Sungguh amat pelik sekali, dunia hari ini nampaknya banyak mengajar kita supaya sentiasa merasa ragu-ragu dan tidak mempercayai apa yang kita dengar dan lihat. Apa yang kita dengar dari mulut ke mulut mungkin akhirnya merupakan cerita-cerita palsu dan spekulasi atau khabar angin. Apa yang kita tengok dan baca dalam internet demikian juga, mungkin merupakan sampah sarap yang dibuang oleh entah siapa orangnya yang bersembunyi di sebalik berbagai-bagai nama untuk menipu orang ramai dengan kata-kata beracun, fitnah, palsu dan tidak bermaruah.
Hal inilah yang melanda masyarakat kita dalam seminggu dua ini iaitu dengan tersibarnya berita-berita tidak berasas yang kadang-kadang menakutkan, jijik dan mengandungi unsur fitnah untuk mengganggu ketenteraman dan keamanan masyarakat. Orang awam tiba-tiba menjadi gelabah mendengar berita kononnya rusuhan akan berlaku, barang-barang keperluan harus dibeli dengan banyaknya untuk disimpan ketika berlaku kekacauan, wang di bank harus dikeluarkan segera untuk disimpan di rumah, dan berbagai-bagai rasa resah gelisah yang timbul akibat dari berita palsu yang tersibar dengan amat meluas itu.
Sebenarnya cerita-cerita palsu begini mewujudkan fenomena sosial yang amat kuat pengaruhnya dalam masyarakat kita terutamanya di kalangan sesetengah anggota masyarakat yang bukan hanya mendengar berita-berita begitu dan mempercayainya, malah turut sama menyibarkannya melalui berbagai-bagai cara termasuk membisik-bisikkannya kepada jiran tetangga dan menghubungi teman-teman dan kaum keluarga yang lain melalui telefon. Berita-berita sensasi begini sentiasa menjadi tajuk perbincangan awam yang amat menarik, apa lagi sekiranya perkara yang dibincangkan itu mempunyai hubungan pula dengan ajaran agama. Berita tentang mayat menjadi khinzir umpamanya rnenjadi tajuk yang dibicarakan dengan amat popular sekali di sana sini sehingga media massa juga turut mengambil kesempatan dari kehangatan berita ini untuk dispekulasikan yang kadang-kadang merupakan satu cara yang digunakan untuk tujuan komersil semata-mata tanpa mengambil kira risiko dan akibatnya terhadap kepentingan awam.
Pada masa yang terakhir inipun nampaknya terdapat media yang amat cenderung untuk membawa berita-berita sensasi begini, terutamanya yang dikeluarkan oleh para ulamak tentang makhluk asing, jin, syaitan dan lain-lain. Cerita-cerita begini memang amat menarik minat para pembaca yang mencari-cari sesuatu untuk mengisi dunia khayalannya.
Saya rasa dalam perkembangan dunia moden yang berpaksikan ilmu pengetahuan dan sains teknologi ini, maka pembicaraan tentang agama juga seharusnya mestilah berkisar di sekitar pembicaraan yang lebih bersifat ilmiah dan menyentuh alam nyata dan realiti hidup manusia itu sendiri daripada membicarakan sesuatu yang berunsur khayalan dan imaginasi semata-mata.
Ketika saya menerima pertanyaan tentang mayat menjadi khinzir melalui mel elektronik lama dulu sebelum penafiannya dibuat, saya telah memberitahu kepada yang bertanya bahawa agama kita tidaklah sepayah itu untuk ditafsirkan. Agama kita menolak kepercayaan karut dan khurafat, dan dalam agama kita terdapat unsur-unsur ilmu pengetahuan yang moden dan amat mudah difahami untuk menolak sebarang cerita karut seperti ini. Tuhan memang berkuasa untuk melakukan apa saja kehendak-Nya, tetapi hal ini tidak mengizinkan hamba-hamba-Nya untuk mereka-rekakan sebarang cerita, kemudian menyandarkannya kepada perbuatan Tuhan.
Agama kita mengajar kita supaya sentiasa berfikir dan menggunakan akal fikiran berdasarkan panduan-panduan asas yang diberikannya melalui kitab suci al-Quran dan sunnah rasul S.A.W. Mengapa kita harus mereka-rekakan cerita, dan mengkhayalkan sesuatu fantasi seperti mimpi dan sebagainya untuk meyakinkan orang ramai tentang agama, pada hal masih banyak lagi pendekatan lain yang lebih meyakinkan dapat digunakan untuk menyibar agama Allah ini. Apakah dalam zaman kegemilangan ilmu dan tamadun ini kita masih harus menggunakan pendekatan abad pertengahan untuk berdakwah, berceramah atau berkhutbah di atas mimbar saban Jumaat di hadapan para jemaah abad kedua puluh?
Berbalik ke tajuk cerita palsu dan fitnah maka kitab suci al-Quran sebenarnya telah mengingatkan kita tentang perkara ini iaitu agar orang-orang yang beriman sentiasa waspada dan memeriksa dengan teliti sesuatu berita yang dibawakan oleh orang-orang yang disyakki kewibawaannya. Allah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan satu musibah ke atas satu kaum tanpa mengetahui keadaannya (yang sebenar) yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu. (Al-Hujurat, ayat 6)
Ayat ini menuntut supaya kita meneliti dan memeriksa kesahihan berita yang dibawa oleh seorang fasik, iaitu orang sesat dan tidak bermoral, agar kita tidak mengambil satu kesimpulan atau membuat satu keputusan yang salah sehingga menimbulkan banyak akibat buruk kepada pihak lain dan kita sendiri yang akan menyesal di atas perbuatan itu.
Maka dunia sekarang yang lebih canggih dan moden, tentulah peringatan Allah ini amat relevan untuk dijadikan panduan, kerana dalam dunia sekarang bukan orang fasik sahaja yang membawa berita palsu, tetapi mungkin orang yang dikenali sebagai orang berilmu dan bijak pun lebih banyak berita palsu dan fitnah yang akan disibarkannya. Sebab itulah di permulaan tulisan ini telah saya katakan bahawa dunia hari ini agak pelik kerana terlalu banyak mengajar kita menjadi manusia yang selalu ragu-ragu dan penuh syak wasangka terhadap orang lain.