Pendahuluan
Istilah dīn merupakan dasar dan asal istilah madīnah yang secara literalnya bermaksud kota, bandar, atau bandaraya. Sebagaimana yang dikupaskan oleh Prof. DiRaja Terpuji Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya beliau Islām: Faham Agama dan Asas Akhlak, istilah dīn juga rapat dengan kata kerja maddana yang merujuk kepada madīnah dan bermakna “membina, mendirikan bandar-bandar; dan juga: menaikkan ke taraf beradab, menghaluskan budipekerti, menimbulkan sifat keinsanan sejati – yakni: menjadikan manusia lebih berperikemanusiaan berlawan dengan sifat kebinatangannya”. Daripada kata-kerja maddana ini terbentuknya istilah tamaddun yang bermaksud “keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya”.
Medan makna (semantic field) bagi sesuatu istilah dan jalinan maknawi antara suatu istilah dengan istilah lain sepertimana yang dinyatakan ini adalah suatu kefahaman yang diwarisi turun temurun dalam tradisi keilmuan Islam khususnya melalui kamus-kamus besar ataupun lexicon. Bagi medan makna istilah dīn dan jalinan maknawi bagi istilah dīn-madīnah-maddana-tamaddun ini dapat ditemukan dalam Lisān al-ʻArab karangan Ibn Manẓūr.
Kehalusan tatasusila yang merujuk kepada adat sopan santun dan budi pekerti yang baik, serta kebudayaan yang luhur merupakan perkara batin bagi sesebuah masyarakat. Keadaan ini pasti akan dizahirkan, lalu boleh disaksikan dalam serba-serbi kehidupan berbudaya insan yang bermasyarakat dalam zaman mereka masing-masing.
Tamadun merupakan suatu pencapaian dan keadaan masyarakat yang dibentuk melalui proses tertentu. Salah satu perkara asas bagi sesebuah tamadun adalah ilmu, dan masyarakat yang menuju ke arah ketamadunan semestinya berbudaya ilmu.
Namun, di sebalik wujudnya usaha untuk menuju kemajuan dan membina ketamadunan, terdapat juga perkara yang menyumbang kepada terencatnya kemajuan dan ketamadunan. Perencatan ini semestinya digerakkan oleh golongan tertentu. Mereka ini secara sedar ataupun tidak, secara langsung akan menyumbang kepada kemunduran sesebuah bangsa dan kemusnahan sesebuah tamadun.
Mereka ini merupakan jelmaan kepada gejala budaya tidak berilmu – iaitu berbudaya jahil atau bebal. Kedua-dua istilah ini (i) jahil dan (ii) bebal merupakan istilah yang tidak asing digunakan dalam masyarakat Islam yang mana jahil merupakan lawan kepada berilmu, manakala bebal pula digunakan oleh orang Melayu untuk merujuk kepada keadaan yang sama dengan jahil.
Maksud Bebalisme dan Ciri-Ciri Golongan Bebal
Salah seorang sarjana tanah air yang mengupas perihal bebalisme dengan terperinci adalah Prof. Dr. Syed Hussein Alatas dalam karya beliau Intellectual in Developing Societies (Intelektual Masyarakat Membangun). Beliau menghuraikan bebalisme itu adalah sebuah sikap yang terdiri daripada pelbagai perangai. Seorang yang bebal itu mempunyai sikap berusaha dan kegigihan yang tersendiri, tetapi dimanifestasikan dalam bentuk perangai yang tidak murni seperti lamban dalam menghadapi sesuatu masalah, acuh tidak acuh dalam tindakan, dan keras kepala yang membatu.
Bebalisme bukanlah sebuah sistem kepercayaan ataupun ideologi, tetapi sikap tercela seseorang yang boleh muncul seiring dengan kepercayaan ataupun ideologi sedia ada seseorang. Misalnya, bebalisme boleh muncul seiring dengan sistem kepercayaan seseorang seperti Islam, Kristian, Buddhisme, dan Hinduisme ataupun sesebuah ideologi seseorang seperti fahaman komunisme. Bebalisme ini juga merupakan sikap yang boleh didapati pada setiap kebudayaan, mencakupi segala ruang dan waktu.
Ciri-ciri utama bagi seorang yang bebal terletak pada sikapnya dalam berfikir yang mana sikap berfikirnya itu lesu; tidak terperanguh dengan logik; tidak berupaya berfikir secara menyeluruh sebaliknya terpisah-pisah dan tidak bertujuan; serta lesu dalam berfikir seterusnya tidak berupaya dalam berdaya cipta atau inovasi. Seorang bebal yang malas berfikir lantas akan menyebabkan dirinya gagal untuk mengenali masalah dan jika diberitahu, tidak akan berupaya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Selain itu, keputusan yang dibuat hasil proses berfikirnya yang cetek adalah tidak estetik, tidak ilmiah, dan tidak memberikan kesan baik bagi jangka masa panjang. Cara berfikir seorang yang bebal ini sangat memudaratkan sebagaimana beliau rangkumkan, “Bebalisme merupakan parasit dalam fikiran dan tidak mempunyai pendukung, pembela dan tidak menuntut sesuatu.”
Budaya Ilmu Sebagai Lawan Bebalisme
Golongan yang bebal adalah suatu yang tidak asing dalam masyarakat kini. Oleh itu, pencegahan dan serangan balas kepada golongan ini tidak dapat tidak adalah melalui budaya ilmu. Prof. Dr. Wan Mohd Nor dalam bukunya, Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini menjelaskan budaya ilmu itu sebagai kewujudan sebuah keadaan yang mana setiap peringkat masyarakat melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan. Selain itu, ianya juga merupakan sebuah keadaan yang mana semua tindakan manusia sama ada peringkat individu atau peringkat masyarakat dimuktamadkan lalu dilaksanakan bersandarkan kepada ilmu pengetahuan, misalnya melalui pengkajian ataupun syura. Masyarakat yang berbudaya ilmu menganggap ilmu adalah suatu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat pada setiap peringkat.
Budaya ini bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dimanifestasikan, namun tidaklah juga mustahil. Usaha untuk memanifestasikan budaya ilmu berhajat kepada lapan nilai, antaranya ialah mementingkan ilmu; berkekalan dan berterusannya usaha ilmiah; sikap hormat-kritis terhadap ilmu; dan amalan bermusyawarah.
Menghormati kepada ilmuwan dan cinta kepada ilmu merupakan sifat terpuji yang merentas agama dan tamadun. Tidak ada suatu tamadun yang hebat mengiktiraf akan kejahilan atau kebebalan sebagai suatu perkara yang terpuji sebaliknya perlu dihindari. Oleh itu, kita yang barangkali tergolong sebagai golongan yang bebal sewajarnya insaf dan kembali kepada budaya ilmu. Manakala, pihak berautoriti atau berkuasa perlu menjadi pelaksana awal bagi nilai-nilai budaya ilmu ini agar mudah dicontohi oleh rakyat jelata.

