Tolak ansur adalah suatu keadaan apabila seseorang terpaksa menerima sesuatu kurang daripada kehendaknya yang sebenar kerana keadaan yang memaksa, ataupun kerana mengambilkira kehendak kehendak orang lain.
Sebarang urusan sesama manusia biasanya melibatkan tolak ansur. Namun demikian tidak semua tolak ansur boleh diterima.
Bagaimana dengan keputusan menukarkan nama ‘Bahasa Melayu’ kepada ‘Bahasa Malaysia’ dengan alasan yang dikaitkan dengan perpaduan kebangsaan? Adakah itu satu bentuk tolak ansur? Jika demikian adakah tolak ansur itu boleh diterima? Dan apakah yang sebenarnya yang telah ‘dikorbankan’ dalam tolak ansur itu?
Bahasa, kata orang bijaksana, adalah jiwa bangsa. Ia adalah perantara akal, melaluinya manusia meluahkan fikiran dan perasaan. Bahasa Melayu, dalam soal ini, adalah ‘jiwa’ Bangsa Melayu.
Jika ini diterima, faham ‘Bahasa Malaysia’ adalah suatu faham yang bermasalah. ‘Bahasa Malaysia’ sepatutnya adalah jiwa ‘Bangsa Malaysia’. Istilah Bahasa Inggeris, ‘Malaysian’ telah secara halus diertikan sebagai ‘Bangsa Malaysia’ sedangkan pada hakikatnya ia (yakni Bangsa Malaysia) tidak wujud; yang wujud ialah ‘Warga Malaysia’. Seorang ‘Warga Malaysia’ mungkin berbangsa Melayu, India, Cina, atau sesiapa sahaja. Himpunan warga-warga Malaysia, diambil secara keseluruhannya, tidak boleh dipanggil satu bangsa yang tersendiri yang memiliki suatu ‘jiwa’ atau ‘makna diri’, melainkan kita boleh menerima kewujudan suatu bangsa yang tiada jiwa atau yang masih tercari-cari makna diri! Dalam kata lain, tiada Bahasa Malaysia melainkan kita percaya ada Bangsa Malaysia.
Dilihat dari sudut masa, lima puluh tahun kemerdekaan bukanlah masa yang cukup bagi membina suatu bangsa. Warga Malaysia terdiri dari berbagai bangsa. Mereka menganut agama dan bertutur bahasa yang berbeza. Mereka bukan dari akar sejarah yang sama, dan tidak berkongsi matlamat politik yang sama. Semua ini adalah hakikat-hakikat yang tidak boleh dinafikan. Hakikat-hakikat ini, jika difahami dan ditangani dengan bijaksana boleh mendatangkan rahmat; jika sebaliknya, bencana pasti menimpa. Oleh sebab itu tiada sesiapapun menafikan pentingnya diusahakan suatu bentuk perpaduan.
Perpaduan acuan Malaysia mesti difahami dan dibina tanpa mengabaikan hakikat-hakikat tersebut. Kita mesti mengakui bahawa bukan sedikit masa yang diperlukan bagi membentuk suatu akar sejarah dan citra politik yang dikongsi bersama oleh semua kaum. Adalah mustahil memaksakan kahwin campur bagi mencipta suatu ‘bangsa baru’, sebagaimana mustahil memaksakan satu agama untuk semua. Apa yang boleh dilakukan dengan ‘agak mudah’ dan tanpa menimbulkan gelojak yang besar ialah bersetuju untuk memiliki suatu bahasa kebangsaan. Sesiapa boleh bertutur dan menggunakan bahasa selain bahasa ibundanya tanpa menjejaskan akar-umbi budayanya.
Alasan memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita adalah terlalu jelas dan tidak perlu dibahaskan lagi. Tetapi bukan demikian halnya dengan penukaran nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia.
Apakah itu bermakna bangsa bukan Melayu enggan menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan melainkan namanya ditukar kepada Bahasa Malaysia? Jika benar demikian kita menuntut penjelasan terhadap: (i) sebab keengganan itu; dan (ii) bagaimana penukaran itu boleh menghasilkan perpaduan? Kalaulah Bahasa Inggeris yang dipilih menjadi Bahasa Kebangsaan, adakah pihak-pihak yang berkenaan akan meminta namanya juga ditukarkan kepada Bahasa Malaysia?
