Tanggal 1 Muharam setiap tahun hijrah mengingatkan orang Islam akan peristiwa perpindahan Rasullullah SAW ke Madinah. Hijrah mengikut sirah nabi adalah satu peristiwa yang amat penting kerana di situlah bermula Islam tersebar ke serata dunia. Kisah penghijrahan ini juga disebut dalam Surah At-Taubah ayat 40 tentang pertolongan Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan sahabatnya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika berlindung di dalam gua. Pada hari ini, semangat hijrah khususnya menyebarkan syiar Islam perlu ditekuni dan dihayati bersama.
Syiar atau kebesaran dan kemuliaan Islam mencakupi ruang lingkup yang amat luas. Ia bukan hanya berkenaan dengan akidah orang Islam, tetapi turut merangkumi cara hidup manusia dan hubungannya dengan alam semesta. Dalam aspek hubungan antara manusia, sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan manusia dari pelbagai jenis bangsa dan puak untuk saling mengenali (Al-Hujurat, 49: 13) seterusnya saling mempelajari dari antara satu sama lain. Justeru amat penting semangat hijrah seperti penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar diteladani terutama bagi Malaysia yang dihuni oleh masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Penyatuan dan perpaduan kaum telah menjadi antara syarat utama untuk Malaysia mencapai kemerdekaan. Ketika itu, semua pihak telah berusaha bersungguh-sungguh untuk bersatu bagi membebaskan negara daripada penjajah. Oleh itu, sepatutnya tempoh 62 tahun telah memahirkan kita sebagai rakyat Malaysia akan kepelbagaian agama dan budaya yang ada. Malangnya ada sebahagian daripada kita menggunakan 62 tahun ini untuk hidup memencil diri dalam kelompoknya, sentiasa mencurigai etnik yang berbeza, menghasut kepada kebencian, mewujudkan perpecahan bahkan mengada-adakan ketakutan yang tidak berasas.
Disebabkan segelintir individu yang memilih cara hidup begini, nilai perpaduan yang cuba disemai selama 62 tahun dibumi tercinta Malaysia semakin tergugat. Pelbagai insiden, peristiwa, peraturan bahkan kemalangan kerap dikaitkan kepada pertelingkahan antara kaum yang akhirnya mengundang sifat amarah antara satu sama lain. Bahkan emosi masyarakat yang berbilang kaum lebih kerap difokuskan dalam pelbagai media berbanding dengan tindakan rasional untuk mengurangkan ketegangan.
Terbaharu, kemalangan kecil di jalan raya yang sepatutnya dapat diselesaikan dengan mudah bertukar menjadi tragedi berdarah akibat tidak dapat mengawal emosi amarah. Taruhannya, satu nyawa telah terkorban, anak menjadi yatim dan si isteri menjadi balu. Tidak terkecuali juga ada anak dan isteri yang mungkin hidup terpisah sekiranya si pelaku disabitkan dengan kesalahan.
Sifat amarah ini kemudiannya tular di media sosial. Semakin ramai pula individu yang turun padang bermain dengan sentimen dan isu sensitif. Fitnah, cacian, makian dan hasutan bertebaran di alam maya. Kejadian yang sepatutnya berlaku antara dua individu kini menular menjadi ketegangan antara kaum.
Sebenarnya, nafsu amarah yang menguasai diri amat berbahaya lebih-lebih lagi jika dihidupkan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Amarah diibaratkan seperti api. Ketika kecil mampu dikawal dan dipadamkan. Namun apabila api itu menyemarak dan membesar, amat sukar dikawal. Akhirnya api tersebut akan memusnahkan apa sahaja yang ada di laluannya.
Sebab itulah Nabi Muhammad SAW berpesan tentang amarah: “Apabila salah seorang antara kamu marah dan ketika itu dia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah dia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya dan kalau tidak, maka hendaklah dia berbaring.” (hadis riwayat Muslim).
Rasulullah SAW juga bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salah seorang antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (hadis riwayat Abi Daud).
Sifat amarah itu adalah sebahagian daripada sifat manusia. Bahkan dalam keadaan tertentu kita perlu berasa marah kepada perbuatan yang keji dan mungkar yang berlaku di sekeliling kita. Walau bagaimanapun, Islam menekankan perihal bagaimana untuk manusia mengawal amarah agar tidak berpanjangan dan memudaratkan. Bahkan seorang pengadil (hakim) juga tidak boleh membuat keputusan dalam keadaan marah sebagaimana disebut dalam satu hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu menjatuhkan hukuman antara dua orang yang bersengketa ketika kamu sedang marah.” (Sahih Muslim).
Mengambil iktibar peristiwa berdarah ini, ayuh kita berhijrah daripada memiliki sifat-sifat tercela kepada mengamalkan sifat-sifat yang mulia. Penghijrahan ini tidak memerlukan kita menukar identiti bangsa dan budaya. Sebaliknya, teladan hijrah yakni perpaduan dan kesatuan ini perlu ditonjolkan melalui pergaulan yang baik, hormat-menghormati dan bertolak ansur sesama kita. Undang-undang perlu dipatuhi, penguatkuasaan hendaklah saksama, peluang haruslah dibuka seadilnya dan usaha perpaduan nasional perlulah disokong semua.
Sesungguhnya 62 tahun kemerdekaan negara yang dinikmati selama ini seharusnya menjadi iktibar kepada masyarakat. Syukurlah Malaysia tidak lagi terlibat dalam peperangan yang boleh mengorbankan nyawa, harta benda dan alam sekitar. Jangan disia-sia perjuangan wira-wira terdahulu dalam memerdekakan negara. Usah pula dijadikan teknologi semasa sebagai medan peperangan terbaharu antara satu sama lain.
Mengambil semangat hijrah dalam kemerdekaan, marilah kita bersama-sama berusaha menjadi individu yang terbaik untuk negara. Merdekakan diri kita daripada sifat amarah yang merosakkan. Semoga dengannya, kita mencapai nikmat keamanan yang sebenar-benarnya.