KUALA LUMPUR 16 Feb. – Umat Islam memerlukan satu enjin carian khas di Internet yang dapat membekalkan maklumat yang cepat dan tepat mengenai ajaran Islam sebenar ke seluruh dunia.
Felow Kanan, Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh berkata, pembangunan sebuah enjin carian khusus itu penting kerana maklumat berkaitan agama merupakan isu yang sensitif dan membabitkan pegangan akidah.
Katanya, dengan adanya enjin pencari seperti Google itu, umat Islam tidak perlu lagi bergantung kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai agama suci itu seperti yang berlaku sekarang.
Jelasnya, cadangan itu merupakan antara idea yang dikemukakan oleh para peserta seminar Islam Hadhari yang dianjurkan oleh IKIM yang berakhir hari ini.
“Sebelum ini, kita bergantung kepada enjin pencari yang disediakan orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat berkaitan agama melalui Internet sedangkan ia isu sensitif.
“Jadi, kita perlukan sebuah enjin pencari khas yang dikawal selia oleh orang Islam sendiri termasuk proses penyaringan maklumat bagi menentukan ketulenan maklumat mengenai Islam,’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada seminar Islam Hadhari di sini hari ini.
Seminar dua hari bertajuk Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah itu dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada ahli sains dan teknologi, pakar ICT, ahli akademik dan pakar agama.
Shaikh Mohd. Saifuddeen berkata, antara idea lain yang dikemukakan oleh peserta dan pembentang kertas kerja termasuk usaha menemukan golongan saintis Islam dan ahli agama bagi memperkukuhkan lagi gerakan dakwah Islamiah.
Katanya, golongan agama dan ahli sains dan teknologi Islam juga dicadangkan supaya bekerjasama mengumpulkan maklumat bioinformatik yang dapat menjaga maqasid atau tujuan syariah Islamiah.
“Idea lain adalah usaha ke arah penguasaan ilmu di kalangan umat Islam dalam semua disiplin ilmu sama ada konvensional atau baru termasuk dalam bidang bioinformatik,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia