Islam telah memberi garis panduan kepada umatnya dalam hal berbelanja. Kita disaran agar bersederhana dan tidak boros berbelanja. Sifat yang sedemikian akan dapat membantu kita menjadi hamba Allah yang dekat padaNya, seterusnya diberkati.
AlQuran telah memberi panduan kepada umat Islam di dalam hal perbelanjaan ini, dalam Surah alFurqan: 64 maksudnya, “Dan orang-orang yang apabila mereka membelanjakan harta mereka mereka tidak membazir, dan tidak pula kikir. Dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah yang demikian”.
Oleh itu Islam membimbing kepenggunaan umatnya, sikap bersederhana dalam perbelanjaan adalah amalan terbaik yakni, tidak terlalu boros mahupun terlalu kedekut. Kita disaran untuk bersederhana dan beringat untuk masa hadapan walaupun dalam keadaan kita senang. Inilah yang telah dinyatakan oleh Al-Quran dalam Surah Yusuf:47 maksudnya, “Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkai-tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan”.
Orang yang suka membazir atau boros itu disebutkan oleh Allah sebagai saudara-saudara syaitan. Di dalam Surah Al-Israk:26-27 disebut maksudnya, “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (harta mu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya”.
Di sini menunjukkan orang yang membazir itu sebenarnya adalah saudara syaitan dan syaitan itu tempatnya di neraka.
Bulan Ramadhan yang baru berlalu merupakan waktu yang sangat sesuai bagi kita memupuk sifat kesederhanaan ini. Berpuasa mengajar kita untuk mengawal nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah. Terdapat had masa untuk makan dan minum bagi orang yang berpuasa. Kesan dari ini Allah mengkehendaki umatnya untuk hidup sederhana dan tidak membazir. Rasulullah SAW berpesan, jikalau seseorang antara kamu berbuka puasa, maka hendaklah berbuka dengan kurma, tetapi apabila tidak menemukannya, maka hendaklah berbuka dengan air, kerana sesungguhnya air itu suci. (Riwayat Salman bin ‘Amr ad-Dhahabi).
Dari sini jelas kita dilarang menjadikan malam sebagai medan membalas dendam menahan lapar dan dahaga di siang hari. Malam di bulan Ramadhan tidak seharusnya jadi pesta makanan yang selalunya akan berakhir di tong-tong sampah. Oleh itu Ramadhan sebenarnya merupakan madrasah atau pusat melatih hidup sederhana tidak saja pada siang hari, tetapi juga pada malam hari terutama ketika kita berbuka puasa.
Sikap bersederhana sepanjang bulan puasa lalu seeloknya diteruskan sepanjang masa. Sememangnya hidup sederhana adalah cara hidup sunnatullah. Jadi kita memang digalakkan bersederhana sebagai langkah berjimat terutamanya dalam keadaan kenaikan harga barangan sekarang ini.
Namun ini tidak bererti Islam menyuruh umatnya menjadi lokek atau kedekut sehingga mengira setiap sen pun yang keluar. Islam melarang sifat bakhil serta menjadikannya sebagai satu faktor kerosakan yang besar. Di dalam sebuah hadis menyebutkan: “Hati-hatilah kamu daripada sifat kikir, sesungguhnya umat sebelum kamu telah binasa disebabkan kekikiran. Kekikiran telah mengarahkan mereka agar memutuskan hubungan lalu mereka pun memutuskannya, mengarahkan mereka agar lokek lalu mereka pun menjadi lokek, mengarahkan mereka agar melakukan keburukan lalu mereka pun melakukan keburukan”.
Seseorang itu tidak boleh bersikap bakhil terhadap hak-hak yang wajib kepada dirinya atau keluarganya. Islam menegaskan kepentingan hak-hak ini, sehingga dibolehkan mengangkat senjata untuk mendapatkannya contohnya di dalam peristiwa peperangan yang dilancarkan oleh Abu Bakar al-Siddiq bersama para sahabat bagi mendapatkan hak zakat. Begitu juga Rasulullah SAW mengharuskan kepada tetamu untuk mengambil hak menjamu terhadap tuan rumah walaupun secara paksa. Oleh itu menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk perhatikan perkara ini.
Persolan timbul samada sikap sederhana yang dianjurkan Islam bermakna umat Islam tidak digalakkan mengumpul harta atau menjadi kaya? Sebenarnya Islam adalah agama fitrah. Tidak terdapat satu pun prinsip Islam yang menyalahi atau merosakkan fitrah tersebut. Sebaliknya di dalam Islam hanyalah terdapat prinsip yang bersesuaian dengan fitrah, mendidiknya serta menaikkan martabatnya. Antara fitrah yang telah ditentukan ke atas manusia ialah sukakan pemilikan.
Allah telah melengkapkan sifat naluri ini kepada manusia agar manusia rasa terdorong untuk lebih berusaha apabila mereka mengetahui mereka akan memiliki hasil usaha mereka. Bahkan Islam melindungi milikannya serta mewariskannya kepada zuriat yang akan datang. Islam tidak mengharamkan kekayaan asalkan ia diperolehi secara usaha yang halal, tidak melibatkan perkara yang haram, tidak menzalimi seseorang dan tidak memakan hak orang lain.
Bagaimanapun Islam membataskan para pemilik harta dalam pengembangan dan pelaburan hanya melalui cara-cara yang dibenarkan oleh syarak; yang tidak bertentangan dengan akhlak dan nilai moral serta kepentingan umum. Ini kerana Islam tidak memisahkan antara ekonomi dan akhlak. Pemilik harta tidaklah sebebas sistem kapitalis. Islam menganggap harta pada hakikatnya sebagai harta Allah dan manusia hanyalah sebagai pemegang amanah atau peminjamnya sepertimana terdapat dalam Surah al-Hadid:7 yang bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan rasulNya serta nafkahlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah pinjamkan kepadamu”.
Islam juga tidak menghalang umatnya untuk sukakan keindahan. Sebahagian dari para sahabat Rasulullah SAW pada mulanya menyangka keindahan itu adalah bertentangan dengan keimanan atau meyebabkan takabbur iaitu suatu sifat yang dibenci Allah SWT. Ibn Mas’ud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk ke dalam syurga seseorang yang mempunyai sifat takabbur seberat biji sawi di dalam hatinya”. Kemudian seorang lelaki berkata: “Bagaimana jika ada seseorang itu yang suka memakai pakaian yang cantik dan kasut yang cantik?”. Sabda Baginda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan sukakan keindahan. Sifat takabbur menolak kebenaran dan membenci manusia”.
Oleh itu Islam tidak mengharamkan seorang Muslim itu kehidupan yang baik sepertimana yang telah diharamkan oleh sebahagian agama dan falsafah-falsafah lain. Sebaliknya Islam melarang kita “berlebihan dalam menikmatinya” yakni melampaui batas, walaupun dalam perkara-perkara yang halal. (Surah Al- Maidah: 87).