KUALA LUMPUR: Gambaran buruk yang diberikan media Barat terhadap Islam selepas peristiwa 11 September 2001, tidak menghalang lebih ramai masyarakat Amerika Syarikat untuk mendalami pengetahuan mereka mengenai Islam.
Pensyarah Universiti North Carolina, Prof Dr Carl W Ernest, berkata berbanding sebelum peristiwa berkenaan, masyarakat Amerika Syarikat kini lebih bersedia untuk mendalami pengetahuan mereka mengenai Islam termasuk mempelajari bahasa Arab.
Beliau yang juga seorang sejarawan dan pakar pengajian Islam, berkata walaupun sebahagian masyarakat Amerika dan Eropah terpengaruh dengan agenda media negara itu, mereka juga ingin tahu lebih lanjut mengenai Islam.
“Ada dua kesan peristiwa 11 September, iaitu meningkatnya prasangka terhadap Islam yang dikaitkan dengan keganasan dan pada masa sama ramai juga yang mahu mengetahui secara lebih mendalam mengenai Islam,” katanya menjawab soalan seorang peserta berhubung tanggapan bukan Islam di Amerika Syarikat dan Eropah terhadap umat Islam terutama selepas 11 September dalam satu sesi soal jawab, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk Pemikiran Semula Islam dalam Dunia Kontemporari: Melaksanakan Tamadun Islam Masyarakat Islam Kontemporari pada kolokium anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sesi ceramah itu dipengerusikan oleh Pengerusi IKIM, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dihadiri peserta daripada pelbagai sektor dan kaum bagi mendapat pengetahuan terkini berhubung tanggapan cendekiawan bukan Islam terhadap perkembangan Islam semasa.
Pelbagai perkara dibincangkan dalam sesi ceramah itu, termasuk pertentangan antara tamadun Timur dan Barat, tanggapan Barat terhadap Islam, konsep Islam Hadhari, dialog antara agama dan tanggungjawab wanita Islam.
Ernest berkata, jika sebelum ini, sesuatu perbincangan mengenai Islam dalam seminar di Amerika Syarikat hanya membabitkan satu atau dua kertas kerja setahun, tetapi kini sudah mencapai 20 hingga 30 kertas kerja.
Beliau berkata, masalah yang dihadapi di Amerika Syarikat ketika ini ialah untuk menyampaikan maklumat mengenai Islam yang sebenar secara lebih meluas, berbanding gambaran salah yang diberikan media di kalangan rakyat negara itu.
“Kita (di kalangan pensyarah universiti) ada yang berusaha menggunakan buku dan risalah, tetapi penyebarannya terlalu terhad…apa yang kami boleh lakukan adalah memberi penerangan secara bersemuka dengan mereka yang berminat mengenai Islam,” katanya.
Ditanya seorang peserta apakah antara cara yang boleh dilakukan untuk menaikkan imej umat Islam pada pandangan kaca mata Barat, Ernest berkata, kaum wanita patut diberi tempat dalam pelbagai bidang dan tidak dilihat sebagai golongan sering ditekan.
Mengenai konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Malaysia, beliau berkata, ia satu proses meningkatkan tamadun bangsa yang dikaitkan dengan agama dalam segala aspek kehidupan rakyat dan pentadbiran negara.