Malaysia, sebagai sebuah negara yang berazam untuk menjadi negara maju pada tahun 2030, telah menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan sosial yang inklusif. Salah satu kumpulan yang mendapat perhatian khusus dalam agenda pembangunan ini adalah golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Namun, beberapa kejadian tragis yang melibatkan golongan ini seperti kes penderaan terhadap mereka, sehingga yang membawa kepada ancaman, ugutan malah kehilangan nyawa, menunjukkan bahawa ramai masyarakat masih tidak sensitif terhadap keperluan dan hak-hak OKU. Ini juga menandakan masih terdapat banyak lagi ruang untuk meningkatkan kesedaran hak perlindungan dan sokongan kepada golongan ini dalam masyarakat. Dalam konteks ini, masyarakat sivil sebenarnya memainkan peranan penting dalam melindungi hak-hak dan kebajikan OKU di Malaysia.
Satu daripada cara utama masyarakat sivil boleh membantu melindungi golongan OKU adalah dengan meningkatkan kesedaran awam tentang cabaran yang dihadapi oleh golongan ini. Kempen kesedaran ini boleh dilakukan melalui pelbagai medium, termasuk di media sosial, televisyen, radio, dan forum-forum awam. Kempen berkaitan seperti ini bukan sahaja memberi maklumat kepada masyarakat tentang keperluan OKU, tetapi juga membantu menghapuskan stigma negatif yang sering kali dikaitkan dengan golongan ini.
Selain itu, pendidikan formal juga merupakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran. Masyarakat sivil boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk memastikan bahawa pelajar-pelajar diberi pendedahan tentang isu-isu berkaitan OKU. Ini akan membantu membentuk generasi muda yang lebih sensitif dan bersedia untuk menyokong golongan OKU.
Masyarakat sivil juga mempunyai tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk melindungi hak-hak OKU. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar penting seperti Dasar Orang Kurang Upaya Negara 2007, kesedaran dan pemahaman Masyarakat dalam perkara itu seharusnya konsisten dan sejajar. NGO dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil boleh memainkan peranan sebagai pengawal hak-hak OKU dengan memastikan bahawa dasar-dasar ini dilaksanakan sepenuhnya secara sistematik.
Masyarakat sivil melalui beberapa NGO yang berkaitan juga boleh melakukan audit sosial terhadap fasiliti awam untuk mempastikan bahawa ia mesra kepada golongan OKU terutamanya yang melibatkan prasarana awam, stesen LRT, bas dan lain-lain. Audit fasiliti juga perlu melibatkan keperluan golongan OKU masalah pembelajaran yang sering terabai dan dipandang serong oleh banyak pihak. Selain itu, masyarakat sivil juga boleh menggunakan data dan kajian yang dilakukan bagi tujuan penambahbaikan. Sebagai contoh, NGO boleh menjalankan kajian tentang tahap diskriminasi yang dihadapi oleh OKU di tempat kerja dan menggunakan dapatan ini untuk menyeru kepada kerajaan supaya memperbaiki undang-undang berkaitan pekerjaan, pendidikan dan sebagainya.
Pemantauan pelaksanaan dasar kerajaan adalah langkah penting untuk mempastikan bahawa matlamat dasar tersebut dicapai sepenuhnya. Dasar kerajaan sering kali dirancang dengan niat baik, dan ia perlu dipastikan diterima baik di peringkat masyarakat tanpa sebarang halangan sumber, ketidakcekapan birokrasi, atau penyalahgunaan kuasa. Masyarakat sivil boleh bertindak untuk mempastikan bahawa dasar-dasar ini dapat dilaksanakan sewajarnya.
Walaupun masyarakat sivil memainkan peranan penting dalam memantau pelaksanaan dasar kerajaan, mereka turut tidak sunyi dari pelbagai cabaran. Kekurangan sumber manusia merupakan cabaran utama yang menyukarkan mereka untuk menjalankan audit sosial atau kajian lapangan secara menyeluruh bagi memantau kepatuhan pelaksanaan dasar-dasar yang telah disediakan Kerajaan. Tanpa sumber yang mencukupi, pemantauan sering kali terhad kepada kawasan tertentu sahaja, manakala kawasan lain mungkin diabaikan.
Satu lagi cabaran adalah ketidakpekaan masyarakat terhadap isu-isu yang dihadapi oleh golongan OKU ini. Walaupun NGO berusaha untuk meningkatkan kesedaran, ramai masyarakat masih tidak peka terhadap keperluan dan hak-hak OKU. Ini menyukarkan usaha masyarakat sivil untuk mempastikan bahawa dasar-dasar kerajaan dilaksanakan sepenuhnya. Masyarakat sivil juga perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mempastikan bahawa dasar-dasar dilaksanakan dengan berkesan dan memberi cadangan untuk penambahbaikan. Kolaborasi seperti ini akan membolehkan masyarakat sivil memainkan peranan yang lebih aktif dalam pembuatan dasar dan seterusnya bertindak sebagai orang tengah yang boleh menyalurkan maklumat berkaitan untuk masyarakat.
Masyarakat sivil berperanan penting dalam memperjuang, mempertahan dan membela golongan OKU secara kukuh sebagai tanda sokongan mereka kepada golongan ini. Sokongan langsung ini sangat penting kerana ramai OKU yang seringkali terabai. Dalam komuniti, boleh diwujudkan jawatankuasa pemantauan golongan OKU peringkat komuniti dan kampung bagi membela mereka agar tidak terus tersisih. Mereka juga boleh menggalakkan inklusiviti dengan mempromosikan penyertaan OKU dalam aktiviti harian masyarakat dan mengurangkan jurang stigma negatif. Selain itu, masyarakat sivil juga boleh menyokong program-program yang memberi peluang kepada OKU untuk menyertai pasaran kerja dengan menyediakan latihan kepada OKU untuk meningkatkan kemahiran mereka dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan. Dengan menyokong program sedemikian, masyarakat sivil boleh membantu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan OKU.
Islam menekankan konsep ukhuwah (persaudaraan) dan tanggungjawab masyarakat dalam membantu golongan lemah. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”. Ini adalah gambaran kepada keadilan sosial yang dituntut dalam Islam.
Masyarakat sivil memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi hak-hak dan kebajikan golongan OKU di Malaysia. Melalui usaha seperti meningkatkan kesedaran, menyediakan sokongan langsung, berkolaborasi dengan kerajaan, dan mengadvokasi dasar yang lebih baik, masyarakat sivil boleh membantu mencipta masyarakat yang lebih inklusif dan adil untuk OKU. Dengan komitmen kolektif, golongan OKU berhak mendapat perlindungan dan peluang yang sama seperti mana-mana ahli masyarakat lain.