DALAM konteks pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara, kerajaan bertanggungjawab menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat kepadanya. Begitu juga di pihak rakyat, mereka mempunyai tanggungjawab yang perlu dimainkan.
Tanggungjawab mentadbir dan mengurus sesebuah negara itu terletak pada pemerintah (kerajaan) yang berusaha untuk menegakkan keadilan. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukuman antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa, ayat 58)
Sistem pemerintahan berkerajaan dari perspektif Islam merangkumi ciri yang menyeluruh, meliputi aspek moral, individu, masyarakat hingga kebendaan, ekonomi, sosial sama ada fizikal atau kerohanian. Ia bersifat sejagat dan tunduk kepada suatu kuasa Yang Mutlak. Ia merealisasikan fitrah kejadian manusia, menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Begitu juga mencari keredaan Allah, membina sahsiah manusia, menjaga kesejahteraan umum, bersikap adil saksama, amanah dan sabar serta mengamalkan syura.
Dalam sistem pemerintahan Islam, soal peranan dan kedudukan manusia diberikan tempat yang setimpal dan seiring dengan keistimewaannya sebagai khalifah Allah (khalifatullah) di bumi ini. Contohnya, manusia dianugerahkan dengan persediaan semula jadi untuk memikul tugas dualisme sebagai hamba dan khalifah. Pada masa sama manusia diingatkan jangan lalai dalam menjalani hidup duniawi agar martabatnya yang mulia itu terpelihara daripada dimusnahkan oleh kenikmatan hidup di dunia.
Maka, untuk menjamin keharmonian dan kesejahteraan hidup, manusia ditegaskan untuk memelihara keharmonian dalam empat dimensi hubungan. Ia adalah hubungan mereka dengan Pencipta, antara sesama manusia, dengan sumber kekayaan bumi dan antara anggota dalaman manusia iaitu roh, akal, hati dan nafsu.
Keupayaan manusia dalam mengimbangi keempat-empat dimensi hubungan itu akan mewujudkan keharmonian dan keseimbangan (al-‘adl) dalam dirinya dan dalam setiap aspek kehidupan harian. Seterusnya, terhindar daripada mencemarkan hakikat kejadian mereka (fitrah) yang suci dan bersih.
Sebuah kerajaan bertanggungjawab menjamin keamanan, menegakkan keadilan, memupuk keharmonian, memajukan kegiatan ekonomi, memelihara kesejahteraan, keselesaan serta kebajikan. Begitu juga meningkatkan taraf hidup, memerangi penyelewengan, penipuan serta penindasan. Selain itu, ia memupuk suasana beribadat dan menggalakkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi suruhan dan menjauhi larangan Ilahi dalam segala kegiatan.
Tanggungjawab itu menunjukkan bahawa sebuah kerajaan itu berkait rapat dengan agama, soal moral, pentadbiran, pemerintahan, perniagaan, pembangunan ekonomi, perubahan sosial, kebajikan, kesihatan, kemudahan awam, keselamatan, keamanan dan kehakiman. Maka, dengan itulah pendekatan 10 prinsip Islam Hadhari relevan dalam konteks hari ini.
Di negara ini, banyak langkah diambil oleh kerajaan untuk memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Mekanisme dan institusi ditubuhkan untuk memantau pelbagai aspek yang mengatur dan mengurus kehidupan seharian rakyat. Contohnya, Badan Pencegah Rasuah, Institusi Integriti Malaysia, Biro Pengaduan Awam dan Audit Negara. Semua agensi itu berperanan sebagai institusi hisbah dalam pentadbiran kerajaan.
Hisbah sebagai institusi yang bertugas memerhati dan meninjau supaya semua kerja (amanah diberikan) berjalan di atas landasan menegakkan yang baik (makruf) dan mencegah yang jahat (mungkar).
Firman Allah dalam surah al-Imran ayat ke-110 menekankan peranan yang wajib dimainkan oleh setiap Muslim, maksud-Nya: “Kamu ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
Peranan yang dimainkan oleh institusi hisbah ini berkait rapat dengan kerajaan. Ia adalah jentera kerajaan yang memastikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat melalui pilihan raya dapat direalisasikan dengan adil dan berkesan.
Ibn Tamiyyah pernah berkata, peranan kerajaan adalah menentukan terpeliharanya kebajikan rakyat dan negara, mewujudkan pemerintahan yang saksama (al-siyasah al-‘adilah) dan menyuburkan kegiatan ekonomi.
Semua ini hanya dapat dipenuhi oleh kerajaan kerana ia memiliki kuasa (quwwah) dan kewibawaan (imarah). Oleh itu, pertumbuhan institusi atau dasar yang bersifat hisbah adalah serampang dua mata. Ia bukan saja menumpu kegiatan pengawasan terhadap fenomena yang berlaku di luar kerajaan, malah dalam kerajaan.
Kita bersyukur kerana dianugerahkan dengan kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat. Dalam usaha kerajaan melaksanakan dasar penambahbaikan dan pembangunan, banyak perkara yang masih tidak dapat ditunaikan. Kerajaan terpaksa mengutamakan perkara yang perlu didahulukan dan pada masa sama, faktor luaran juga mempengaruhi pelaksanaan beberapa perkara yang dirancang. Di sini, datangnya keperluan imbangan susunan awlawiyat iaitu yang dulu didahulukan.