Dunia hari ini menghampiri abad ke dua puluh satu, iaitu dalam jangka masa yang tidak melebihi dua tahun akan datang, dunia kita akan berada di abad baru, dan alaf baru, tahun 2000.
Abad ini, iaitu abad ke dua puluh, sering disifatkan sebagai abad yang paling ganas dalam sejarah umat manusia. Walaupun dunia tidak mengalami peperangan dunia ketiga, tetapi peperangan yang berlaku di sana sini dan jumlah nyawa manusia yang diragut dan menjadi mangsa peperangan atau mangsa kezaliman sesama manusia, mungkin melebihi bilangan korban perang dunia, dan hal ini telah cukup membuktikan keganasan dan kehancuran yang dialami manusia sejagat oleh perbuatan manusia sendiri. Inilah agaknya di antara peristiwa dan bala bencana yang disifatkan oleh al¬Quran bahawa “telah timbul keburukan di atas muka bumi oleh perbuatan tangan manusia sendiri supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (kejalan yang benar).” (Al-Rum, 41)
Hal inilah juga yang telah saya ucapkan di hadapan para remaja yang menghadiri program IKIM pada 25 dan 26 Julai lalu bertajuk “Remaja: Dunia dan Wajah Baru” iaitu untuk mengingatkan mereka tentang peristiwa keganasan dan kehancuran yang berlaku di kalangan manusia akibat dari ketidakadilan dan kebuasan nafsu manusia sendiri yang menyebabkan kematian, kebuluran, penderitaan dan berbagai-bagai kesengsaraan yang dialami oleh kanak-kanak, orang-orang tua yang lemah dan percikan kehancuran ini dapat dirasai oleh seluruh anggota masyarakat dunia tanpa kecuali.
Tujuan saya mengingatkan mereka tentang “keganasan” dunia ini bukanlah untuk menakut-nakutkan mereka, atau menanam perasaan “benci” mereka terhadap dunia dan orang-orangnya, malahan peringatan itu diberikan semata-mata untuk menyedarkan mereka tentang kerakusan nafsu manusia moden yang kerana gilakan kuasa, gilakan kekayaan dan gilakan segala-galanya menyebabkan mereka hilang pertimbangan akal fikiran yang waras dan hilang perasaan peri kemanusiaan serta belas kasihan sesama sendiri.
Hal ini perlu disedari oleh generasi baru, para remaja dan para belia seluruhnya, kerana mereka merupakan pemimpin dan peneraju masyarakat abad baru dan alaf baru. Menoleh ke belakang melihat dan mempelajari dari kesalahan yang dilakukan orang dalam abad ini merupakan satu langkah yang baik untuk memperbaiki tingkah laku dan tindakan mereka pada masa yang akan datang. Mereka seharusnya dapat mempersiapkan diri mereka dengan sebaik-baiknya untuk menghadapi abad baru, dunia baru pada alaf baru.
Sungguhpun negara kita tidak mengalami sebarang peristiwa yang boleh disifatkan sebagai peristiwa kehancuran dan keganasan yang besar tetapi memandangkan bahawa manusia sekarang kelihatan amat cenderung mengambil jalan ganas dan kekerasan untuk memperjuangkan haknya, maka kita juga harus bersedia menghadapi kemungkinan yang sama di negara kita.
Kita perlu memupuk rasa harmoni, hormat menghormati, toleransi dan persefahaman sesama sendiri di kalangan generasi baru, agar hal ini menjadi budaya dan tradisi hidup masyarakat kita seterusnya sebagai satu kesinambungan dari cara hidup kita yang penuh harmoni selama ini.
Hal ini saya jelaskan kepada mereka, kerana walaupun pada keseluruhannya masyarakat kita kelihatan aman dan damai, tetapi riak-riak ketidakpuasan hati dan rasa marah sering menjelma menjadi rungutan dalam sepi atau menjadi perasaan benci dengan menuding jari mencari kesilapan pihak lain.
