Wabak Covid-19 secara tersiratnya telah mengubah gaya hidup manusia menjadi lebih kreativiti dan berinovasi agar dapat meneruskan kelangsungan hidup. Hidup perlu diteruskan walaupun apa pun halangan dan cubaan yang melanda manusia. Setiap musibah yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
Tidak ada sesiapa yang mahukan musibah menimpa. Namun setiap musibah merupakan ujian dalam kehidupan. Ujian mungkin hadir dalam berbagai-bagai bentuk seperti wabak yang melanda dunia pada hari ini. Sesiapa yang ditimpa ujian perlu diingatkan supaya sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT kerana terkandung hikmah di sebaliknya.
Dalam surah al-Insyirah, ayat 5 – 6, mafhumnya, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.“
Saya ingin membawa sebuah kisah yang dapat dikaitkan dengan wabak yang melanda ketika ini. Louis Pasteur ialah seorang ahli sains terkemuka pada abad ke-19. Beliau merupakan perintis dalam bidang mikrobiologi setelah beliau berjaya menemukan vaksin menentang penyakit anjing gila yang merupakan salah satu penyakit atau wabak yang dahsyat ketika itu.
Akhirnya, tertubuhlah Institut Pasteur mengambil sempena nama beliau. Institut ini berkembang menjadi sebuah institusi penyelidikan yang merangkumi beberapa bidang biologi yang lebih luas. Pasteur telah mengumpulkan rakan-rakannya yang mempunyai minat dan kesungguhan yang sama dengannya. Mereka telah berjaya mewujudkan persekitaran yang membolehkan penyelidikan bercambah dan berkembang maju. Seorang penyelidik Institut Pasteur bernama Francois Jacob ada menyatakan bahawa beliau mendapati dirinya hanya bekerja di pinggir jalan dalam kerjaya yang sepatutnya lebih formal. Beliau ialah seorang doktor tanpa klinik, ahli farmasi tanpa dispensari, ahli kimia tanpa industri dan ahli akademik tanpa kerusi.
Dari sini, penyelidikan telah diberi nafas baharu. Penyelidikan bukanlah dunia ulat buku yang dingin, kaku, beku, menyedihkan serta membosankan. Sebaliknya, penyelidikan merupakan dunia yang penuh keceriaan, kejutan, keinginan untuk mengetahui dan berimaginasi kerana persaingan utama bukan untuk merebut duniawi tetapi kuasa intelektual. Sebahagian besar penyelidikan di sini dikaitkan dengan penyakit tertentu, misalnya masing-masing Alphonse Laveran dan Chaarles Nicolle menjalankan kajian terhadap penyakit malaria dan tifus.
Daripada apa yang saya ceritakan di atas ini, mungkin dua pengajaran yang dapat kita ambil. Pertama, bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertai dengan kemudahan. Ini jelas menunjukkan kepada kita akibat wabak atau penyakit anjing gila ketika itu, maka vaksin bagi penyakit tersebut telah ditemukan.
Kedua, saya membayangkan kesan daripada Covid-19 ini, Malaysia mampu menubuhkan sebuah institut penyelidikan yang menjalankan penyelidikan khusus mengenai Covid-19 dan juga varian yang seumpamanya. Dengan kepakaran yang Malaysia miliki sama ada daripada universiti awam atau swasta, mereka mungkin mampu menghasilkan satu penemuan yang amat bermakna. Penemuan ini selain dapat menjimatkan kos pembelian vaksin berbilion ringgit, akan dapat juga menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang mengeluarkan vaksin berstatus halal.
“Institut Covid-19 ” ini umpamanya, bukan hanya menjalankan kajian mengenai vaksin sahaja tetapi berbagai-bagai sektor lain yang terkait dengannya. Kita dapat lihat bagaimana sektor ekonomi yang terdiri daripada pelbagai industri seperti pelancongan, penerbangan, pembuatan, perkhidmatan dan lain-lain lagi terjejas. Jadi, kita perlukan data-data bagi merancang hala tuju negara untuk masa hadapan. Begitu juga dengan sektor pendidikan yang terjejas, kita perlu ada kajian yang khusus mengenainya dan banyak lagi sektor lain yang penting. Penggunaan internet kini menjadi keperluan asas seperti kita memerlukan air dan api. Begitu juga persoalan keselamatan negara yang berkait dengan pendatang tanpa izin (PATI) dan banyak lagi isu lain. Kesemua bidang ini saling terkait dan terkesan dengan pandemik Covid-19.
Dunia pada hari ni bergantung kepada data untuk merancang masa depan yang lebih baik. Setiap keputusan yang hendak dibuat atas kepentingan umum seharusnya bergantung kepada fakta dan data, bukan kepada pengaruh mana-mana pihak.
Kita dapat lihat bagaimana Thailand menjadi pengilang kedua kepada syarikat pengeluar vaksin. (Malaysiakini.com, 4 Jun 2021). Apa yang penting di sini ialah proses pemindahan teknologi. Thailand akan mempelajari kaedah penghasilan vaksin melalui Vektor Viral (virus yang dimodifikasikan secara genetik). Apabila disuntik, vaksin akan mengarahkan sel untuk menghasilkan protein SAR-CoV-2 iaitu sasaran utama dalam sistem ketahanan badan manusia yang disasarkan oleh koronavirus.
Setakat hari ini, apabila saya melihat kepada pengeluar-pengeluar vaksin utama, tidak ada satu pun datang daripada negara Islam yang menghasilkan vaksin. Umat Islam seharusnya tidak lagi menjadi pengguna selama-lamanya. Umat Islam harus bangkit menjadi peneraju seperti zaman kegemilangan Islam yang kini hanya menjadi lipatan dalam sejarah. Mengapa umat Islam terkebelakang pada saat bangsa yang maju terus menerus mencipta kemajuan dalam pelbagai bidang?
Beberapa kesimpulan yang boleh saya berikan berdasarkan pembacaan saya ialah perkara ini disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, umat Islam telah hilang daya kreatifviti mereka dalam mengubah dan beradaptasi dengan dunia. Kedua, pemikir-pemikir Islam tidak berminat dengan masalah dan persoalan sains moden. Mereka lebih tertarik untuk membicarakan kerosakan isu moral agama Islam yang sedang mengalami kemunduran berbanding sebelumnya. Ketiga, hubungan antara agama dan politik. Sebenar-benarnya, agama ialah apa yang Allah inginkan, bukan mengikut kehendak kuasa politik.
Akhir sekali, apabila wabak Covid-19 melanda dunia, kita perlu mengatasinya dengan ilmu. “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahui,” (Surah al-Alaq: 1—5).