Rantau Asia Barat kembali bergolak. Kesannya bukan sahaja dirasai oleh negara-negara di rantau tersebut tetapi seluruh dunia. Walaupun titik konflik tersebut jauh kedudukannya namun kesannya terhadap Malaysia tidak boleh dinafikan. Begitulah realiti dunia ketika ini. Krisis global yang berlaku tidak hanya terhad kepada sempadan negara-negara yang terlibat. Sebaliknya, ia boleh menyusup masuk ke dalam sistem ekonomi tempatan secara pantas. Sekian lama kita telah menyaksikan bahawa ketidaktentuan geopolitik menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi kestabilan pasaran tenaga dunia. Ketegangan yang berlaku di rantau Timur Tengah, yang menjadi nadi kepada bekalan minyak dunia, telah mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan rantaian bekalan dunia.
Selat Hormuz merupakan satu laluan sempit namun penting bagi eksport minyak dunia dan ia telah mengendalikan 20 peratus perdagangan minyak global. Akibat krisis, selat tersebut telah menjadi “titik rapuh” dalam sistem tenaga global. Apabila berlaku peningkatan risiko di laluan tersebut, harga minyak mentah dunia cenderung melonjak tinggi. Situasi ini bukan sahaja memberi tekanan kepada negara pengimport minyak tetapi turut menekan negara seperti Malaysia. Walaupun Malaysia mempunyai sumber tenaga sendiri, namun ia tidak rentan kepada turun naik harga minyak global. Hakikatnya, struktur tenaga Malaysia masih belum sepenuhnya kebal daripada kejutan luaran.
Pasaran minyak dunia bersifat global dan saling berkait. Gangguan bekalan di mana-mana kawasan, khususnya di Timur Tengah, mengakibatkan penawaran minyak global terjejas dan berlakulah peningkatan harga. Kenaikan harga ini akan dirasai oleh semua negara tidak kira dari mana sumber import minyak diperoleh. Maksudnya, walaupun Malaysia tidak bergantung secara langsung kepada laluan konflik, kita tidak sepenuhnya bebas daripada perubahan harga minyak global. Nyatalah bahawa jarak geografi tidak menjamin pelindungan kepada kestabilan ekonomi.
Apa yang lebih membimbangkan ialah ketidakstabilan di rantau konflik akan mencetuskan persaingan terhadap sumber tenaga. Negara-negara yang semakin kekurangan sumber tenaga akan beralih kepada negara pembekal yang lebih stabil misalnya di rantau Asia Tenggara. Situasi ini akan melonjakkan permintaan dan harga bahan api akan turut meningkat walaupun bahan api tersebut berasal dari negara yang tidak terlibat dalam konflik semasa.
Peningkatan harga bahan api yang dinyatakan di atas seterusnya akan memberi kesan kepada ekonomi domestik. Malaysia kini merupakan pengimport bersih beberapa produk petroleum dan ini jelas menunjukkan kita masih bergantung kepada pasaran global. Dengan kenaikan harga minyak, kos pengangkutan, pengeluaran dan perkhidmatan akan turut terkesan. Apatah lagi dalam keadaan lebih 80 peratus bekalan tenaga Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil. Hal ini menjadikan kita terdedah kepada perubahan harga dunia.
Krisis tenaga bukan sahaja berkait dengan isu ekonomi. Ia juga melibatkan pelbagai isu sosial dan alam sekitar. Dari sudut sosial, ketidaktentuan harga tenaga boleh memperluas jurang ketidaksamaan dan mengakibatkan golongan rentan semakin tertekan dengan kos hidup yang meningkat. Dari sudut alam sekitar pula, krisis ini membawa kita untuk menilai dan melihat semula arah tuju Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 dengan keutamaan untuk menjamin bekalan dan kecekapan tenaga serta kelestarian alam sekitar, termasuk peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Walaupun penerokaan tenaga boleh diperbaharui semakin berkembang namun sumbangannya masih belum cukup untuk mengimbangi kebergantungan Malaysia kepada bahan api fosil.
Dengan ketidaktentuan bekalan global ini, mungkinkah wujud kecenderungan negara kembali bergantung kepada sumber tenaga konvensional yang mudah diakses seperti arang batu? Jika ini berlaku, langkah tersebut benar-benar mencabar usaha peralihan tenaga bersih negara, walaupun dalam situasi kita tidak mempunyai pilihan lain. Dalam keadaan krisis kini, Malaysia berada di persimpangan antara keperluan menjamin keselamatan tenaga dan komitmen terhadap agenda kelestarian.
Malaysia telah mencatatkan kemajuan dalam membangunkan tenaga boleh diperbaharui namun kebergantungan kepada bahan api fosil masih tinggi. Dalam keadaan harga yang tidak menentu, keselamatan tenaga negara boleh terjejas. Jelas bahawa bekalan tenaga mencukupi bukan satu-satunya perkara penting bagi keselamatan tenaga tetapi mengekalkan kestabilan negara daripada kejutan konflik luaran juga satu aspek yang kritikal.
Oleh itu, dasar tenaga negara perlu dinilai dari sudut jangka panjang. Adakah kita perlu lebih agresif dalam pelaburan tenaga boleh diperbaharui? Adakah insentif peralihan tersebut mampu menarik penyertaan luas sektor swasta? Dan, adakah masyarakat sudah bersedia untuk beralih kepada gaya hidup yang lebih cekap tenaga?
Pada pandangan penulis, krisis yang berlaku kini boleh membuka peluang baharu kepada negara dan menjadi pemangkin untuk Malaysia mempercepat pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan hidrogen, meningkatkan kecekapan tenaga bagi sistem bangunan dan industri, membangunkan teknologi hijau tempatan serta mengurangkan pembaziran tenaga. Hal ini mungkin boleh membantu mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada sumber tenaga luar yang terdedah kepada ketidaktentuan.
Dalam kerangka yang lebih luas, isu tenaga juga perlu dilihat daripada perspektif nilai dan etika. Pembaziran tenaga, penggunaan berlebihan dan kebergantungan kepada sumber yang tidak lestari mencerminkan cabaran yang mendalam dalam cara manusia berinteraksi dengan alamnya. Di manakah letaknya prinsip amanah dan jaminan keseimbangan (alam) dalam interaksi tersebut? Adakah prinsip mengelakkan pembaziran yang ditegaskan dalam Islam, benar-benar difahami dan diamalkan? Jelas bahawa pengurusan tenaga bukan tentang isu ekonomi dan sosial semata-mata tetapi merangkumi satu amanah dalam menguruskan alam secara lestari dan melibatkan semua pihak. Kesimpulannya, krisis tenaga global merupakan satu cabaran yang perlu ditangani dan satu cerminan kepada tahap kesiapsiagaan sesebuah negara. Kita tidak boleh selamanya bersikap reaktif terhadap krisis sebegini tetapi perlu menyusun pendekatan strategik dan bersepadu untuk menjamin keselamatan tenaga, kestabilan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam. Persediaan hari ini akan menentukan ketahanan negara pada masa akan datang. Kegagalan melakukan persediaan merupakan satu beban dan cerminan kegagalan memikul amanah mengurus sumber negara.

