Pada Zaman Pertengahan ramai orang yang percaya bumi ini rata, dan disebabkan kepercayaan itu maka mereka tidak berani belayar jauh ke tengah lautan kerana khuatir kapal akan terjatuh di penghujung dunia. Ini hanyalah sekadar satu contoh bagaimana kehidupan seseorang itu dicorakkan oleh kepercayaannya, dan pegangan yang salah hanya akan membuahkan cara hidup yang salah. Justeru, amatlah penting untuk setiap orang memastikan kesahihan pegangan hidupnya.
Yang dimaksudkan dengan pegangan hidup pula ialah persoalan-persoalan asas kehidupan iaitu asal usul, tujuan hidup dan nasib akhir setiap manusia. Ini merupakan persoalan yang pasti tidak dapat dielakkan oleh sesiapa sahaja yang berfikir tentang keadaan dirinya. Apabila seseorang memutuskan untuk menamatkan riwayatnya sendiri maka perbuatan yang dia mahu lakukan itu membayangkan kepercayaannya bahawa hidupnya sudah tidak bermakna lagi dan mati pada perkiraannya merupakan pilihan yang lebih baik. Akan tetapi benarkah mati itu lebih baik daripada hidup? Adakah dia tahu nasibnya selepas mati? Ataupun dia sangka mati itu ialah penamat kepada segala-galanya dan tiada lagi kehidupan selepas itu?
Kekecewaan dalam hidup, iaitu apabila apa yang dicita-citakan tidak tercapai ataupun hilang daripada genggaman, sering kali menyebabkan seseorang itu putus harap dan bercita-cita untuk mati. Maka persoalannya, apa kah sebenarnya ‘kebaikan‘ yang menjadi hasrat semua orang dan apakah pula ‘kejahatan’ yang sepatutnya dihindari ataupun dihapuskan? Kerana belum tentu apa yang disangka baik itu sebenarnya baik, dan belum tentu juga apa yang selama ini disangka buruk itu sebenarnya buruk.
Masalah baik dan buruk dan bagaimana ia diketahui merupakan persoalan-persoalan pokok yang dibahaskan dalam falsafah moral, tetapi bagi kebanyakan orang persoalan ini tidak pernah ditimbulkan dan apa yang selama ini menjadi pegangan mereka adalah apa yang diterima mereka tanpa diselidiki atau dipersoalkan kesahihannya. Kebanyakan manusia enggan berfikir dan menyoal, tetapi lebih suka untuk mengikuti pandangan dan perbuatan orang lain terutamanya apa yang selama ini diterima ramai. Islam mencela sikap sedemikian kerana ia merendahkan martabat manusia yang telah dikurniakan akal, sedangkan tugas akal adalah sebagai alat untuk berfikir dan mengenali kebenaran, dan apabila ia tidak digunakan untuk tujuan itu maka suatu nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia telah disia-siakan. Justeru, manusia sedemikian dianggap oleh al-Quran lebih sesat daripada haiwan yang sememangnya tidak mampu berfikir tetapi hanya tahu mengikut. Al-Quran bahkan mengecam mereka yang mengikuti secara membuta-tuli adat kebiasaan dan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang tanpa menyelidiki benar salahnya. Al-Quran juga mengingatkan supaya tidak mengikuti pendapat ramai secara melulu kerana jumlah yang ramai tidak menjamin kebenaran sesuatu pandangan, bahkan kebanyakan manusia itu sebenarnya jahil. Jika demikian maka bagaimanakah dapat dikenali jalan yang benar dan lurus itu?
Satu-satunya jalan yang diiktiraf oleh Islam ialah jalan ahli ilmu, iaitu jalan yang diwarisi dari Para Nabi. Sebagai khalifah, manusia telah diperintahkan oleh Allah supaya melakukan keadilan, dan keadilan itu pula syaratnya ialah ilmu kerana ilmulah yang akan menunjukkan tempat sebenar sesuatu, kalau tidak bagaimana mungkin dapat diletakkan sesuatu pada tempatnya? Maka bersama dengan perintah supaya berlaku adil itu ialah perintah menuntut ilmu yang menjadi kewajiban setiap lelaki dan perempuan. Hanya dengan ilmu sahaja dapat dibezakan kebenaran daripada kepalsuan dalam pegangan akidah, benar atau bohong dalam perkataan, dan baik atau buruk dalam perbuatan dan tindakan.
Dari tiga aspek inilah setiap manusia akan dihitung di akhirat kelak iaitu pegangannya, perkataannya dan perbuatannya, maka di dunia ini lagi setiap manusia sepatutnya sudah menghitung dirinya: benarkah akidah yang menjadi pegangannya? Betulkah apa yang diucapkannya? Dan baik kah perbuatannya? Akidah dan kepercayaan ialah urusan hati, maka ia tersembunyi daripada pandangan orang lain, sedangkan perkataan dan perbuatan dapat didengar dan disaksikan oleh orang lain. Namun begitu, ketiga-tiganya adalah saling berkait kerana ucapan dan perbuatan seseorang masih berupaya membayangkan apa yang tersimpan di dalam hatinya. Oleh itu ramai yang cuba menyembunyikan hakikat dirinya yang sebenar dengan menggunakan perkataan dan perbuatan yang diselubungi oleh kepura-puraan. Mereka cuba menyembunyikan niat dan sifat yang keji manakala yang dizahirkan ialah perkataan dan perbuatan yang dihiasi dengan kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan kemunafikan, dan hari ini sifat kemunafikan itu bukan sahaja diraikan bahkan dibudayakan.
Berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan berkarya kini media sosial digunakan sepenuhnya bagi menonjolkan kecantikan dan kesempurnaan lahiriah, kekayaan harta benda, bahkan juga sedekah dan amal ibadat, tanpa segan silu. Semua ini ialah gambaran kepada kecintaan yang melulu terhadap dunia dan kehidupan duniawi yang menjadi ciri utama masyarakat sekular. Kaum Muslimin juga tidak terlepas daripada bencana yang dibawa oleh wabak sekularisasi ini. Kerana mahu mengejar kemajuan ramai yang telah terpedaya dengan dakyah kebudayaan barat sehingga sanggup menukarkan apa yang dijanjikan di akhirat dengan sedikit habuan dunia. Maka terzahirlah bahawa pada hakikatnya keislaman yang didakwa itu hanyalah pada ucapan dan amalan zahir semata-mata sedangkan hati telah lama kosong daripada iman dan yakin serta kecintaan kepada Allah dan Rasul.