Ditulis oleh Md. Asham bin Ahmad Diterbitkan :
Dalam bahasa Melayu perkataan ‘demonstration’ telah diterima dan dimelayukan menjadi ‘demonstrasi’. Kalau dahulu ia diterjemahkan kepada ‘tunjuk perasaan’, dan frasa itu sebenarnya lebih mudah difahami.
Perbuatan menunjuk perasaan, pada hari ini, dianggap sebagai suatu kebiasaan dan sebahagian dari hak kebebasan. Kebiasaannya perasaan yg ditunjukkan itu adalah perasaan marah, benci, sakit hati, menyampah, meluat dan tidak senang, terhadap pihak yang lain. Walaupun pada dasarnya tunjuk perasaan boleh juga dibuat bagi menunjukkan rasa sayang, seronok, gembira dan syukur, sangat jarang atau hampir tak pernah kita dengar org bersusah payah berdemonstrasi untuk tujuan itu.
Kenapa perlu berdemonstrasi? Dan kenapa pula ‘perasaan’ yg ditunjukkan? Perlukah perasaan ditunjuk-tunjukkan sampai begitu rupa? Apakah beza antara ‘perasaan’ dan ‘akal’? Kenapa tidak akal itu yg diutamakan yang ‘ditunjukkan’? Soalan-soalan ini kita perlu tanyakan kalau sekiranya kita mahu berfikir tentang perkara ini.
Untuk menjawab soalan-soalan ini kita nak kena bangkitkan asal usul demokrasi itu dan asas-asas pemikirannya dalam masyarakat dan bangsa yg menganjurkannya kepada seluruh umat manusia hari ini.
Budaya berdemonstrasi itu dianggap sebagai petanda bahawa wujud amalan demokrasi yang subur dalam sesuatu masyarakat. Masyarakat yang dianggap paling terkehadapan dalam soal menunjuk perasaan ini adalah masyarakat Barat, dan mereka menganggap masyarakat mereka itulah spesis manusia yang paling maju dari segi evolusinya, manakala manyarakat dan bangsa-bangsa yang lain itu masih mundur di belakang taraf kemanusiaannya. Maka, kalau mereka mahu mencapai ‘taraf kemanusiaan’ sebegitu, mereka juga mesti berusaha mengikuti jejak langkah orang Barat ‘membangun’, ‘maju’ kehadapan, dan melakukan ‘perubahan’. Maka masyarakat Barat dan institusi-institusi mereka gigih mengambil ‘tanggungjawab’ memastikan semua manusia menjadi manusia seperti mereka dengan mencontohi budaya dan pemikiran mereka, dan merasa bangga pula apabila mampu mencontohi mereka.
Mereka mengajar bahawa demonstrasi itu adalah sebahagian dari budaya demokrasi, dan oleh kerana demokrasi itu asasnya adalah suara ramai, maka kejayaan demonstrasi itu juga banyak bergantung kepada jumlah yang hadir menunjuk perasaan.
Perasaan dan orang ramai adalah satu gabungan yg ampuh dalam demokrasi. Yang penting bagi pengamal demokrasi yang ‘bijak’ adalah mendapat sokongan ramai, dan sokongan itu boleh diperolehi dengan berbagai cara; paling mudah adalah membangkitkan perasaan mereka. Perasaan boleh dihangatkan, dibakar, diapi-apikan, ditipu, dan dikelirukan. Perasaan tidak seperti ilmu yang dikaitkan dengan kebijaksanaan dan akhlak, manakala akhlak itu menuntut perasaan dan tindakan dikawal dengan bijaksana.
Kita orang Islam, termasuklah bangsa Melayu yang budayanya itu adalah cerminan budaya Islam, diajar oleh orang tua kita agar ‘tidak mengikut perasaan’ kerana ‘ikut rasa binasa, ikut hati mati’ kata mereka. Perasaan itu dikaitkan dengan nafsu dan nafsu berkait dengan diri hayawani, iaitu diri yang rendah dan hina dari dua diri manusia; diri yang tinggi dan terpuji itu adalah diri akali.
Akhlak agama mengajar kita bahawa keadilan terhadap diri hanya berlaku apabila diri hayawani itu tunduk patuh di bawah taklukan diri akali. Agama kita adalah agama akhlak, dan akhlak terbit dari ilmu yang benar dan amalan saleh yang menerbitkan sifat-sifat yang terpuji. Akhlak adalah mahkota Para Nabi. Maka ajaran orang tua kita bukanlah sesuatu yang bodoh. Akan tapi dalam masyarakat yang mengajar demokrasi dan tunjuk perasaan ajaran sebegini barangkali ini sudah dianggap kolot dan ketinggalan.
Orang yang tidak menunjukkan perasaan itu bukannya tiada perasaan. Mereka hanya tidak menunjukkannya kerana mereka faham bahawa perasaan itu sifatnya sementara dan tidak menentu, berbanding dengan akal yang dipandu oleh fikiran dan ilmu. Maka perasaan itu perlu dihalusi dan dikawal, bukan ditunjuk-tunjuk, diluah-luah dan diapi-apikan. Mereka kenal diri dan tahu bahaya menurut hawa nafsu.
Bangsa manusia yang mengajarkan budaya tunjuk perasaan itu apa yang mereka tahu tentang manusia? Apa yang mereka tahu tentang akal, nafsu, akhlak dan agama? Apa yang mereka tahu tentang diri hayawani dan diri akali? Mereka tidak tahu semua itu, mereka tidak pedulikannya, bahkan mereka nafikan kebenarannya.
Bangsa yang kerjanya mengikut-ikut orang itu pun sudah jadi begitu sifatnya: jahil dan menurut perasaan semata-mata. Mereka tidak pandai berfikir sendiri tentang masalah mereka. Apa yang mereka anggap masalah itu adalah apa yang diajarkan oleh ‘bapa angkat’ mereka sebagai masalah. Maka penyelesaian mereka itulah yang mereka turut ambil sebagai penyelesaian sehingga mereka telah tidak pedulikan lagi pesanan dan nasihat ‘bapa sendiri’.