Gelombang boikot memperlihatkan taringnya lebih-lebih lagi dengan kemampuan tidak terkawal capaian dan tularan media sosial. Beberapa syarikat perniagaan terancam dan sebahagiannya menutup operasinya. Situasi ini amat tidak baik kepada negara, tambahan pula ekonomi global mengalami penguncupan dan nilai mata wang negara juga merosot. Tindakan boikot perlu diperhalusi dari segala aspek agar ia dilaksanakan dengan penuh bijaksana dan tidak merosakkan imej, membantutkan ekonomi dan pembangunan negara.
Boikot, atau muqata’ah disebut dalam perundangan Islam tentang transaksi komersial dan interaksi sosial melibatkan tindakan nekad dan iltizam teguh untuk memulau atau memutuskan urusan dengan seseorang atau sekumpulan orang dalam bentuk organisasi, syarikat, negeri atau negara. Lazimnya, boikot merupakan tindak balas terhadap sebarang ‘kesilapan’ yang dilakukan atau ‘pelanggaran’ hak, terutama berbentuk reaksi emosi terhadap sentimen dan sensitiviti. Boikot ibarat sekatan ekonomi yang dilakukan oleh pengguna kepada peniaga sebagai pengajaran ‘mendidik’ peniaga dengan cara lebih tegas dan keras. Sebagaimana kita lihat sekatan ekonomi negara besar terhadap negara yang ditindas, begitulah keadaannya gambaran terhadap boikot yang meletakkan peniaga dalam tekanan.
Walaupun undang-undang mengiktiraf hak dan kebebasan individu untuk menyatakan pendirian seperti termaktub dalam Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Malaysia, namun kita perlu melihat kebebasan boikot ini dengan lebih kritikal kerana boikot menyebabkan kesan tidak wajar terhadap ekonomi, sosial dan boleh menjadi satu jenayah. Keharusan boikot bergantung pada niat dan cara ia dilakukan.
Boikot bukan satu paksaan dan bukan juga satu kebebasan tetapi keharusan yang ada sempadan. Dari sudut hukum boikot boleh jadi wajib, sunat, harus, makruh dan haram bergantung kepada fakta dan keadaan. Boikot boleh mencapai tahap wajib jika melibatkan perjuangan menegakkan kebenaran, menentang kezaliman (al-amr bil-ma’ruf wa an-nahy ‘an al-munkar) dan menghapuskan penindasan sebagaimana saranan al-Quran dan Hadith yang menganjurkan agar umatnya mencegah kemungkaran dengan segala kudrat termasuk keupayaan fizikal, lisan dan hati. Sebaliknya, jika boikot dikenakan kepada pihak yang tidak wajar, pemboikot sendiri telah melakukan kezaliman terhadap pihak-pihak berkenaan yang sudah pasti hukumnya bertukar dari harus, sunat atau wajib menjadi makruh atau haram.
Sahibus Samahah Dato’ Seri Haji Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Perak menasihati umat Islam dalam kes boikot terhadap KK Mart supaya mengadili semula tindakan tersebut dengan hujahan bahawa tuduhan berniat menghina kesucian Islam tidak dapat dibuktikan berdasarkan prinsip niat jenayah (qasdul jina’iy) yang perlu kepada pengakuan atau pembuktian. Memandangkan niat menghina Islam tidak dapat dibuktikan, tindakan boikot ini adalah tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam.
Manakala bagi kes syarikat menyokong kekejaman Israel memerangi dan menindas rakyat Palestine, Mufti Pulau Pinang Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd Noor menyeru agar semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestine. Salah satunya dengan memboikot pihak yang benar-benar membantu Israel tetapi bukan menganiaya atau menghukum syarikat franchise yang dimiliki oleh pemegang ekuiti tempatan, pekerja tempatan dan rangkaian cawangan tempatan kerana ini akan menjejaskan syarikat tersebut secara tidak wajar. Difahamkan bahawa syarikat-syarikat makanan segera yang beroperasi secara franchise kepada jenama yang sama tetapi beroperasi di Malaysia tiada kaitan langsung dengan tindakan menyokong Israel.
Buktinya, dalam satu sesi temubual Mufti Perlis Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dengan sebuah syarikat terbabit yang diboikot mendapati syarikat tersebut telah menyumbang hasil jualan mereka bagi membantu kebajikan dan membayar zakat perniagaan. Segala tularan terhadap syarikat tersebut yang mengatakan bahawa mereka terlibat menyumbang makanan kepada tentera Israel berupa fitnah. Tularan tohmahan menggunakan warna produk sama dengan bendera Israel juga tidak berasas sama sekali. Seperti yang disarankan dalam Bayan Linnas terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, boikot hendaklah disertai dengan ilmu dan akhlak, tidak bertindak dengan cara ekstrem dan melulu serta tidak melampaui batas. Tambahan pula, dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya boikot berbaur perkauman, kesannya mampu mengancam keharmonian kaum.
Kita perlu berhati-hati dalam mengenakan ‘sekatan ekonomi’ terhadap syarikat-syarikat ini. Apa yang berlaku sekarang, boikot telah menyebabkan kehilangan pekerjaan, menjejaskan pasaran, penutupan perniagaan, mengurangkan perdagangan dan menghilangkan minat pelabur asing melabur dalam negara. Keseluruhan keadaan ini akan membantutkan perkembangan ekonomi, mengurangkan hasil pendapatan cukai kerajaan, memburukkan imej negara dan seterusnya memberi kesan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
Asas rasional disertakan dengan prinsip tabayyun perlu diutamakan berbanding bertindak secara emosional dan merugikan. Fuqaha mensyaratkan prinsip al-amr bil-ma’ruf wa an-nahy ‘an al-munkar perlu dilandaskan kepada keadilan, dilakukan dengan penuh etika, dan tidak terjebak kepada fitnah dan tohmah. Selain itu, dalam persoalan boikot mereka menekankan tentang kadar yang wajar dan munasabah, dilaksanakan secara aman, tidak mendedahkan diri dan masyarakat kepada bahaya dan kefasadan.
Syarat keharusan boikot ini perlu diteliti supaya tercapai maslahah dan terhindar mafsadah. Boikot dibolehkan dan wajib dalam menentang kezaliman, diskriminasi, mencegah kemungkaran atau terhadap pihak yang mempromosi maksiat dan jenayah yang memudaratkan kemanusiaan. Sebagai contoh senarai institusi yang menyalurkan peruntukan kewangan secara langsung atau tidak langsung kepada Israel yang diterbitkan oleh ‘intelligent’ BDS (Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia). Institusi tersenarai ini didapati mengukuhkan kewangan negara haram yang kebal penguatkuasaan undang-undang antarabangsa itu untuk terus memijak dan melenyek kemanusiaan di Palestine. Malah kewajipan ini berubah menjadi seruan jihad umat Islam di Malaysia, Indonesia dan seluruh dunia.
Dengan memahami hakikat sebenar tindakan boikot yang berlaku sekarang, perkara utama ialah memastikan keabsahan boikot agar tidak menyalahi undang-undang dan norma agama dan kemanusiaan serta menekuni prinsip tabayun bagi mengekang diri dari terjebak sebagai agen berantai media sosial menyebarkan fitnah. Senjata yang berbahaya ini perlu dihalakan kepada sasaran yang betul dan tepat. Kuasa pengguna di Malaysia boleh menjadi senjata ampuh dan digeruni bagi mendisiplinkan peniaga agar akur kepada norma dan tertib perniagaan yang baik.