Bagi orang-orang Melayu yang memiliki kesedaran dan kefahaman, tolak ansur yang dianjurkan itu bukanlah semata-mata soal pertukaran nama.
Apabila kita nyatakan Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Melayu, kita maksudkan ia adalah bahasa yang menyimpan makna diri Bangsa Melayu sebagai bangsa Islam. Bahasa Melayu tergolong dalam rumpun Bahasa-bahasa Islam. Melalui bahasa inilah bangsa Melayu diislamkan. Justeru, memelihara keasliannya, dan mempertahankannya dari pencemaran adalah merupakan soal memelihara dan mempertahankan makna diri Bangsa Melayu itu sendiri, budaya dan tamadunnya, yang berakar-umbikan agama Islam yang maha suci. Ia adalah soal amanah dan tanggungjawab, dan hanya Bangsa Melayu sahaja yang mempunyai segala sebab dan alasan untuk memikul amanah dan melunaskan tanggungjawab berkenaan.
Menukarkan nama ‘Bahasa Melayu’ kepada ‘Bahasa Malaysia’ boleh diertikan memindahkan amanah dan tanggungjawab itu kepada ‘Bangsa Malaysia’. Bolehkah ‘Bangsa Malaysia’, yang masih tercari-cari makna dirinya itu memikulnya? Yang lebih penting kenapa mereka mahu memikulnya?
Bahasa Melayu telah wujud lama sebelum wujudnya entiti yang kita kenali sebagai Malaysia. Menukarkan namanya kepada ‘Bahasa Malaysia’ bererti memutuskannya dari sejarahnya yang panjang, yang akhirnya dikhuatiri akan mengubah sama sekali sifat dan pembawaannya yang asal.
Jangan sekali-kali kita lupa bahawa Bangsa Melayu itu terutamanya adalah bangsa Islam. Bangsa Melayu yang benar-benar maju dan membangun adalah bangsa yang sedar dan insaf terhadap makna diri dan nasib kesudahannya. Bangsa Melayu yang benar-benar maju tidak akan terus-terusan bertolak ansur hingga akhirnya ia kehilangang makbna diri dan lupa untung nasibnya. Tolak ansur bagi menamakan semula Bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia, bagi bangsa Melayu bukanlah langkah maju ke hadapan tetapi mundur ke belakang. Ianya ibarat menggadaikan makna diri mereka dan mengharapkan sesuatu yang samar-samar, tidak pasti dan mengelirukan.
Benar bahawa keputusan sudah dibuat. Akan tetapi, keputusan yang salah dan tidak berhemah mesti dicabar walaupun ia telah diukir di atas batu. Keputusan itu mungkin sahaja telah dibuat oleh segolongan manusia yang buta budaya dan tamadun, yang menyangka tiada yang lebih penting dan utama dari kepentingan kebangsaan yang sementara.
Mencabar sesuatu keputusan yang sudah dibuat memerlukan kebijaksanaan dan keberanian. Manusia yang waras akal fikirannya mahu diyakinkan bahawa keputusan yang dibuat bagi pihaknya itu tepat dan benar. Benar ertinya keputusan itu dilandaskan kepada akal yang sihat.
Malang sekali, Bangsa Melayu kelihatannya diperlakukan oleh para pemimpinnya seumpama orang-orang bodoh, yang seharusnya menerima sahaja apa yang diputuskan dan berdiam diri. Seolah-olahnya mempersoalkan keputusan pemimpin itu adalah suatu jenayah, dan menerima tanpa soal itu adalah kemuliaan. Mereka diharapkan mencontohi Hang Tuah, hamba raja yang taat setia, dan tidak mencontohi Hang Jebat si penderhaka dan pengkhianat. Adakah kedua-dua mereka itu patut diangkat sebagai hero Bangsa Melayu? Tidak sama sekali! Islam telah mengajarkan Bangsa Melayu kewarasan dan kesederhanaan. Hang Tuah dan Hang Jebat tidak memiliki kedua-dua sifat itu. Kisah mereka adalah contoh sifat melampau, dan Bangsa Melayu tidak sepatut dipaksa memilih salah satu darinya.