Keinginan untuk memiliki sumber kekayaan atau harta serta kesenangan hidup merupakan tabiat semula jadi yang wujud dalam diri manusia. Keinginan ini memberikan dorongan kepada mereka untuk berusaha lebih keras demi memenuhi keperluan serta kecenderungan mereka yang semakin meningkat saban hari. Oleh sebab keinginan manusia tiada batasannya, maka usaha mereka untuk mencapainya juga tiada hadnya. Justeru itu, segala usaha yang dilakukan oleh manusia untuk memenuhi keinginan mereka perlu dikawal kerana jika tidak, manusia berkemungkinan melakukan pelbagai bentuk perbuatan keji, sebagaimana yang dapat dilihat berlaku hari ini.
Dalam soal pengurusan harta, pendapatan dan sumber kekayaan yang dimiliki, Islam menggariskan kaedah yang amat berkesan lagi terancang, iaitu sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 67, Surah al-Furqan, “”Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” Jelas dalam ayat ini bahawa kesederhanaan merupakan langkah terbaik yang amat wajar diberikan perhatian dalam mengurus perbelanjaan dan keperluan hidup seharian. Sederhana dengan maksud, tidak terlalu boros atau berbelanja tanpa berasaskan tujuan serta maksud yakni qasad (kata dasar bagi iqtisad) yang terancang lagi teliti. Demikian juga sebaliknya, perbelanjaan harta untuk tujuan kebaikan tidak harus sama sekali dibelenggu oleh sifat bakhil. Sebagaimana yang juga dijelaskan oleh al-Qur’an, salah satu unsur yang mendorong seseorang bersifat bakhil ialah kerana sifatnya yang terlalu sayang akan harta dan kebimbangannya yang tidak berasas bahawa ia akan menjadi miskin dan papa sekiranya hartanya disumbangkan sebagai sedekah bagi membantu golongan yang amat memerlukan di sekelilingnya. Sedangkan, dengan cara bersedekah dan menunaikan zakatlah, dirinya dapat dibersihkan daripada dosa atau kejahatan yang berpunca daripada harta seperti kemewahan yang berlebihan dan keborosan, jiwanya dapat dibersihkan terutama daripada sifat bakhil, hartanya pula akan bertambah-tambah disebabkan kurniaan daripada Allah s.w.t. dan kehidupan masyarakat sekelilingnya akan lebih aman, bahagia lagi tenteram. Ini disebabkan kemakmuran hidup mereka selain juga kerana keutuhan pertalian antara sesama mereka.
Selain kesederhanaan, kebijaksanaan juga merupakan satu lagi sifat yang amat diperlukan dalam pengurusan harta, pendapatan dan sumber kekayaan, khususnya ketika dilanda kesulitan. Ini terbukti dalam kisah yang dipaparkan oleh al-Qur’an berhubung dengan tawaran yang diberikan oleh Nabi Yusuf a.s. kepada raja Mesir untuk bertindak sebagai bendahara atau menteri kewangan negara Mesir. Menurut riwayat, selepas dilantik menjadi menteri, Nabi Yusuf a.s. segera menyiapkan bekalan dan mengambil tindakan yang cukup terancang bagi menangani musim kemarau serta kebuluran yang akan melanda Mesir. Sehubungan itu, rakyat Mesir digesa menanam gandum selama tujuh tahun berturut-turut. Gudang besar atau piramid dibina untuk menyimpan hasil tuaian gandum berserta tangkainya dan batangnya. Ini bertujuan mengekalkan kesegaran dan kelembapannya selain mengelakkan ia diserang ulat. Bekalan yang disimpan itu juga hanya dinikmati dalam kadar yang sedikit sepanjang tahun-tahun kemarau berikutnya, iaitu sekadar memenuhi keperluan dan untuk menghilangkan kelaparan. Selain itu, sebahagian kecil daripada gandum itu juga disimpan untuk dijadikan benih.
Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Nabi Yusuf a.s. sendiri, raja Mesir dan tentera-tenteranya hanya makan sekali sahaja dalam sehari, iaitu pada waktu tengah hari bagi memastikan bahawa bekalan makanan mencukupi untuk rakyat Mesir menghadapi saat-saat genting sepanjang tujuh tahun kemarau itu. Negeri-negeri yang berjiran dengan Mesir seperti sebahagian negeri Syam dan Kan`aan (Palestin) turut menerima faedah daripada perancangan rapi negara Mesir ketika datangnya musim kemarau. Mesir yang kaya dengan hasil buminya menjual bijirin, iaitu makanan ruji kepada negeri-negeri tersebut untuk membantu mengatasi masalah kebuluran yang melanda rakyat.
