Pejam celik tanpa kita sedari, kita sudah berada di penghujung bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini . Dirasakan seperti baru sahaja semalam menonton di kaca televisyen pengumuman tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri an Sri Syed Danial Syed Ahmad. Kini, masyarakat Islam ternanti-nanti pula pengumuman tarikh hari raya Aidilfitri oleh beliau.
Ramadan yang istimewa ini digelar dengan pelbagai nama seperti bulan ibadah (shahr al-ibadah), bulan yang diberkati (shahr al-mubarak), penghulu segala bulan (sayyid al-shuhur) dan sebagainya. Ramadan adalah satu bulan yang dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-hambanya supaya mereka berlumba-lumba melakukan amal-amal kebaikan untuk memperolehi ganjaran yang berganda-ganda dan kebaikan yang sebanyak-banyaknya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” Berdasarkan ayat al-Quran di atas, hasil akhir atau tujuan akhir daripada kefarduan puasa ke atas orang-orang yang beriman adalah menjadi insan yang bertakwa
Maksud Takwa dan Ciri-ciri Orang Bertakwa
Apakah sebenarnya maksud takwa? Menurut Imam Nawawi, takwa itu adalah mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Yakni, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT. Imam Al-Jurjani pula menyebut bahawa takwa adalah menjaga diri daripada azab seksa Allah SWT dengan mentaati-Nya. Dengan erti kata yang lain, seseroang menjaga diri daripada perbuatan yang boleh mengakibatkan diazab dan diseksa, sama ada dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya.
Dalam al-Quran sendiri ada beberapa ayat yang menyebutkan ciri-ciri orang bertakwa. Antaranya adalah intisari daripada ayat 177 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan ke Barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, Hari Akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-peminta sedekah, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila ia berjanji dan orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa takwa merangkumi perbuatan yang zahir dan juga batin. Orang yang bertakwa adalah orang yang beramal soleh dan beriman. Mereka menjaga hubungan dengan Tuhannya dan juga hubungan dengan sesama manusia.
Azam Perubahan
Jika diimbau kembali, setiap kali masuk bulan Ramadan, masjid-masjid dan surau-surau pasti akan penuh dibanjiri manusia. Semuanya berlumba-lumba untuk mengejar kelebihan dan ganjaran yang Allah janjikan dalam bulan Ramadan. Ramai juga yang berlumba-lumba bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, menyantuni anak-anak yatim dan golongan yang susah. Bermacam-macam hadis kelebihan bulan Ramadan dikongsikan asatizah dan berlegar-legar di media sosial. Kita akan dapat saksikan betapa bersemangatnya manusia melakukan amal-amal kebaikan pada bulan Ramadan.
Setiap daripada kita pasti berazam untuk melakukan suatu perubahan yang baik dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Ada yang mungkin berazam untuk meningkatkan amalan sunatnya seperti solat di awal waktu, solat berjemaah di masjid dan sebagainya. Dan mungkin ada juga sebahagian yang lain berazam hendak meninggalkan tabiat buruknya seperti merokok, mengumpat dan sebagainya. Ada juga di antara kita yang berazam untuk menjadi insan yang lebih sabar, bersyukur dan sebagainya.
Apabila berbicara berkenaan azam dan harapan Ramadan saya terimbau satu rangkap daripada lagu Harapan Ramadan nyanyian kumpulan Raihan dan Man Bai, “Ku mengharapkan Ramadan kali ini penuh makna. Agar dapat ku lalui dengan sempurna.” Jika kita renungi dan hayati ‘makna’ Ramadan bagi diri kita sebagai seorang hamba, kita pasti akan dapat memahami bahawa ibadah puasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja, bahkan ia lebih daripada itu. Puasa yang dijalankan dengan penuh penghayatan pasti akan menjadikan seseorang itu semakin yakin dan percaya dengan janji-janji Tuhannya, lalu dia terdorong untuk memperbanyakkan amal kebaikan; terasuh jiwanya daripada bertindak menurut nafsu semata-mata, lalu ditinggalkan segala kejahatan yang dahulunya adalah rutin hariannya; terdidik hatinya untuk merasa simpati dan empati kepada mereka yang susah, lalu dia menghulurkan bantuan tanpa merasa payah; berasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan Tuhan kepadanya, lalu semakin dia menjaga hubungannya dengan Tuhannya juga hubungannya dengan semasa insan.
Di akhirnya, kesempurnaan dalam menjalani ibadah puasa dan menempuhi bulan Ramadan adalah apabila setiap azam perubahan ke arah kebaikan yang kita lakukan dan usahakan, diteruskan juga selepas berlalunya Ramadan dengan penuh istiqamah mudah-mudahan takwa yang menjadi tujuan puasa itu dapat dicapai, Insya-Allah. Seruan agar kita berterusan dan istiqamah melakukan kebaikan dan kebajikan walau setelah berlalunya bulan Ramadan bertepatan dengan kata-kata ini:
كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا
Maksudnya: Jadilah kamu hamba kepada Tuhan (Allah), dan janganlah kamu jadi hamba kepada Ramadan.
Akhir kata, semoga kita dapat istiqamah dengan segala amal kebaikan dan perubahan yang baik pada diri kita walaupun bulan Ramadan sudah berlalu pergi. Semoga Allah terima segala amalan kita, Taqabballahu minna wa minkum taqabbal ya Karim.