Dari perbualan dengan beberapa orang ibu bapa pada hari itupun saya telah dapat mengesani perasaan ini, iaitu pernyataan rasa marah dengan menyalahkan pihak ketiga, tidak diri sendiri, walaupun perkara yang menjadi kemarahan itu, seringkali dapat dihubungkan dengan kesalahan diri sendiri.
Anak yang berkelakuan buruk, anak yang tidak pandai membaca al-Quran, atau pandai membacanya tetapi tidak mengetahui maknanya, anak yang tidak pandai membaca dan menulis jawi, yang tidak pandai sembahyang, yang banyak terdedah kepada program TV dan komputer, dan sungutan-sungutan lainnya, maka semuanya ini dilihat sebagai satu kepincangan yang lahir akibat dari kesilapan sistem pentadbiran negara dan tampuk pemerintahan. Kesilapan dan kesalahan pihak ketiga itulah yang dirasakan sebagai penyebab utama “kejahilan” anaknya dalam serba serbi, termasuk salah laku dan tabiatnya yang tidak baik.
Hal ini pada saya mencerminkan sikap negatif para ibu bapa yang berpandangan demikian. Mereka boleh menyalahkan sistem pendidikan, menyalahkan guru, menyalahkan pemerintah, tetapi mereka juga harus menyalahkan diri sendiri atau sekurang-kurangnya mengkaji kelemahan sistem rumahtangga dan keluarganya sendiri. Periksa diri sendiri dan kaji peranan keluarga sendiri terlebih dahulu, lihat kelemahan dan kesalahan sendiri, sebelum menuding jari kepada pihak lain atau menyalahkan orang lain sepenuhnya. Dalam kes anak berkelakuan tidak bermoral, anak tidak maju dalam pelajaran, anak tak pandai mengucap dan sembahyang dan berbagai-bagai isu lain lagi yang merupakan kelemahan anak-anak yang amat ketara, apakah ibu bapa pemah mengambil tahu tentang hal ini dan pernah berusaha sendiri untuk mengatasinya, atau hanya mengharapkan guru dan sekolah semata-mata?
Apakah ibu bapa pernah mengkaji sebab-sebab salah laku anak-anaknya, dan kelemahan-kelemahan lain yang dialaminya untuk dijadikan panduan yang baik bagi memperbaiki keadaan dan membantu anak-anaknya mengatasi kelemahan-kelemahan itu?
Sungguhpun pihak ketiga boleh disalahkan, tetapi kesalahan pihak lain itu tidaklah pula merupakan kesalahan sepenuhnya sehingga dengan itu para ibu bapa dapat melepaskan diri dari tanggungjawabnya dalam mendidik anak-anak sendiri.
Seperti yang pernah saya jelaskan di dalam ruangan itu dulu, para ibu bapa di negara lain merasa amat perihatin dan amat bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anaknya, sehingga mereka sanggup mengambil inisiatif sendiri, menubuh kumpulan-kumpulan sokongan sendiri yang terdiri dari beberapa buah keluarga untuk berbincang tentang masalah-masalah yang mereka hadapi dalam pendidikan anak remaja dan mencari jalan yang praktikal untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri, atau membantu pihak ketiga dalam mengatasi salah laku dan tindakan anak-anak mereka yang tidak baik.
Sikap menuding jari dan menyalahkan pihak lain tanpa mencerminkan diri sendiri, merupakan sikap negatif yang tidak memberi manfaat dan keuntungan kepada sesiapa pun. Yang rugi dan merana ialah diri sendiri.
Hal ini juga saya tekankan kepada para remaja yang menghadiri program tersebut, iaitu dalam menghadapi cabaran-cabaran yang lebih besar dalam abad baru dan alaf baru sebagai warganegara dan pemimpin, maka isu-isu kecil dan remeh temeh dengan sikap dan mentaliti yang agak dengkal itu sepatutnya telah dapat dikikis dan dihapuskan, kerana abad baru dan alaf baru terlalu banyak membawa isu global dan masalah besar manusia yang harus dihadapi dan diatasi dengan lebih serius dan mendalam lagi.