Amalan berpuasa merupakan satu kewajipan bagi seluruh umat Islam yang telah mencapai syarat-syarat yang tertentu. Status hukum amalan ini sebagai sesuatu yang fardhu sesekali tetap tidak akan berubah walau dalam apa keadaan sekalipun, sama ada seseorang itu sakit atau uzur dan sebagainya. Namun Islam ada memberi kelonggaran,dan kelonggaran itu bukanlah satu lesen untuk mengabaikan amalan berpuasa dan bukan juga satu keadaan yang boleh menggugurkan status hukum kewajipan untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al Baqarah, ayat 183, yang bermaksud, ‘wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa’.
Berhubung kewajipan berpuasa ini, ia juga tidak terkecuali bagi pesakit yang mengalami gangguan mental dan emosi. Namun keadaan ini bergantung kepada beberapa perkara seperti jenis penyakit, tahap keterukan, keperluan untuk bergantung kepada ubatan dan sebagainya. Penyakit berkaitan gangguan mental sebenarnya merujuk kepada gangguan terhadap fungsi otak. Gangguan ini pula boleh menjejaskan daya pemikiran dan kewarasan, perasaan serta tingkahlaku seseorang individu. Penyakit gangguan mental ini juga amat berbeza dari masalah kesihatan mental. Masalah kesihatan mental, walaupun mendatangkan kesukaran, kesulitan dan kepayahan, namun ia belum memadai untuk digolongkan ke dalam kategori penyakit gangguan mental akibat dari tahap keterukan atau keseriusan, namun ia tetap tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana masalah kesihatan mental yang amat ringan pun, jika dibiarkan dan tidak dirawat, ia akan menjadi lebih serius dan kronik serta akan menjadi lebih tidak terkawal.
Bagaimana amalan berpuasa ini dapat membantu dalam proses pemulihan gangguan mental? Sebenarnya terdapat pelbagai kajian dan dapatan saintifik yang telah membuktikan kelebihan berpuasa khususnya dalam aspek kesihatan, baik dari segi kesihatan fizikal, mahupun mental dan emosi. Malah, amalan berpuasa juga menyumbang kepada peningkatan kesihatan tingkahlaku yang menyumbang kepada perubahan gaya hidup yang lebih produktif. Selain itu, berpuasa turut didapati meningkatkan tahap kesedaran spiritual yang tinggi di kalangan individu yang berpuasa. Pada akhirnya, tahap kesihatan yang baik ini turut menyumbang kepada peningkatan kesihatan mental mereka.
Jika ditinjau dari sudut konsep puasa, terkandung pelbagai hikmah, fadhilat dan kelebihan atau kebaikan yang wujud dari amalan berpuasa ini. Ketika di bulan Ramadhan yang mulia ini pula, memang terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan dan semuanya adalah ibadah yang akan diberikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah s.w.t. Contohnya seperti bertadarrus dan membaca al Quran, berzikir dan beriktikaf di masjid, solat sunat malam, bersedeqah, memberi makan fakir miskin dan sebagainya. Semua amalan yang dilakukan ini ada banyak kelebihan dan pahala yang akan mendorong mana-mana individu untuk bermotivasi dan berlumba-lumba serta beristiqamah dalam melakukannya, dan ia adalah satu aktiviti yang sihat dan menyihatkan.
