayu yang dituturkan tidak mempunyai bentuk dan struktur bahasa yang dituturkan itu. Perbendaharaan katanya tidak tepat dan pengucapannya teragak-agak.
Apakah hal ini mengundang lebih banyak kongres bahasa dan persuratan Melayu, atau memberi isyarat yang cukup agar orang Melayu sendiri bertindak mengubah sikap dan menjadi lebih peka kepada bahasa sendiri seperti yang difirmankan Allah bahawa rahsia kepelbagaian bahasa ini hanya diketahui oleh orang-orang yang berilmu dan berpengetahuan. Amat wajarlah orang-orang Melayu seluruhnya mendalami ilmu bahasanya sendiri dan menggunakan segala saluran untuk memantapkan ilmunya. Globalisasi dan modenisasi bukan bererti menggadai maruah dan melupuskan jati diri, sebaliknya ia bererti memantapkan daya pembangunan bangsa dan bahasa dengan bersungguh-sungguh.