Jelas daripada kisah kebijaksanaan Nabi Yusuf a.s. yang dipaparkan oleh al-Qur’an ini bahawa antara langkah terbaik yang seharusnya diambil dalam menghadapi sesuatu kemelut seperti kemarau, kebuluran dan kesulitan hidup termasuklah perancangan yang teliti dan penuh bijaksana serta perubahan gaya hidup. Inilah pedoman yang sebaik-baiknya dijadikan teladan dalam mengatasi apa juga bentuk kesulitan hidup yang dihadapi, terutama yang berkaitan dengan pengurusan pendapatan dan kewangan. Pada hari ini, kita dapat melihat permasalahan pengurusan harta, pendapatan dan kewangan berpunca daripada pelbagai sebab. Antaranya termasuklah kecetekan ilmu kewangan yang mengakibatkan kegagalan untuk mengurus kewangan dengan bijaksana, kelemahan dalam merancang perbelanjaan, ketidakupayaan untuk mengawal kehendak diri, ketiadaan tabungan atau simpanan, kesederhanaan tidak dijadikan gaya hidup dan sebagainya. Maka dengan demikian, timbullah pula masalah dan kesulitan yang lain pula seperti bebanan hutang dan pinjaman yang tidak mampu untuk diuruskan dengan baik.
Al-Jahiz (776-869M.), dalam bukunya, “Al-Bukhala’ (The Misers)”, mengatakan, “Seseorang yang tidak memiliki akaun bagi perbelanjaan wang keluar tidak memiliki akaun bagi pendapatannya; sesiapa yang tidak memiliki akaun pendapatannya akan kehilangan modalnya dan sesiapa yang tidak mengetahui tentang nilai wang akan berpuas hati dengan kemiskinan dan perasaan malu yang menyelubungi diri”. Menurut beliau lagi, “Perbelanjaan menurut nafsu atau secara bermewah menjadi penghalang bagi perbelanjaan untuk melaksanakan kewajipan. Sebaliknya, perbelanjaan untuk tujuan melaksanakan hak serta kewajipan menjadi penghalang bagi perbelanjaan menurut nafsu. Anda mungkin mendapati kesilapan pada apa yang kukatakan ini, namun Mu`awiyah pernah mengatakan, “Aku tidak pernah melihat (wang) diboroskan tanpa tiadanya tanggungjawab yang diabaikan.” Al-Hasan al-Basri pula mengatakan, “Jika kamu mahu menyelidik dari sumber manakah seseorang memperoleh wang atau pendapatannya, lihatlah pada perkara apakah wang tersebut dibelanjakannya!”
Memang tidak dinafikan bahawa dengan keperluan yang ada hari ini, kita terpaksa membuat pinjaman atau berhutang bagi tujuan pembelian rumah, kenderaan dan alat kelengkapan rumah seperti perabot atau juga bagi pembiayaan perniagaan, rawatan kesihatan, pendidikan, pelaburan dan tujuan-tujuan yang lain. Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh institusi perbankan negara ini, termasuk kad kredit, sewajarnya dimanfaatkan semata-mata untuk memenuhi tuntutan dan keperluan hidup seharian. Maka dengan demikian, ia seharusnya digunakan berasaskan kaedah yang betul dan tidak sekali-kali menyebabkan kita terperangkap dalam masalah kewangan serta bebanan hutang yang tidak berkesudahan.
Dengan kata-kata lain, kita seharusnya berupaya mengawal diri dan tidak sekali-kali berbelanja menurut kemahuan tanpa mengambil kira keperluan dan keutamaan. Pada masa yang sama, kita juga wajar peka terhadap perubahan yang berlaku dalam persekitaran dan melalukan perubahan terhadap gaya hidup sekiranya keadaan memerlukan kita berbuat demikian. Tidak kurang pentingnya, kita juga harus bijak membuat perancangan dalam menghadapi bencana atau mala petaka yang secara tiba-tiba berlaku dalam kehidupan. Memetik pandangan yang diutarakan oleh al-Jahiz dalam “Al-Bukhala'”, karya satiranya yang ditulis pada akhir-akhir hayatnya itu sebagai kritikan dan sindiran terhadap masyarakatnya, “Kamu hidup dalam dunia yang tidak sunyi daripada kemalangan serta bencana dan kita tidak memiliki jaminan akan terselamat daripadanya. Sekiranya bencana menimpa harta yang dimiliki oleh salah seorang daripada kamu, ia secara tiba-tiba akan mendapati bahawa tiada apa yang tinggal. Justeru itu, simpanlah harta kekayaan anda di serata tempat kerana mala petaka (lazimnya) tidak menimpa semua orang secara serentak, melainkan semuanya terkorban sekaligus.”