“Semaikanlah dalam hati kamu perasaan kasih kepada rakyat kamu. Biarkan ia menjadi sumber kebaikan serta rahmat kepada mereka. Kekalkan keadilan dalam pentadbiran dan semaikan semangat ini dalam jiwa kamu. Kamu akan diadili atas apa yang kamu lakukan terhadap rakyat. Tetapkan iman kamu dan jauhi sama sekali perkara-perkara yang dilarang, kamu pasti akan dapat mengenal antara yang baik dengan buruk. Jika kamu dilantik untuk menyandang jawatan yang memberikan kekuasaan kepada kamu, lalu menyebabkan kamu berasa megah atau sombong, ingatlah bahawa kamu sama sekali tidak mempunyai kawalan ke atas kekuasaan dan keagungan Yang Maha Esa terhadap alam ini. Hal ini akan mengembalikan keseimbangan dan meletakkan kamu dalam ketenteraman.” Demikianlah sebahagian kecil daripada kandungan surat panjang Khalifah Ali bin Abu Talib k.w. kepada Malik bin al-Harith al-Asytar setelah pelantikan beliau sebagai gabenor Mesir pada 658 M. (38H.).
Oleh sebab pemerintahan dan kepemimpinan merupakan urusan yang berat, maka Khalifah `Ali k.w. memberikan nasihat dan peringatan kepada gabenor berkenaan. Nasihat dan peringatan berkenaan membentuk garis panduan pentadbiran negeri yang terperinci untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan urusan tersebut. Garis panduan itu meliputi munajat kepada Allah; layanan terhadap segenap lapisan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa atau juga kedudukan, khususnya golongan miskin; pemilihan penasihat yang jujur dan nasihat yang perlu diterima; kepentingan pengekalan keharmonian; kecemerlangan pentadbiran kewangan bagi menjamin kemakmuran; syarat-syarat pemilihan pegawai-pegawai utama kerajaan, termasuk yang yang mengendalikan hal-hal sulit kerajaan; pengendalian urusan perdagangan dan perindustrian secara adil dan tidak menindas; musyawarah secara terbuka; usaha meneladani kejayaan yang dicapai pemimpin terdahulu; sikap yang perlu diambil dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul berkaitan dengan urusan kepemimpinan, dan sebagainya.
Apabila membicarakan perihal amanah dan dalam hal ini, merujuk urusan kepemimpinan, kita pasti akan turut memperkatakan persoalan keimanan. Hal ini disebabkan keimananlah yang akan menyemai sifat amanah dalam diri sehingga mendorong individu yang memikul sesuatu amanah, melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin. Keimanan jugalah yang akan mendorong seseorang pemimpin misalnya, untuk berkeupayaan menilai sama ada tindakannya benar atau salah. Demikian juga dengan matlamat serta tujuannya, sama ada demi maslahah ummah atau sebaliknya hanya menyakiti, memudaratkan dan mengorbankan hak serta kepentingan mereka. Maka dengan demikian, pemimpin yang dibimbing oleh keimanan, sama sekali tidak akan terkeliru dan hanyut dalam ketaksuban mereka terhadap pengaruh serta kekuasaan sehingga mereka tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil atau yang baik dengan yang buruk, sebagaimana ditegaskan oleh Khalifah `Ali dalam surat kepada gabenor baginda.
Sebagaimana juga ditegaskan oleh Khalifah `Ali kepada Malik Asytar bahawa rakyatlah yang akan menjadi sebaik-baik pemerhati dan penilai bagi setiap tindakan pemimpin mereka, maka seharusnya pemilihan pemimpin untuk mewakili mereka dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya oleh rakyat. Hal ini khususnya dengan mengambil kira keupayaan pemimpin yang dipilih untuk memelihara kepentingan ukhrawi dan duniawi mereka. Bagi umat Islam, sudah pasti pemimpin yang dipilih perlulah menunjukkan iltizam tinggi untuk sentiasa memelihara maslahah agama, institusi,dan ummah, selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan melalui peruntukan Perkara 3 (1) dan Sumpah Yang di-Pertuan Agong. Pada masa yang sama pula, kepentingan penganut agama dan bangsa atau kaum lain tidak sama sekali diabaikan. Hal ini bertujuan memelihara semangat besar agama Islam dalam menegakkan keadilan dan menyebarkan rahmat tanpa mengira agama, bangsa mahupun kaum.