Biodiversiti: Kembali Kepada Alam (Time for Nature) adalah merupakan tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini yang telah disambut pada 5 Jun lepas di seluruh dunia. Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut saban tahun merupakan antara usaha berterusan bagi memastikan tahap keprihatinan dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat dapat disuburkan agar masa depan dan kelestarian alam sekitar mampu dipertahankan.
Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut dengan pelbagai tema saban tahun adalah bertujuan bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang peri pentingnya mengekalkan kelangsungan kepelbagaian komponen hidupan yang wujud di dalam alam sekitar untuk keseimbangan planet bumi. Tema pada tahun ini dilihat bertepatan dengan situasi semasa biodiversiti di seluruh dunia yang kian meruncing dan dihimpit ancaman kepupusan lantaran masalah pencemaran yang berleluasa, pemanasan global, penuaian berlebihan, dan pengurusan yang tidak cekap sehingga menyebabkan kedudukan biodiversiti berada pada tahap yang begitu membimbangkan.
Malah, menurut pendedahan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan “Global Assessment Report on Biodiversity and Ecosystem Services”, dianggarkan kira-kira sejuta spesies tuumbuh-tumbuhan dan haiwan menghadapi ancaman kepupusan sekiranya manusia tidak bertindak dan mengambil langkah proaktif dari sekarang untuk melindunginya, sekali gus menyelamatkan spesies biodiversiti yang masih lagi wujud pada hari ini. Daripada laporan yang dikelurkan juga turut mendedahkan bahawa ancaman kepupusan ke atas biodiversiti pada hari ini berlaku pada kadar yang paling pantas dalam sejarah, yakni mencecah ratusan kali ganda berbanding kadar yang dicatatkan pada abad sebelum ini.
Lebih menyedihkan apabila turut didedahkan bahawa lebih 500,000 spesies tidak mempunyai habitat yang mencukupi untuk kemandirian hidup dalam jangka masa yang panjang. Hal ini berlaku lantaran pelbagai aktiviti tidak sihat manusia terutamanya penebusgunaan ekosistem hutan untuk pelbagai tujuan seperti pembangunan, pertanian dan sektor perladangan sehingga menghakis sedikit demi sedikit habitat dan ekosistem semulajadi, yang akhirnya turut mengancam kelestarian biodiversiti, sekaligus menggugat kebajikan dan keselamatan manusia sejagat.
Umpamanya, kemusnahan ekosistem dan biodiversiti di kawasan tropika seperti Asia Tenggara kebanyakannya berlaku akibat daripada kehilangan kira-kira 7.5 juta hektar tanah hutan, dan 80 peratus daripadanya adalah ditebusguna untuk memberi laluan kepada sektor perladangan sawit. Sekiranya situasi ini dibiarkan berlanjutan, ia pasti akan mengundang ancaman kepupusan kepada lebih banyak lagi spesies biodiversiti yang selama ini telah banyak memberi manfaat dan menjadi tonggak kelangsungan hidup manusia serta makhluk hidupan lain.
Selain itu, didapati pencemaran plastik juga menjadi antara penyumbang utama kepada ancaman dan kemerosotan spesies biodiversiti dan alam sekitar pada hari ini. Buktinya, saban hari kita masih lagi disajikan dengan berita mengenai kematian haiwan terutamanya haiwan marin akibat daripada pencemaran plastik yang berlaku ke atas ekosistem marin. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik jika dilihat kepada situasi pencemaran laut yang begitu kritikal pada hari ini.
Jika diimbas kembali, pencemaran plastik bukanlah merupakan sesuatu yang baharu. Malahan, didapati kadar pencemaran plastik telah meningkat sebanyak 10 kali ganda sejak tahun 1980. Manakala, sebanyak 300 hingga 400 juta tan bahan-bahan seperti logam berat, pelarut, bahan toksik dan bahan buangan lain yang terhasil daripada sektor perindustrian juga dibuang ke laut. Satu kajian mendapati bahawa sebanyak 10 peratus daripada kesemua plastik yang dikeluarkan di seluruh dunia berakhir di lautan dan kemudiannya membentuk “pulau sampah” di tengah Lautan Pasifik. Jadi, bayangkan bagaimana hidupan marin boleh terus bertahan sekiranya ancaman pencemaran plastik ke atas ekosistem marin tidak dibendung dengan kadar segera.
Pencemaran plastik ke atas ekosistem marin bukan sahaja memberi kesan buruk kepada biodiversiti marin, sebaliknya turut memberi kesan kepada kesihatan manusia sebagai pemangsa tunggal kepada sumber makanan laut. Ini memandangkan, plastik yang terurai di dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik. Apabila haiwan laut memakan plankton atau rumpai laut yang dicemari oleh kedua-dua bahan ini, maka ia akan terkumpul dalam badan haiwan berkenaan kerana tidak mampu menghadamnya. Pengumpulan mikroplastik dan nanoplastik ini dalam jumlah yang banyak akan menyebabkan kehidupan haiwan laut terganggu dan boleh mengakibatkan kematian jika kandungannya terlalu tinggi dalam badan haiwan berkenaaan.
Begitu juga dengan manusia yang memakan sumber laut yang dicemari oleh mikroplastik dan nanoplastik. Mereka juga akan menerima kesan yang hampir sama seperti haiwan-haiwan laut berkenaan. Malah, lebih menggusarkan apabila kehadiran bahan-bahan berkenaan tidak boleh dirasai oleh manusia kerana mikroplaastik dan nanoplastik tidak berbau atau berwarna, tetapi bahan kimia berkenaan akan meresap dalam tubuh manusia sehingga memberi kesan buruk kepada tahap kesihatan. Ancaman senyap daripada pencemaran plastik ini pastinya membimbangkan kita, sementelah ia begitu memberi kesan negatif kepada kelangsungan biodiversiti di dalam ekosistem yang seterusnya turut menggugat tahap kesihatan manusia.
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita merenung kembali fitrah penciptaan alam, yakni sebagai tanda kebesaran dan kebijaksanaan Allah SWT. Alam secara fitrahnya diciptakan dengan begitu seimbang dan sempurna agar manusia berfikir, merenung keagungan Allah SWT dan memanfaatkan sumber alam dengan penuh bijaksana agar tidak mencabuli keseimbangannya. Hal ini telah dinukilkan dengan jelas di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan langit telah ditinggikan-Nya dan Dia ciptakan keseimbangan agar kamu jangan merosakkan keseimbangan itu. Dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu” (surah Ar-Rahman:7 – 9).
Ayat di atas secara jelas memberi peringatan agar kita sentiasa menjaga keseimbangan alam. Oleh yang demikian, usaha memelihara dan memulihara kelangsungan alam sekitar dan sumber biodiversiti adalah penting dititikberatkan untuk menjaga keseimbangannya sebagaimana yang telah dianjurkan di dalam al-Quran. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang menciptakan manusia selaku khalifah di atas muka bumi yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya” (surah Hud: 61).