Dalam arena politik Malaysia yang semakin dinamik, tradisi debat terbuka antara seteru politik sering digembar-gemburkan tetapi seringkali dibatalkan di saat-saat akhir dengan berbagai alasan. Sepatutnya debat politik sudah lama dibudayakan sebagai medan menguji sesuatu idea atau dasar. Namun, harus diingatkan, bahawa debat bukan suatu “pertunjukan” kepetahan berkata-kata tetapi sebaliknya untuk mencerah dan mematangkan fikiran rakyat supaya pilihan dapat dibuat dengan bijaksana.
Secara teorinya, ruang awam (public sphere) adalah tempat di mana perbincangan rasional boleh berlaku. Namun, apa yang banyak kita saksikan sekarang bukanlah “perbahasan idea” tetapi sebaliknya “perang persepsi”. Tekanan untuk dilihat popular menyebabkan pemimpin politik lebih cenderung memilih retorik yang bersifat menyerang berbanding menghuraikan perkara dasar secara mendalam.
Dalam jangka masa panjang debat yang terlalu menumpukan kepada kepetahan berhujah atau mematahkan hujah lawan, aspek-aspek teknikal dan praktikal dalam penggubalan dasar—contohnya, ekonomi penjagaan (care economy) atau isu sara hidup—kerap terpinggir. Akhirnya, tanpa disedari, rakyat telah dinafikan peluang untuk mendapat maklumat yang cukup untuk membuat pilihan yang bijaksana tetapi leka disajikan dengan konflik peribadi.
Kewujudan media sosial tambah merumitkan keadaan. Kini, debat politik tidak lagi berakhir apabila tamat siaran sebaliknya diteruskan lagi di ruang siber apabila klip-klip video berdurasi 30 saat dimuat naik di platform-platfom seperti TikTok atau X. Fenomena ini bertanggungjawab mewujudkan gelombang susulan apabila penonton yang hanya melihat potongan-potongan video debat yang menyokong dan menguatkan lagi prasangka yang sedia ada. Dalam situasi sebegini debat tidak menjadi wacana yang membuka minda, sebaliknya dimanipulasikan sebagai alat untuk mengelirukan lagi fikiran masyarakat. Kini debat bukan lagi ruang untuk berhujah secara rasional bagi mencapai kesepakatan, tetapi dijadikan medan bermain persepsi dan sentimen untuk memastikan “puak kita” kelihatan “menang” di ruang siber.
Justeru, ada yang bertanya: adakah debat masih relevan sekarang? Jawapannya adalah: “ya!”, namun tujuan dan format debat itu perlu diberikan perhatian yang sepatutnya. Beberapa perubahan penting perlu dilakukan untuk menghasilkan budaya perdebatan baharu, iaitu yang bermatlamatkan “akauntabiliti sosial” berbanding dengan “kemenangan retorik” yang hanya memecah-belahkan lagi masyarakat demi kekuasaan.
Untuk mencapai apa yang di aksudkan, debat hendaklah difokuskan kepada isu-isu teras, bukan soal-soal picisan. Maka, ruang lebih luas mesti diberikan kepada perdebatan yang berkait dengan polisi-polisi negara, contohnya apakah dasar ekonomi yang mesti dibangunkan untuk menyokong golongan wanita yang bekerja dalam sektor penjagaan tidak berbayar; atau dasar pendidikan yang diperlukan untuk menghasilkan warganegara yang tidak hanya menguasai sains dan teknologi tetapi juga celik budaya, pemikiran, dan sejarah.
Budaya perdebatan yang rasional dan tertib adalah merupakan salah satu petunjuk kepada budaya ilmu yang sihat. Namun, budaya ini perlu dibangunkan secara sedar dan terancang oleh pihak yang bertanggungjawab kerana rakyat yang rasional adalah aset terpenting bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Semangat ini seharusnya diterjemahkan dengan jelas dalam sistem pendidikan negara.
Pendidikan seharusnya turut menghasilkan literasi politik. Maksudnya, rakyat perlu dididik supaya mampu menilai ‘isi’ sesuatu perdebatan dan tidak mudah terpedaya dengan gaya penyampaian semata-mata. Namun, dari perspektif golongan elit yang memegang kuasa, rakyat yang celik politik hanya akan menjadikan mereka lebih sukar dikawal, payah untuk dipuaskan, dan lebih mudah untuk memberontak. Dengan kata lain, rakyat yang terdidik dengan baik hanya akan menjadi masalah kepada kekuasaan dan kewibawaan pemerintah. Barangkali inilah mesej yang diterima oleh pemerintah Athens sehinggakan Socrates dihukum mati kerana dibimbangi golongan muda terpengaruh dengan ajarannya supaya berfikir dan menyoal secara kritis sesuatu pendapat.
Sekiranya debat politik terus dibiarkan menjadi medan pertempuran ego yang diperalatkan oleh algoritma, kita bukan sahaja kehilangan ruang untuk berfikir secara kritis, malah kita sedang mempertaruhkan kesihatan demokrasi negara. Oleh itu, sudah tiba masanya kita menuntut debat terbuka secara tertib dan sihat, bukan untuk meraih populariti murahan, tetapi sebagai tanggungjawab moral yang mencerminkan kematangan sebuah bangsa.
Sejarah menunjukkan bagaimana dari awal lagi para penguasa Muslim sudah menyedari kepentingan membudayakan perdebatan ilmiah sebagai wadah penyelesaian konflik dan pertelagahan. Selain menganjurkan majlis perdebatan di istana dengan menjemput wakil-wakil dari berbagai golongan, khalifah sendiri turut menyertai perdebatan secara aktif serta menyeru para ulama’ agar melengkapkan diri dengan ilmu perdebatan bagi mempertahankan pegangan masing-masing. Dengan inisiatif khalifah sendiri karya-karya dalam bidang logik dan perdebatan menjadi karya-karya awal yang dipilih untuk diterjemahkan ke Bahasa Arab. Selaras dengan itu metod perdebatan mula digunakan secara meluas dalam berbagai disiplin ilmu dari teologi, falsafah, fekah, bahkan dalam ilmu bahasa. Akhirnya, pada sekitar kurun ke-12 masihi, ilmu perdebatan yang turut dikenali dengan nama adab al-bahth, ilmu munazarah dan jadal telah menjadi subjek ilmu alat yang wajib dipelajari di ousat-pusat pengajian di seluruh dunia Islam.
Tidak ada alasan untuk Kaum Muslimin hari ini mengabaikan ilmu perdebatan pada hal keperluan terhadapnya semakin mendesak. Ledakan maklumat dan berita palsu menuntut supaya masyarakat umum dilengkapkan dengan keupayaan untuk menapis dan menyaring input-input dari alam siber. Jika tidak mereka hanya akan dijadikan barang permainan para penguasa dan elit yang mendukungnya. Dan demokrasi hanyalah helah untuk memperolehi kuasa dari rakyat melalui persepsi-persepsi yang direka.

