KUALA LUMPUR 16 Feb. – Bidang bioinformatik dilihat mampu meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman umat Islam tentang kepentingan maqasid (maksud dan tujuan) syariah Islamiah.
Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Abu Bakar Abdul Majeed berkata, bidang bioinformatik juga mampu memainkan peranan penting bagi menjaga dan melindungi maqasid syariah Islamiah.
“Dengan kajian serta penyelidikan yang sedang dan akan dilakukan maka sudah tentu perkara ini (maqasid syariah Islamiah) akan menjadi lebih jelas untuk difahami dan dihayati.
“Akhirnya, diyakini bidang bioinformatik akan menjadi bidang yang mampu membuka mata manusia tentang kebesaran Allah dan hikmah yang terkandung dalam syariah Islamiah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Menyampaikan Kefahaman tentang Maqasid Syariah Melalui Bioinformatik’ pada seminar Islam Hadhari di sini, hari ini.
Seminar dua hari yang bermula semalam itu dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di bawah tajuk `Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah.
Bioinformatik lahir dari gabungan dua bidang teknologi iaitu bioteknologi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Menjelaskan mengenai maqasid syariah, Abu Bakar berkata, syariah Islamiah atau undang-undang Islam bukan bertujuan menyukarkan kehidupan manusia tetapi mempunyai tujuan tertentu.
Menurutnya, tujuan syariah Islamiah merangkumi lima perkara utama yang perlu dijaga dan dilindungi iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan harta benda.
“Jika dilihat kelima-lima tujuan syariah ini, jelas bahawa kesemuanya penting untuk kehidupan yang sempurna di dunia ini,’ ujarnya.
Memberikan contoh, Abu Bakar berkata, kaedah pengenalan diri menerusi analisis DNA yang dapat mengenal pasti mayat dengan pantas dan tepat adalah salah satu kaedah menjaga agama iaitu tujuan syariah Islamiah yang pertama.
Katanya, proses itu berkaitan dengan penjagaan agama kerana usaha mengenal pasti mayat orang Islam adalah bagi memastikan agama Islam terpelihara dengan baik.
“Ini juga berkaitan dengan mengenal pasti mayat orang Islam supaya satu acara pengkebumian yang menepati syarak dapat diberikan,’ katanya.
Abu Bakar berkata, kaedah bioinformatik juga memainkan peranan penting dalam menjaga zuriat termasuk kaedah rawatan genetik yang dapat mengesan penyakit keturunan dengan lebih awal.
Katanya, kaedah itu sama dengan ujian darah ke atas pasangan yang ingin berkahwin bagi menentukan sama ada mereka pembawa baka penyakit keturunan atau tidak.
“Kaedah bioinformatik juga mampu menghasilkan ubat biofarmaseutikal bagi meningkatkan kesuburan wanita dan menyediakan kaedah penghasilan klon embrio bagi merangsang kehamilan,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia