Ketika kita akan memasuki bulan Ramadan, bulan yang amat penting dalam kalendar Islam, umat Islam di seluruh dunia akan menunaikan kewajiban berpuasa dengan menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
Dalam Islam, puasa adalah pintu gerbang ke alam rohani dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Puasa memberi peluang untuk mengagungkan-Nya dan mensyukuri nikmat-Nya yang tidak terhitung dan ternilai. Dalam kesibukan kehidupan dunia moden masa kini, kita sering lupa dan alpa untuk menghargai segala kurniaan-Nya.
Puasa dilihat sebagai kaedah untuk mengawal hawa nafsu agar lebih fokus dalam beribadah kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.
Imam Ibnu Kathir menjelaskan dengan menukilkan pandangan dari ‘Abbad bin Mansur yang meriwayatkan tafsiran daripada Hasan al-Basri menyatakan bahawa Allah SWT telah mewajibkan puasa ke atas setiap umat terdahulu sama seperti umat Nabi Muhammad SAW dengan berpuasa satu bulan penuh pada hari yang telah ditentukan dan ia juga telah diriwayatkan oleh al-Suddi.
Selain itu, kaedah dan cara berpuasa umat terdahulu tidak jauh bezanya dengan umat baginda Nabi Muhammad SAW. Mereka melaksanakan puasa dengan menahan diri mereka daripada makan dan minum. Di samping itu, mereka juga menahan diri daripada bersama dengan isteri mereka. Misalnya, Imam Qurtubi meriwayatkan daripada al-Sya’bi dan Qatadah menceritakan bahawa umat nabi Musa dan Isa AS diperintahkan untuk berpuasa pada bulan Ramadan lalu mereka menukarkannya pada waktu yang lain. Disebabkan itu, para pendeta mereka berpendapat supaya ditambah sepuluh hari bilangan hari berpuasa sebagai ganti. Oleh kerana keputusan para pendeta itu, ramai dari kalangan mereka tidak mampu menunaikannya malah ramai dari kalangan mereka yang jatuh sakit. Oleh kerana itu, para pendeta mereka bernazar sekiranya sembuh, mereka akan menambah lagi bilangan hari berpuasa sebanyak sepuluh hari lagi. Hal ini menjadikan jumlah bilangan hari puasa mereka menjadi lima puluh hari sehinggalah mereka diberi kesusahan untuk menunaikanya. Lantaran itu, mereka menukar puasa tersebut pada waktu yang lain ketika musim yang lebih dingin iaitu pada musim bunga. Hal ini kerana mereka tidak dapat menahan berpuasa pada cuaca yang panas dalam musim kemarau.
Di samping itu, Imam al-Qurtubi juga menukilkan pandangan daripada Mu’az bin Jabal dan ‘Ata yang menyatakan bahawa pada permulaan kedatangan Islam, umat Islam berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan dan juga pada hari Asyura seperti yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Imam Qurtubi juga mendatangkan hujahnya daripada Ibnu ‘Abbas yang menyebut bahawa puasa tiga hari pada setiap bulan dan puasa pada hari Asyura itu dimansuhkan lalu digantikan dengan puasa pada bulan ramadan.
Sebenarnya, puasa merupakan amalan yang penting kerana ketika menunaikannya, umat Islam berusaha menyempurnakan akhlak berdasarkan tuntutan Islam serta mengawal tingkah laku, ego dan ananiyah (sikap keakuan). Menariknya, puasa adalah amalan wajib dalam agama Islam dan juga dalam agama lain. Hampir semua agama utama yang wujud mewajibkan atau menggalakkan penganutnya berpuasa dalam pelbagai bentuk dan cara.
Sebagai contoh dalam agama Kristian, Perjanjian Lama dan Baru mengajar nilai puasa melalui penahanan diri daripada makan dan minum untuk meningkatkan fokus dalam doa serta mencari keredaan Tuhan. Al-Kitab menyebut banyak contoh orang soleh yang berpuasa dan menerima hikmah atau wahyu daripada Tuhan.
Dalam agama Yahudi, Tisha B’Av adalah hari puasa tahunan yang memperingati pelbagai bencana bersejarah yang menimpa umat mereka. Puasa ini berlangsung selama dua hari penuh, bermula dari matahari terbenam sehari sebelumnya hingga matahari terbenam hari berikutnya. Hari tersebut dianggap sebagai hari paling malang dalam kalendar Yahudi kerana pada tarikh ini telah berlaku beberapa peristiwa tragis, termasuk pemusnahan Kuil Sulaiman oleh Empayar Neo-Babilon serta pemusnahan Kuil Kedua oleh Empayar Rom di Baitulmuqaddis. Menurut kepercayaan mereka, Tisha B’Av ditakdirkan sebagai hari yang penuh dengan tragedi. Dalam kalendar Gregory, Tisha B’Av biasanya jatuh pada bulan Julai atau Ogos.
Yom Kippur (Hari Penebusan), disebut dalam Taurat (Kitab Imamat 23:26-32), dianggap hari paling suci dalam kalendar Yahudi. Fokus utamanya adalah penebusan dosa dan taubat. Umat Yahudi berpuasa dan berdoa di rumah ibadat. Pada akhir Yom Kippur, mereka mengharapkan pengampunan daripada YHWH (Tuhan).
Dalam agama Buddha, terdapat beberapa bentuk puasa. Siddhartha Gautama (Buddha) dikatakan pernah menjalani puasa ekstrem sehingga kurus kering sebelum mencapai pencerahan. Ahli monastik Buddha mengikuti kod Pratimoksa dalam teks Vinaya (peraturan disiplin monastik) melarang makan selepas makan tengah hari.
Dalam agama Hindu, puasa tidak diwajibkan tetapi merupakan amalan sunat untuk menyucikan tubuh dan minda serta mendapatkan rahmat tuhan. Bentuk puasa berbeza mengikut kepercayaan peribadi, keluarga atau komuniti. Ada yang hanya menahan satu hidangan sehari atau menggantikan makanan tertentu, contohnya, daging diganti dengan sayuran. Penganut vegetarian mungkin menggantikan nasi, gandum atau lentil (kekacang yang boleh dimakan) dengan kentang. Puasa juga boleh menjadi cara untuk mencuba hidangan baharu.
Tujuan utama berpuasa dalam syariat Islam adalah untuk mencapai darjat takwa (ketaatan berlandaskan kesedaran terhadap Allah). Takwa disebut lebih 158 kali dalam Al-Quran dan ratusan kali dalam hadis. Ia merangkumi semua nilai dan akhlak Islam. Takwa bermaksud sentiasa sedar akan kewujudan Allah SWT dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Puasa mengajar keikhlasan dan prinsip hidup demi Allah, terutamanya apabila amalan ini boleh dilakukan tanpa disedari orang lain. Inilah inti pati takwa. Selain itu, dengan menahan diri daripada perkara yang dihalalkan, seseorang menjadi lebih kuat untuk menjauhi yang haram.
Kesimpulannya, puasa juga mengajar empati dan belas kasihan terhadap penderitaan golongan miskin, sekali gus membantu mengikis sifat keegoan dalam diri. Ketika umat Islam berpuasa bersama-sama di bulan Ramadan, wujud rasa kebersamaan yang lahir daripada kedekatan spiritual dengan Allah SWT. Ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dengan-Nya, tetapi juga mempererat ikatan sesama insan. Perpaduan, keharmonian, dan persaudaraan merupakan hasil daripada ketakwaan yang dipupuk melalui ibadah puasa.