Pemimpin adalah cerminan rakyat yang dipimpin. Maka baik atau buruk pemimpin yang diangkat memimpin negara adalah menggambarkan baik atau buruknya rakyat yang mengangkat mereka. Kalau sekiranya barisan pemimpin yang terpilih itu terdiri daripada mereka yang korup maka ia menunjukkan bahawa rakyat secara umumnya juga adalah korup sehingga memungkinkan orang-orang yang korup dalam kalangan mereka naik ke tampuk kepimpinan. Ini tidak bermakna bahawa kita harus membiarkan sahaja korupsi berlaku tanpa membantah dan membetulkannya. Akan tetapi hendaklah kita insafi betul-betul akar umbi masalahnya, dan tidak keterlaluan dalam menyalahkan pemimpin yang dipilih sehingga lupakan kesalahan diri sendiri.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari telah dinyatakan perintah Rasulullah SAW kepada umat Islam supaya bersabar kalau sekiranya mereka dapati pemimpin mereka melakukan sesuatu yang bereka tidak suka. Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW memuji seseorang yang mengucapkan kata-kata yang benar di hadapan pemimpin yang zalim. Maksud kedua-dua hadis ini pula dihimpunkan dalam surah al-Asr yang menyatakan bahawa semua manusia dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan dengan sabar.
Memadailah pesanan al-Quran dan hadis di atas sebagai panduan kita dalam bertindak dan menyuarakan teguran kepada pemerintah. Dari segi prinsipnya, teguran terhadap pemerintah adalah termasuk dalam perintah amar makruf dan nahi munkar. Akan tetapi perintah itu bukan boleh dibuat secara semberono atau sembarangan, sebaliknya hendaklah dilakukan dengan cermat oleh ahli-ahlinya, iaitu mereka yang memahami erti kebenaran dan mereka yang memiliki kesabaran dalam menyampaikan kebenaran itu.
Kesabaran dalam menghadapi karenah pemerintah adalah sifat yang dituntut oleh agama kerana tidak dapat dinafikan dari semasa ke semasa kita akan menghadapi berbagai-bagai cabaran yang boleh menguji keutuhan perpaduan kita. Perpaduan dan kesatuan hati amatlah penting kerana ia adalah prasyarat untuk menyelesaikan masalah, sedangkan kesabaran adalah prasyarat untuk mengekalkan perpaduan itu. Apabila tiada perpaduan bukan sahaja masalah sedia ada tidak dapat kita selesaikan, bahkan kita mungkin akan berhadapan dengan masalah baharu iaitu perpecahan, permusuhan dan kemungkinan juga pertumpahan darah. Terlalu banyak bukti-bukti yang boleh kita kutip sama ada dari sejarah lama ataupun peristiwa-peristiwa yang baru berlaku di hadapan kita.
Demokrasi dan media sosial walau bagaimanapun membuahkan cabaran-cabaran yang getir dalam mempertahankan prinsip di atas. Prinsip kebebasan bersuara yang didokong oleh media sosial yang tiada sempadan boleh menjadi bencana kalau sekiranya tidak dipandu oleh kebijaksanaan. Apabila kebebasan bersuara itu dijadikan akidah pegangan dan dianggap hak mutlak, bahaya yang besar akan menimpa kerana lidah yang tidak mengetahui batasannya akan menjadi punca fitnah, perpecahan bahkan pertumpahan darah. Kebebasan bersuara yang dianjurkan oleh Islam bukanlah kebebasan menyatakan sebarang pendapat akan tetapi kebebasan dalam menyuarakan kebenaran kerana fitnah dan kepalsuan bukanlah sesuatu yang membebaskan, tetapi sebaliknya sesuatu yang membelenggu dan menghalang kita daripada maju ke hadapan.