Buli adalah budaya negatif yang amat membimbangkan sesiapa sahaja. Bukan sahaja kepada individu yang terlibat secara langsung, malah ia juga membimbangkan pihak penjaga atau ibu bapa pelajar, pihak sekolah dan masyarakat awam. Perbuatan yang keji ini boleh mengakibatkan tekanan mental kepada mangsa. Sesetengahnya juga mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius sehingga membawa kematian. Yang amat malang juga sekiranya perbuatan ini mampu menyebabkan mangsa bertindak sehingga membunuh diri.
Kesan buli terhadap mangsa juga dirasai oleh ahli keluarga. Jika berlaku kecederaan terhadap mangsa ia memberi kesan dari pelbagai sudut termasuklah dari segi wang ringgit, masa, tenaga dan sebagainya. Jika buli mengakibatkan kematian, keluarga tentunya akan mengalami kesedihan yang melampaui kerana kehilangan tempat berkasih sayang selain mangsa merupakan aset keluarga pada masa akan datang. Tanpa sebarang alasan yang munasabah, buli juga tanpa disedari boleh mengakibatkan permusuhan dan putusnya silaturrahim dalam kalangan saudara seagama.
Seorang penjaga murid pernah berkongsi pengalaman bagaimana beliau menangani masalah buli yang dihadapi oleh anaknya di sekolah berasrama. Tekanan yang dihadapi oleh pelajar yang menginap di asrama tentunya tidak sama dengan pelajar yang tinggal dengan keluarga masing-masing. Jika berlaku kejadian buli di sekolah berasrama, penjaga atau ibu bapa tidak dapat mengesan dengan cepat jika hendak dibandingkan dengan anak yang tidak tinggal di asrama dan tinggal dengan keluarga sendiri.
Walau bagaimanapun, malangnya ada sesetengah pelajar atau anak yang tidak diberi ruang yang cukup sekiranya mereka hendak mengadu terhadap perkara yang dihadapi di tempat mereka belajar. Segelintir penjaga atau ibu bapa kurang memberi perhatian terhadap perkara yang diadukan. Mereka akan hanya meminta si anak untuk bersabar dan bertahan dengan masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Sesetengah ibu bapa juga tidak menyedari tentang perbezaan personaliti semasa mereka remaja dengan personaliti anak mereka. Sifat dominan, berkarisma dan sifat-sifat yang boleh menimbulkan rasa segan dan hormat oleh orang di sekeliling tidak semestinya akan diwarisi oleh anak. Atau dengan contoh yang mudah, seorang yang pernah menjadi ketua pelajar tidak semestinya akan melahirkan seorang anak yang kemudiannya juga akan menjadi pemimpin pelajar. Meminta anak untuk bertahan malah melawan balik bukanlah saranan yang bijak apatah lagi jika perbuatan agresif tersebut dilakukan secara beramai-ramai.
Reputasi sekolah yang sangat baik, atau orientasi kurikulum sekolah yang memang menjadi pilihan utama ibu bapa adalah antara sebab mengapa mereka tetap mahukan anak tersebut terus berada dan menimba ilmu di sekolah terlibat.
Berbalik kepada tindakan penjaga berkenaan, menurut beliau tidak ada gunanya untuk meminta si anak supaya terus bertahan. Buli telah dilakukan secara berkumpulan dan sudah pasti mangsa yang terlibat merasa sangat tertekan dan semangat untuk meneruskan pengajian hilang serta-merta.
Setelah membuat sedikit perbincangan dengan guru kaunseling, maka penyelesaian yang terbaik adalah menyokong anak atau pelajar berkenaan untuk melakukan penghijrahan. Peristiwa tersebut berlaku beberapa tahun yang lalu ketika pelajar berkenaan berada di Tingkatan Empat dan selepas beberapa bulan pelajar ini belajar di sekolah baharu, emosinya menjadi semakin baik dan mampu belajar seperti sedia kala. Walau bagaimanapun, peristiwa yang dilaluinya, tidak mudah dilupakan begitu sahaja.
Buli ialah jenayah senyap yang amat menyakitkan dalam diam. Bagi kes di atas, jika salah laku berkenaan diadukan kepada pihak sekolah, pihak sekolah tentunya akan membuat penyiasatan dan hukuman akan dikenakan jika sabit perbuatan tersebut. Tetapi, harus difikirkan juga tentang kemungkinan akibat buruk yang boleh berlaku. Iaitu, dendam yang lebih dalam mungkin timbul terhadap diri mangsa. Menyedari kebarangkalian lebih buruk akan berlaku jika kejadian diadukan, maka itulah yang mendorong penjaga berkenaan memindahkan anak mereka dari sekolah tersebut.
Dalam satu kes buli yang berasingan, saya juga bertemu dengan bapa kepada salah seorang pelajar yang terlibat dengan perbuatan buli terhadap pelajar lain. Ia juga dilakukan secara berkumpulan di sekolah asrama yang berprestij dan mempunyai orientasi disiplin yang sangat tinggi. Pembulian yang dilakukan oleh pengawas adalah sebagai “menghukum” seorang pelajar yang telah melanggar disiplin sekolah. Malangnya perbuatan menghukum dengan membelakangkan peranan guru disiplin dan sekolah itu sendiri, telah menatijahkan pelajar-pelajar berkenaan dibuang sekolah. Rayuan mereka untuk menyambung belajar di sekolah berkenaan turut ditolak.
Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah, bapa pelajar berkenaan berinisiatif untuk membuat pertemuan dengan ibu bapa atau penjaga lain yang terlibat dan berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak yang terlibat. Malangnya menurut beliau, sebahagian ibu bapa berkenaan tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab atau rasa bersalah bagi pihak anak yang telah terlibat dengan salah laku berkenaan.
Kejadian buli berlaku disebabkan pelbagai faktor. Sikap pihak sekolah dan ibu bapa juga bukanlah seragam dalam menangani buli kerana setiap insan memiliki corak pemikiran yang tersendiri. Walau bagaimanapun, siapa pun kita apabila sedang berhadapan dengan kejadian, lakukanlah tindakan yang paling realistik terutama demi kebajikan dan masa depan pelajar.
Pada zaman serba canggih ini buli juga mampu dilakukan dengan bentuk yang canggih. Terdapat juga kes-kes buli di kampus yang dilakukan melalui medium alam maya seperti penghantaran virus dan mensabotaj komputer. Akibat daripada perbuatan tersebut, mangsa mengalami kehilangan data, kecurian data, kerosakan perisian dan kerosakan komponen komputer itu sendiri. Dalam kes-kes sebegini, sememangnya mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal tetapi mangsa tentunya mengalami kesedihan dan mengalami pelbagai kerugian. Sehingga ke satu peringkat pelajar yang menjadi mangsa terpaksa membeli komputer yang baharu.
Seperti tindakan ibu bapa yang memindahkan anak mereka ke sekolah yang lebih baik persekitarannya, sekurang-kurangnya menjadi suatu usaha yang dapat memelihara kesihatan mental si anak. Usaha yang dilakukan oleh bapa dalam kes yang kedua adalah suatu tindakan yang sepatutnya disambut baik oleh penjaga-penjaga lain yang anak-anak mereka sama-sama terlibat dalam kes buli berkumpulan. Mereka sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap salah laku yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Meminta anak-anak memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa sepatutnya dilakukan. Bukannya sekadar menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah semata-mata.
Pendidikan anak-anak sepatutnya dimulakan dari dalam rumah. Ia sepatutnya bermula dengan pentarbiahan jiwa anak-anak.