Dalam suasana ekonomi yang sangat mencabar di merata dunia semasa, khususnya di negara-negara maju, kita harus memberi perhatian kepada mengapa masyarakat tersebut menghadapi kesan negatif seperti peningkatan jumlah kemiskinan, jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin makin membesar, kos sara hidup meningkat, pengangguran meningkat dan beban hutang sektor awam dan swasta makin membesar. Sebagai umat Islam kita harus peka apa yang berlaku sekarang dan mencari punca dan penyelesaian kepada permasalahan tersebut. Permasalahan ini jika tidak ada penyelesaian akan meruntuhkan peradaban umat manusia.
Justeru itu bagi hemat saya ciri-ciri berikut perlu diberi perhatian dalam konteks kita menyusun dan membangun sesebuah sistem ekonomi.
Pertama sesebuah sistem ekonomi perlu mempunyai asas falsafah penyusunan sistem ekonomi yang relevan, dinamik dan bersifat kemanusiaan. Berpandukan asas falsafah tersebut, akan wujud pandangan hidup sempurna bagi seseorang individu, yang seterusnya mempengaruhi penggubalan prinsip, struktur, dasar, instrumen dan perjalanan aktiviti ekonomi. Bagi Islam, semangat keadilan dan muafakat dikalangan setiap individu rakyat perlu dibina dan dipupuk bukan pendekatan yang menghala kepada konflik di antara individu dan kumpulan individu.
Kedua, sesebuah negara perlu memahami sifat dan keperluan manusia samada di peringkat individu dan masyarakat dengan tepat. Kegagalan tersebut yang menjadi punca penyebab kepada perjalanan sesebuah sistem ekonomi. Jika manusia difahami sebagai makhluk kebendaan sahaja sudah pasti perancangan untuk memaju sesebuah negara akan tertumpu kepada kemajuan kebendaan sahaja. Keperluan dan tuntutan manusia adalah pelbagai. Kemajuan ekonomi dapat dicapai secara berterusan jika keperluan manusia dalam aspek kerohaniah turut diberi perhatian oleh sesebuah negara. Kekuatan amalan kerohaniah akan memantapkan akhlak manusia yang seterusnya meminimakan amalan negatif individu yang membantut kemajuan ekonomi.
Ketiga, setiap individu perlu dididik melalui sistem pendidikan bahawa tanggungjawab kepada kebajikan masyarakat bukan hanya dipikul oleh pemerintah. Setiap individu perlu akur bahawa keharmonian masyarakat adalah tanggungjawab bersama. Kefahaman dan keyakinan pada pentingnya keharmonian masyarakat tercapai adalah prasyarat kepada keunggulan sesebuah sistem ekonomi. Justeru itu keadilan dalam setiap amalan ekonomi perlu didukung oleh kesemua ahli masyarakat. Amalan muafakat dalam menjalankan aktiviti ekonomi sepatut menjadi budaya dalam perjalanan sistem ekonomi. Amalan rakus dan mementing diri tanpa merasai tanggungjawab kepada kebajikan yang lain merupakan punca kepada pelbagai masalah ekonomi.
Ini berbeza dengan amalan semasa organisasi perniagaan seperti amalan corporate social responsibility (CSR). Ini adalah kerana amalan yang memunipulasi kedudukan ekonomi terus dijalankan. Hanya setelah keuntungan besar dikaut baharu peratusan kecil daripada keuntungan tersebut diderma dengan mendapat pengecualian cukai.
Keempat, ialah memahami dan menghayati konsep harta yang sempurna. Individu hanya merupakan pemilik kepada harta yang diperolehi secara halal. Harta yang dimiliki merupakan amanah daripada Ilahi dan bertanggungjawab terhadap bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Menghayati pemilikan harta secara mutlak akan menimbul hanyak masaalah kepada kegunaan harta tersebut. Begitu juga dengan sistem yang mana harta keseluruhannya dimiliki oleh negara. Kedua-dua pendekatan tersebut bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Kefahaman tersebut banyak menimbulkan permasalahan ekonomi kerana penyalahgunaan harta akan mudah berlaku.
Kelima, dalam menyusun dan memajukan ekonomi negara ia perlu dipandu oleh semangat al-Adl wal Ehsan, iaitu memupuk semangat keadilan dan kasih sayang dikalangan ahli masyarakat. Justeru itu tepat sekali usaha untuk memajukan ekonomi perlu melalui pencapaian keadilan sosial. Sistem penyusunan ekonomi yang mengabaikan amalan keadilan sudah pasti akan mewujudkan budaya konflik berlaku dalam pelbagai aspek perjalanan ekonomi. Ini akan menimbul ketidakstabilan ekonomi dan seterusnya membantut kemajuan ekonomi.
Keenam, dan yang terakhir sesebuah sistem ekonomi perlu memahami kepada pendekatan yang tepat kepada peranan sektor awam dan swasta dalam menyusun perjalanan aktiviti ekonomi Kedua-dua sektor perlu memerlui di antara satu sama lain. Kegagalan sistem Marxis kerana pada awal ia menolak kepentingan kepada wujudnya sektor swasta. Pada akhirnya sistem ini terpaksa berkubur.
Sistem Laissez faire menghadapi masaalah kerana ia pada awal menolak pentingnya sektor awam. Dengan memberi ruang yang seluas dan sebebasnya kepada sektor swasta, ketidakstabilan ekonomi berlaku dan pada akhir sektor awam diperlui untuk menstabilkan keadaan ekonomi. Tanpa panduan yang jelas kepada peranan tepat sektor awam dalam usaha tersebut, penglibatan sektor awam makin membesar dan menimbulkan pula kepada ketidakcekapan ekonomi berlaku.
Oleh itu satu pendekatan yang tepat tentang peranan sektor awam dan swasta pada permulaan penyusunan sesebuah sistem perlu dikemukakan. Kedua-dua sektor perlu memerlui secara muafakat untuk memajukan ekonomi secara adil dan saksama. Dalam suasana ekonomi yang baik peranan ekonomi perlu diberi ruang seluasnya kepada sektor swasta. Jika keadaan ekonomi menghadapi pelbagai masaalah peranan sektor awam akan bertambah.
Dengan memahami dan mampu menterjemahkan amalan di atas dengan sempurna sistem ekonomi sesebuah negara dapat berperanan dengan baik dan sempurna. Natijah akhir ia sepatut menyumbang kepada pembinaan peradaban umat manusia.