Di era perubahan iklim ini, rantau Asia Pasifik seringkali berdepan kejadian banjir kilat dan banjir besar yang membawa bencana seperti yang terjadi di Aceh, Indonesia baru-baru ini. Banjir yang sebelum ini dilihat sebagai fenomena bermusim, telah menjadi “normal baharu”, yang menguji kesiapsagaan bandar-bandar di Malaysia. Risiko banjir yang dahulunya tertumpu di Pantai Timur kini boleh berlaku di mana-mana, kesan daripada perkembangan bandar-bandar baharu. Banjir kilat yang sering berlaku tanpa tempoh hujan yang begitu panjang memberikan cabaran kepada pengurusan air negara dan juga tekanan kepada sistem saliran bandar yang tidak seiring dengan letusan pertambahan penduduk dan realiti iklim semasa. Pelancaran Pusat Bilik Operasi atau “War Room” Pengurusan Air Negara oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini juga menunjukkan komitmen tinggi kerajaan untuk beralih daripada pendekatan reaktif kepada yang lebih proaktif dan perpaksikan data dalam cabaran mengurus sumber air negara. Ini penting dan amat disambut baik bagi memastikan bekalan air negara kekal terjamin, stabil dan berdaya tahan.
Sebenarnya, bandar-bandar di Malaysia berpotensi besar untuk menjadi “Bandar Span Moden”. Projek infrastruktur mega seperti Terowong SMART di Kuala Lumpur ialah komponen teknologi penting “Bandar Span Moden” ini. Terowong dwifungsi dengan 3 mod berbeza yang cekap bekemampuan menyimpan dan menyalirkan 3 juta meter padu air bagi mengelakkan risiko banjir besar di pusat bandar ini mampu mengelakkan banjir besar dan turut menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas. Ianya perlu disokong dengan rizab sungai, kolam tadahan banjir serta hutan bandar dengan memanfaatkan kawasan hijau sedia ada di sekitar Taman Botani Perdana, Taman Tugu, Bukit Kiara dan Bukit Tunku.
Selain itu, Malaysia mempunyai garis panduan teknikal yang lengkap seperti Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang kerap ditambah baik bagi memastikan pengurusan air larian hujan terkini dan lestari. Isu utama ialah apabila pemaju tidak menganggap dokumen ini sebagai suatu keperluan penting dalam pembangunan bandar baharu, sebaliknya hanya sekadar komponen tambahan yang dilihat memberikan kos tambahan.
Selama beberapa dekad selepas kemerdekaan, pembangunan bandar di Malaysia banyak bergantung kepada infrastuktur kelabu (Grey Infrastructure) melalui pembinaan longkang konkrit, pam, kolam takungan dan pelebaran sungai bagi mengalirkan air hujan keluar dengan segera. Pendekatan ini masih penting tetapi data untuk pengaliran saliran dekad lampau dilihat tidak mampu menangani corak hujan kini yang lebih ekstrem dan tidak menentu. Pembangunan bandar-bandar satelit baru di sekitar Kuala Lumpur juga telah menghilangkan kawasan dataran banjir dan tanah rendah yang dahulunya menampung larian air hujan lebihan dan menghilangkan kawasan hijau. Tambahan pula, masalah sampah sarap yang menyumbat saliran menjadikan situasi bertambah buruk.
Konsep Bandar Span ini bukanlah baharu sebaliknya telah banyak diaplikasikan di negara-negara maju. Negara China seringkali dijadikan contoh berkaitan pelopor konsep ini menggunakan terma “Bandar Span” seperti Bandar Baru Lingang di Shanghai dan Shenzen. Walaubagaimanapun, negara-negara Eropah juga turut telah mengambil pendekatan yang sama dengan nama yang berbeza. Sistem “CloudBurst” di Copenhagen menjadikan taman-taman awam sedia berubah sebagai tempat tadahan hujan kecemasan dan jalan raya sebagai terusan untuk pengalihan air. Di Berlin pula, insentif diberikan pihak berkuasa tempatan kepada pemilik-pemilik bangunan yang memiliki “bumbung hijau” (green roofs) dan kolam tadahan air semula jadi (bioretention pond). Pendekatan yang mampu mengurangkan limpahan puncak (peak runoff) ini amatlah penting bagi mengurangkan tekanan kepada sistem saliran sedia ada. Malaysia turut dilihat perlu berubah daripada hanya sekadar menguruskan air hujan keluar daripada kawasan bandar kepada menguruskan air lebihan hujan ini sebagai sumber melalui pendekatan taman bandar, koridor hijau, tanah lembap buatan dan kolam takungan yang direka sebagai ruang riadah awam multifungsi.
Tambahan lagi, ia memberikan manfaat besar lain juga seperti mengurangkan kesan penumpukan pulau haba bandar (urban heat island), menambahkan biodiversiti, meningkatkan kualiti udara dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah awam. Sebagai rakyat, kita hendaklah memastikan saliran air tidak tersumbat dengan sampah sarap dan sentiasa cakna dengan persekitaran awam. Bagi umat Islam, marilah kita turut mencontohi baginda Rasulullah SAW yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar menjadikan hujan yang turun itu bermanfaat dan tidak memudaratkan. Teknologi ramalan cuaca dan amaran awal paras air sungai masa kini telahpun semakin baik, tetapi terpulanglah kepada kita untuk memahami maklumat yang disampaikan, bersedia dengan pelan tindakan kecemasan dan bertindak sebijaknya sebelum bencana banjir menjadi tragedi. Ia adalah ujian berulang kepada kita untuk melihat kesiapsagaan bandar kita dalam mendepani cabaran perubahan iklim masa hadapan.

