Pilihanraya Umum yang ke-15 bakal diadakan dalam masa terdekat.
Sebagaimana yang telah berlangsung sebelum ini, para pengundi yang sah akan sekali lagi memilih seorang calon yang akan mewakili kawasan mereka, baik pada peringkat parlimen (Dewan Rakyat) mahupun pada peringkat dewan negeri.
Dalam menunaikan hak sah masing-masing sebagai pengundi, setiap seorang daripada mereka pasti mempunyai asas masing-masing dalam menentukan calon pilihan.
Persoalannya, apakah asas-asas tersebut?
Dan apakah perkara-perkara yang dapat mempengaruhi asas-asas itu?
Yang pasti, pada zaman sekarang, salah satu saluran pengaruh paling besar adalah media sosial dan digital.
Justeru, pihak yang dapat menguasai saluran ini bakal memiliki kelebihan dalam persaingan untuk meraih undi terbanyak.
Namun, penguasaan saluran ini bukan jaminan bahawa yang menguasainya berada di pihak yang betul atau benar.
Sebaliknya, tanpa panduan akhlakiah yang dipegang teguh, penguasaan ke atas saluran tersebut membuka jalan seluas-luasnya untuk tipu-helah dan penyalahgunaan demi memenuhi agenda hawa nafsu diri sendiri atau kelompok terbatas, lebih-lebih lagi tatkala agenda itu bertembung dengan kemaslahatan hakiki rakyat terbanyak.
Meskipun ramai yang mengakui bahawa dalam keadaan sedemikian, sangat penting bagi para pengundi untuk mempunyai kemampuan menyaring maklumat-maklumat yang disampaikan melalui saluran sebegitu, kemampuan itu dalam suasana semasa kini terkekang dengan beberapa perkara yang mencirikan wahana tersebut.
Sebagaimana yang pernah penulis nukilkan sebelum ini berkenaan dengan ancaman terhadap epistemic security (keselamatan perihal ilmu dan maklumat), terdapat empat ciri utama itu seperti yang berikut:
Pertama, keterbatasan kemampuan untuk meneliti yang disebabkan oleh beban banjir maklumat, khasnya melalui internet dan medium digital, sehinggakan sering kali emosi menjadi penentu dalam menyaring dan memilih perkara yang menjadi sandaran tindakan.
Kedua, susulan daripada keterbatasan dan beban yang dimaksudkan di atas, secara amnya anggota masyarakat cenderung untuk memilih dan menyaring mengikut apa yang sedia dipegang, terutamanya yang disogokkan secara halus dan terus-terusan, selain condong kepada kumpulan yang berkongsikan perkara yang sama. Kumpulan sedemikian mudah dianggap sebagai “orang dalam” manakala yang selainnya sebagai “pihak asing.” Maka platform media sosial yang pada asalnya berfungsi untuk menambah pilihan bagi perolehan bekalan maklumat yang benar lagi mencukupi kini menjadi sebaliknya, iaitu saluran untuk menyaring dan mengeluarkan pandangan-pandangan yang berlainan sehingga maklumat-maklumat yang sah untuk dipertimbangkan menjadi semakin terbatas.
Ketiga, sebagaimana maklumat yang betul kini dapat dihebahkan dan dicapai dengan cepat, kepalsuan dan butiran maklumat yang terseleweng atau separuh masak, sama ada yang disengajakan atau tidak, juga semakin laju merebak dan berleluasa.
Keempat, teknologi maklumat dan komunikasi terkini juga semakin memudahkan berlakunya hakisan kepercayaan kerana dengan ketiga-tiga perkara yang dinyatakan di atas, orang ramai akan mengalami kesukaran untuk membezakan antara pihak yang benar dan pihak yang palsu.
Kemelut yang kelihatannya membelenggu para pengundi waktu kini yang rata-ratanya merupakan pengguna tegar media sosial tidak mungkin terungkai dengan mudah dan dalam tempoh yang singkat.
Namun, walau bagaimana kuat sekali pun pengaruh dari pihak lain, setiap pengundi perlu bertanggungjawab atas pilihan diri mereka masing-masing
Perbandingan saksama terhadap calon-calon yang menawarkan diri di kawasan masing-masing berdasarkan keperibadian dan rekod pencapaian dan perkhidmatan mereka sebelumnya tetap perlu menjadi satu syarat utama dalam timbang tara setiap pengundi.
Prestasi calon dalam pengotaan janji baik serta penunaian amanah dalam tugasan terdahulu, menurut kapasiti masing-masing calon, mesti diperhatikan berpandukan pengamatan langsung sendiri atau sumber-sumber yang sahih lagi dapat dipercayai.
Janji-janji baharu yang diberikan sangat perlu diperhalusi kemunasabahannya.
Pada akhirnya, setelah semua yang di atas itu ditimbangbandingkan, para pengundi wajar menyandarkan kepada kesedaran hati nurani (conscience) masing-masing dalam memuktamadkan pilihan mereka.
Semoga kita semua dipelihara dalam hidayah ketika mengundi, in sha’ Allah!