Manakala jika dilihat dari sudut gangguan mental pula, terdapat sesetengah penyakit mental yang mungkin disalahtafsir tidak sesuai dibantu dengan amalan berpuasa. Alasannya ialah berpuasa akan lebih memburukkan keadaan penyakit mental yang dihidapi. Kenapa tanggapan ini berlaku? Ia sebenarnya adalah satu tanggapan yang salah. Ini kerana terdapat pelbagai hikmah dan kebaikan dari amalan berpuasa yang mampu menyembuhkan pelbagai gejala gangguan mental dan emosi. Contohnya seperti gangguan kebimbangan, gangguan panik, penyakit kemurungan dan lain-lain. Memang wujud gambaran dan tanggapan yang mengelirukan bahawa gangguan kebimbangan dan panik, mahupun kemurungan, akan menjadi lebih serius ketika berpuasa yang dikatakan berpunca dari fitrah puasa itu sendiri. Ketika berpuasa, badan akan menjadi lemah, letih dan lesu. Tubuh badan akan menjadi mudah menggeletar, dada mudah berdebar dan sebagainya. Malahan, kadang-kadang nafas akan menjadi mudah semput. Ini adalah fenomena biasa kesan fizikal akibat berpuasa yang akan pulih selepas berbuka. Namun bagi pesakit gangguan kebimbangan dan panik, tanda-tanda fizikal seperti ini adalah perkara yang paling mereka takuti, kerana ia dianggap sebagai tanda-tanda kematian, penyakit berbahaya, kemudharatan fizikal dan lain-lain. Akibatnya, amalan berpuasa telah menjadi satu perkara yang ditakuti dan cuba dielakkan. Mereka tidak takut kepada puasa itu, tetapi takut kepada kesan fizikal akibat berpuasa yang menjadikannya sukar untuk mereka lalui. Jika cuba dilalui, maka penyakit kebimbangan dan panik akan datang menyerang mereka.
Namun pada hakikatnya, amalan berpuasa adalah satu bentuk terapi kepada individu yang menghidapi penyakit kebimbangan, panik, kemurungan dan lain-lain. Ini kerana berpuasa telah mendedahkan mereka untuk berhadapan dengan perkara yang menjadi ketakutan mereka. Pesakit-pesakit ini amat takut kepada sebarang perubahan fizikal yang tercetus akibat berpuasa, dan menjalani ibadah puasa pula telah mendedahkan mereka untuk terdorong agar sering berhadapan dengan ketakutan atau kebimbangan mereka sendiri yang pada akhirnya akan memulihkan mereka juga. Namun bagaimana ia boleh berlaku? Ia melalui satu kaedah rawatan yang dikenali sebagai exposure therapy atau terapi pendedahan.
Dari segi perubatan psikiatri moden, terapi pendedahan ini adalah satu bentuk rawatan psikoterapi yang amat efektif dalam merawat gangguan mental berkaitan kebimbangan seperti fobia sosial, gangguan panik, ketakutan tempat tinggi atau sempit dan sebagainya. Namun, amalan berpuasa secara tidak langsung juga telah memiliki ciri-ciri terapi seperti ini. Ketika berpuasa, pesakit kebimbangan akan terdedah kepada perubahan fizikal yang menakutkan mereka. Namun, proses rawatan dalam kaedah ini berlaku apabila para pesakit menyedari dan memahami bahawa perubahan yang berlaku itu adalah akibat dari amalan berpuasa, bukan sebagai simptom penyakit mereka, namun sekadar memiliki tanda-tanda yang sama sahaja, dan kebenarannya boleh dibuktikan dengan hakikat bahawa itu adalah gambaran fitrah puasa, malahan kadang-kadang ada juga tanda-tanda seperti itu tetapi ia tidak pun menyebabkan seseorang pesakit akan terkena serangan panik atau kebimbangan. Kefahaman yang kukuh dan berasas terhadap simptom penyakit dan keupayaan dalam membuktikan kebenaran simptom adalah kekurangan yang ada dalam diri pesakit kerana ia adalah ciri-ciri personaliti dan pemikiran individu yang mengalami masalah kebimbangan, yang sebenarnya perlu dipantau dalam sesi rawatan kerana ia membantu proses pemulihan.
Selain dari itu, bersolat terawih secara berjemaah juga boleh dijadikan sebagai asas rawatan exposure kepada gangguan panik dan fobia sosial. Malahan, penyakit kemurungan juga boleh dibantu dengan pelbagai rawatan pendedahan kerana ia melatih para pesakit untuk melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadhan agar mereka tidak berterusan menjadi pasif dan tidak aktif kerana penyakit kebimbangan yang dihidapi. Satu perkara paling penting yang diajarkan ketika beribadat sepanjang Ramadhan ialah melaksanakan amalan tersebut secara istiqamah dan sabar. Dua aspek ini jugalah yang membantu seseorang pesakit itu ketika melalui fasa proses pemulihan gangguan mental dan emosi mereka dengan cara mengawal dan mengatur serta mengurus corak pemikiran dan perubahan emosi yang berlaku, kerana mereka adalah pesakit yang mengalami gangguan regulasi emosi.