Pengurusan adalah satu daya usaha menyusun sesebuah organisasi, untuk mencapai matlamat tertentu. Usaha ini mampu memperolehi mutu pencapaian yang tinggi jika pemimpin di samping memiliki wawasan untuk mengariskan matlamat dan arah panduan untuk organisasi terbabit sekali gus berkemampuan menterjemah wawasan tersebut kepada program-program dan kegiatan-kegiatan yang membolehkan matlamat dan objektif dapat dicapai. Kemampuan tersebut memerlukan pemimpin organisasi mempunyai daya cipta dan kebolehan yang tinggi.
Daya cipta dalam pengurusan adalah kemampuan mencipta pendekatan baru yang lebih berkesan dalam pengurusan sesebuah organisasi terbabit. Manakala daya pembaharuan adalah daya usaha yang berterusan meningkat mutu pengurusan daripada cara yang sedia ada. Pertanggungjawaban pemimpin mengurus sesebuah organisasi untuk mencapai kejayaan yang cemerlang untuk organisasi mengikut Islam adalah suatu amanah yang penting. Kecapaian tersebut mampu diperolehi jika pemimpin dilantik dari individu yang berkebolehan dan berwibawa.
Dalam konteks negara kita, salah satu faktor utama yang akan menjayakan Wawasan negara pada Abad 21 ialah mencapai mutu kualiti pengurusan yang tinggi di kesemua sektor, termasuk awam dan swasta. Kejayaan ini seharusnya wujud di kesemua peringkat sektor-sektor tersebut semoga hasil dari pengurusan yang bermutu dan berkualiti akan dapat membuahkan pencapaian kemajuan setiap organisasi dalam kesemua perkara. Keseluruhan kejayaan tersebut akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negara.
Mengikut Dasar Pensyarikatan Malaysia, kepentingan kualiti pengurusan bukan hanya sekadar meningkat prestasi kedua-dua sektor awam dan swasta secara berasingan tetapi sekali gus kedua-dua sektor tersebut harus mencapai keharmonian dalam prestasi tugas semoga ia saling bantu-membantu kerana mereka memerlui di antara satu sama lain untuk memajukan negara.
Usaha penyusunan negara dengan itu perlu peka bahawa prestasi organisasi yang berkesan akan dapat dijayakan melalui peningkatan kualiti pengurusan bagi kedua-dua sektor awam dan swasta, dan kemampuan mereka berperanan secara berpasukan menjayakan matlamat negara. Jika hanya satu sektor berjaya meningkat mutu pengurusan dan yang satu gagal mencapai kualiti pengurusan yang tinggi, matlamat negara untuk mencapai status negara maju akan tidak berhasil. Ini adalah disebabkan kerana walaupun peranan kedua-dua sektor adalah dalam bidang yang berlainan, mereka turut perlu memerlui di antara satu sama lain.
Kejayaan negara-negara maju jelas dibuktikan oleh kualiti pengurusan organisasi mereka yang bermutu oleh kedua-dua sektor tersebut. Mereka mampu menghasilkan barangan dan perkhidmatan dengan mutu kualiti yang tinggi mengatasi pengeluaran negara-negara lain. Dalam era globalisasi, kualiti barangan dan perkhidmatan hasil dari mutu pengurusan organisasi terbabit adalah penentu kepada kejayaan. Ini adalah kerana keadaan persaingan di antara masyarakat dan negara makin bertambah lebih sengit dalam suasana semasa.
Islam diutus Allah (s.w.t) untuk menyusun kehidupan manusia di peringkat individu dan masyarakat semoga mencapai kemakmuran dan kecemerlangan hidup di dunia dan seterusnya di akhirat. Penumpuan kepada usaha mendidik individu dan menyusun masyarakat di peringkat awal adalah bertujuan untuk melahir individu yang berguna dan mengatur sistem hidup masyarakat semoga dapat berfungsi dengan baik dan sekaligus mengurangkan segala bentuk permasalahan. Penyelesaian Islam bukanlah hanya timbul akibat dari sesuatu permasalahan yang dihadapi oleh manusia, tetapi Allah mengarahkan umat manusia pada awal lagi supaya dididik dan menyusun aktiviti kehidupan menepati fitrah kemanusiaan. Natijah dari proses penyusunan yang baik ini memerlukan kepada suatu sistem pengurusan diri, keluarga, organisasi dan negara yang mantap demi membawa kepada wujudnya sebuah tamadun yang mulia.
Bagi usaha ke arah mewujudkan penyusunan organisasi menepati Islam, ia memerlukan kepada satu kaedah pendekatan yang sesuai dan praktikal. Islam tidak mengesyorkan semoga bentuk, kaedah dan kegiatan organisasi yang sedang diamal oleh mana-mana organisasi dihapuskan, melainkan kegiatan tersebut jelas bertentangan dengan falsafah Islam. Islam hanya mengutarakan garis panduan dan mengambil kira suasana dan budaya persekitaran.
Dalam menyusun pengurusan, manusia yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan. Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan makhluk masyarakat. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam ke semua usaha, memahami hakikat ini sangatlah perlu.
Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap individu berkeinginan untuk menjaga kepentingan diri. Di samping itu sebagai makhluk masyarakat pada lumrahnya manusia perlu memerlui di antara satu sama lain dalam mengatur tugas dalam organisasi. Pendekatan Islam mengemukakan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu dan tanggungjawab individu ke arah pencapaian kebajikan warga dan matlamat organisasi pada keseluruhannya.
Untuk menjayakan keharmonian ini, di peringkat individu, Islam mengutamakan penghayatan akhlak semoga sahsiah (personality) individu dapat dibentuk dengan memiliki sikap (boleh dipengaruhi oleh pandangan hidup) yang luhur dan mengamal perilaku yang mulia. Usaha ini perlu kepada pendidikan yang dapat membantu kefahaman dan menjalani latihan kerohanian semoga tindak tanduk yang negatif dapat dikurangkan. Akhlak dan perilaku individu sepatut mengarah kepada tanggungjawab individu untuk menghayati segala nilai dan semangat luhur dalam kesemua urusan pengendalian organisasi. Pendidikan akhlak dengan itu dapat membentuk sikap yang mulia serta berpandangan progresif.
Memahami keadaan suasana semasa setempat dan antarabangsa turut juga merupakan keperluan yang penting. Justeru itu menguasai ilmu masyarakat, ekonomi, politik, dan kebudayaan turut dianggap penting. Sesebuah organisasi berperanan dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, untuk sesebuah organisasi dapat berperanan dengan berkesan suasana setempat sangatlah penting. Begitu juga suasana antarabangsa.
Di samping itu, Islam turut memberi penumpuan kepada peningkatan daya kemahiran dan kepakaran individu pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi dengan itu mesti menganggap pekerja sebagai sumber yang terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka. Individu yang hendak dibangun mesti memiliki ketiga-tiga ciri ini, iaitu sikap yang murni, memahami suasana dan budaya masyarakat, dan daya kepakaran yang tinggi di peringkat tahap pekerjaan masing-masing. Tanpa ketiga-tiga ciri ini, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap yang rendah. Bahkan hanya memiliki salah satu dari ciri ini tidak mungkin membawa kepada kejayaan yang membanggakan.
Sifat mementing diri adalah daya penggerak yang akan dapat memberi sumbangan berkesan kepada kemajuan sesebuah organisasi jika sifat tersebut dapat dididik dan diletak pada tempatnya. Tanpa sifat ini tidak mungkin manusia akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri. Bahkan sifat tersebut pada fitrah terdapat dalam diri manusia. Justeru itu bagi Islam daya usaha dan daya cipta seseorang individu akan dapat dijayakan jika sistem organisasi memberi ruang yang secukupnya kepada kebebasan usaha individu. Islam hanya memberi panduan melalui tanggungjawab keagamaan yang perlu dilaksanakan. Di samping itu Islam memberi penekanan kepada pendidikan dan latihan kerohanian moga-moga sifat mementing diri dapat diletak pada tempat yang sebenar. Dengan pendekatan ini Islam berkeyakinan bahawa, sikap serta perilaku individu akan berbentuk mulia dan berkesan.
Hasil dari keyakinan kepada kedudukan individu dalam sistem penyusunan organisasi, Islam dengan itu memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia secara menyeluruh semoga dapat mempertingkatkan daya kepakaran dengan disertai nilai akhlak yang mulia. Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berperanan serta membuat keputusan perlulah diperluaskan. Corak membuat keputusan dalam organisasi dengan itu akan diturunkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas yang sesuai.
Di peringkat negara, semangat perluasan ruang untuk sektor individu atau swasta berperanan dalam penyusunan dan kegiatan negara turut serta memanifestasikan bahawa Islam berkeyakinan penuh kepada usaha individu dalam sektor swasta. Sektor swasta mendapat kedudukan yang utama dalam menggerakkan perjalanan kegiatan pembangunan negara. Adalah kenyataan bahawa sektor swasta yang peka dengan tanggungjawab kepada masyarakat (social responsibility) akan dapat menerajui masyarakat ke arah kecemerlangan. Masyarakat penyayang akan dapat diwujudkan apabila golongan individu di atas mengambil usaha sendiri dengan galakan pemerintah dapat berperanan secara kolektif menangani masalah masyarakat.
Begitu sepatutnya semangat muafakat dan budaya bekerja secara berpasukan perlu diwujudkan dalam sesebuah organisasi. Semangat kerja berpasukan dengan sekaligus dapat melaksanakan pendekatan syura atau perbincangan dalam menangani sesuatu tugas dan di samping itu dapat mengurang kerenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi. Kecemerlangan dalam menghasilkan pengeluaran dan mutu tugas adalah natijah dari memiliki pandangan hidup tersebut yang dapat diterjemahkan dalam prinsip pengurusan dan penyusunan organisasi.
Hasil dari menerajui pengurusan mengikut pendekatan di atas semangat keadilan akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi. Pelaksanaan roh keadilan dalam pengurusan akan memperkukuhkan lagi suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas dan tanggungjawab. Bahkan kemuncak kepada wujudnya prinsip keadilan bagi sesebuah organisasi akan menghasil kejayaan yang cemerlang dalam bentuk penghasilan barangan dan mutu kerja pekerja.