Ramadhan bagi tahun 1427H sudah berlalu. Jika dipanjangkan umur, Ramadhan tahun-tahun seterusnya akan sama-sama umat Islam temui. Khususnya di bulan Ramadhan lebih ramai individu Muslim berkunjung ke masjid kerana untuk melaksanakan ibadat solat sunat terawikh. Bahkan di waktu malam suasana masjid begitu hidup. Tambah-tambah lagi di kawasan perumahan dan di kampung-kampung. Sumbangan peranan masjid perlu dilebarkan semoga dapat menarik lebih ramai lagi minat individu ke masjid untuk memenuhi urusan lain termasuk keperluan kehidupan harian dan memantap kehidupan bermasyarakat.
Umat Islam mengetahui dari maklumat sejarah bahawa usaha membina masjid adalah tindakan awalan dan utama yang diambil oleh Nabi S.A.W. dalam membangun tamaddun masyarakat Islam pertama di Madinah. Di tempat unta Baginda berhenti dalam perjalanan jauh dari Makkah ke Madinah iaitu di perkarangan rumah Sahl dan Suh’ayl, tanah mereka di beli dan masjid pertama dibina. Menarik juga untuk kita ketahui bahawa Baginda S.A.W. mengguna pendekatan wakaf dalam membina masjid pertama Islam tersebut. Pendekatan ini diambil untuk mengembling seberapa ramai umat Islam menyertai dalam pembinaan masjid tersebut. Sekali gus ia juga akan membina semangat tanggungjawab di kalangan umat Islam bahawa masjid akan berperanan sebagai pusat pentadbiran kehidupan umat Islam dalam kesemua bidang.
Bagi Islam masjid adalah rumah Allah tempat umat Islam beribadat, khususnya bersolat jemaah harian dan bersolat Juma’at pada setiap minggu. Di samping itu masjid hendaklah turut di guna untuk umat Islam bertemu dalam menganjur segala urusan kehidupan bermasyarakat termasuk urusan penyusunan ekonomi masyarakat setempat. Justeru itu kaum lelaki jika gagal menyertai solat Jumaat untuk tiga kali dianggap fasik. Ini adalah kerana khutbah yang disampaikan oleh khatib menyentuh kesemua bidang yang melibatkan kehidupan dalam masyarakat terbabit.
Pemahaman Islam terhadap konsep ibadah adalah luas. Ia termasuk segala urusan kehidupan bermasyarakat. Islam menganjur kepada kesepaduan diantara segala urusan kehidupan dengan ajaran agama. MengIslamkan segala urusan duniawi adalah tuntutan kepada umat Islam. Allah berfirman dalam surah Az-Zalzalah, ayat 7-8 dengan jelas membimbing individu Muslim bahawa setiap tindak tanduk dalam kehidupan akan diperhitungkan untuk pembalasan akhirat.
Justeru itu adalah tepat jika umat Islam pada masa kini menghidupkan peranan masjid semoga sesuai dengan segala urusan kemasyarakatan kerana bagi Islam kesemuanya menjadi ibadah jika ia dirancang dan dilaksana mengikut tuntutan agama.
Dalam rangka permahaman tersebut beberapa peranan dan cadangan boleh disyorkan semoga masjid dijadi tempat kesedaran untuk membangun kekuatan ekonomi ummah. Di antara cadangan tersebut adalah berikut:
i. Pertama, memberi kesedaran tentang pentingnya kepada umat Islam berusaha meningkat kekuatan
ekonomi melalui pendekatan Islam dalam program ilmiah di masjid. Program ilmiah masjid perlu mendidik ummah bahawa Islam adalah agama untuk kemajuan dalam kehidupan. Kehidupan akhirat adalah pembalasan kepada bagaimana kita mengurus kehidupan di sini. Dalam suasana semasa orang Islam perlu berjihad dalam membangun kekuatan ekonomi mereka. Kedaifan ekonomi mereka menyebabkan mereka ditindas dan dihina. Mengkuasai kekuatan ekonomi akan menarik lebih minat masyarakat kepada ajaran Islam. Bahkan penyusunan ekonomi mengikut Islam sepatutnya menghasilkan masyarakat yang adil dan penuh kasih sayang.
ii. Kedua, menganjur kursus, seminar dan bengkel berkaitan dengan urusan perniagaan yang berwibawa mengikut pendekatan Islam di masjid. Dengan usaha ini ramai ahli peniaga dapat didekati kepada masjid. Bahkan dalam ajaran Islam pendekatan kepada urusan perniagaan sangat dinamik dan mempunyai pendekatan yang memboleh peniaga mencapai kejayaan dalam perniagaan. Ramuan pendekatan kepada perniagaan, seperti – strategi menguasai pasaran – adalah satu strategi yang menuntut peniaga Muslim supaya berjihad meningkat kecekapan dan menghasil mutu barangan dan perkhidmatan yang tinggi nilainya.
iii. Ketiga, membina masjid di kawasan pusat perniagaan negeri dan negara. Oleh itu bangunan masjid perlu juga di bangun di pusat kegiatan ekonomi. Ini sekaligus menyakinkan bahawa Islam tidak menganjurkan pemisahan ibadah khusus dengan melaksana hidup harian yang mesti disandarkan kepada Islam.
iv. Keempat, menyedia kemudahan perkhidmatan perbankan, insuran dan perkhidmatan penting berhampiran dengan dan jika mampu dalam perkarangan masjid. Usaha ini akan mendekatkan institusi kewangan ekonomi kepada individu Muslim yang mengunjung ke masjid. Keperluan berurusan dengan institusi kewangan akan meningkat apabila taraf kedudukan ekonomi umat Islam meningkat.
v. Kelima, menyedia dan menjual keperluan asas masyarakat di perkarangan masjid. Usaha ini mampu menarik ahli masyarakat mendekati masjid. Ini termasuk kemudahan klinik-klinik kesihatan swasta.
Cadangan-cadangan tersebut di atas adalah di antara beberapa kegiatan dan kemudahan yang disediakan berdekatan atau dalam perkarangan masjid. Banyak lagi kemudahan atau kegiatan yang boleh diperkenalkan dari masa ke semasa mengikut keperluan setempat dan semasa. Yang penting ke semua institusi masjid dalam negara kita perlu mengambil tindakan awalan memikir dan merancang semoga institusi masjid mampu menerajui keperluan dan pembangunan ummah termasuk bidang ekonomi.
Jika masjid mampu berperanan sedemikian institusi masjid akan lebih dirasai sebagai institusi yang menyumbang kepada keperluan kehidupan harian orang Islam. Sekali gus ia memecah tembok kefahaman yang memisahkan kehidupan dengan amalan agama. Agama adalah untuk menerajui kehidupan manusia dalam kesemua bidang termasuk penyusunan ekonomi.