KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) — Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyita sejumlah RM25 juta serta melucut hak harta bernilai RM206,000 yang diperoleh secara rasuah tahun lepas, hasil daripada tindakan tegasnya membanteras gejala rasuah di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah BPR Datuk Zakaria Jaffar berkata tindakan itu dibuat menerusi penguatkuasaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Ini membuktikan BPR serius membanteras gejala rasuah dan sesiapa yang terlibat dalam gejala ini atau mereka yang baru berniat untuk melakukannya, berwaspadalah kerana anda mungkin akan dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kertas kerja bertajuk “Mengenal Rasuah Dengan Bentuk, Sifat dan Perundangan.
Kertas kerja itu dibentangkan pada forum bertema “Bila Pemberian Dianggap Sebagai Rasuah” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Bahagian Perundingan Pendidikan Masyarakat BPR.
Zakaria berkata AMLA kini menjadi fokus utama BPR untuk membendung gejala rasuah selain menimbulkan rasa gerun kepada mereka yang terlibat.
“Melalui akta itu BPR boleh merampas harta milik pesalah dan juga milik keluarga. Bayangkan betapa ruginya kalau kita mengumpul harta bertahun lamanya dan kemudian dirampas dengan sekelip mata kerana amalan rasuah,” katanya.
Beliau berkata kesalahan rasuah berkait rapat dengan unsur perlanggaran etika kerja, nilai agama dan norma masyarakat serta merupakan perbuatan terancang untuk kepentingan peribadi.
“Biarlah kita mencari kekayaan dengan cara betul walaupun hasil yang diperoleh lambat tetapi ia selamat, halal dan berkat untuk digunakan sepanjang hayat,” katanya.
Akta yang dikuatkuasakan pada 15 Jan 2001 itu memberikan kuasa pengendalian siasatan sehingga ke peringkat antarabangsa dan membolehkan wang haram yang disimpan sama, ada di dalam dan luar negara, dirampas.
Sementara itu, Pengerusi IKIM Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid ketika merasmikan forum itu mencadangkan supaya pengisytiharan harta yang diwajibkan kepada kakitangan kerajaan, juga diwajibkan kepada kakitangan swasta.
“Perbuatan rasuah bukan sahaja dilakukan kakitangan awam, malah turut membabitkan kakitangan dan eksekutif swasta kerana mereka banyak berhubung dengan pihak kerajaan,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah I BPR Datuk Ahmad Said Hamdan dan Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia, Mustafar Ali adalah antara anggota panel forum sehari itu.
— BERNAMA