Sejarah terlakar lagi, untuk sebuah bumi bertuah. Tentunya keterujaan dan debaran silih berganti memenuhi ruang rasa. Sudah pasti lahir perasaan bangga dalam semangat patriotik penulis kerana dapat bersama-sama mengisi kemeriahan suasana walaupun sebenarnya tugas menulis untuk hari ini yang jatuh pada hari mengundi hanya suatu kebetulan.
Pilihan raya pertama yang diadakan pada tahun 1959 membuktikan bahawa Malaysia–yang pada ketika itu masih Tanah Melayu–adalah sebuah negara yang ditubuhkan dengan kerajaan demokrasi berparlimen. Perkara ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan selain menyertakan raja berperlembagaan dalam sistem demokrasi tersebut. Juga terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan Islam sebagai agama Persekutuan, iaitu agama negara.
Fungsi pilihan raya antaranya adalah bagi menguatkan kestabilan dan legitimasi dalam sebuah komuniti politik. Selain itu ia suatu manifestasi demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat untuk memilih dan menukar pucuk pimpinan.
Jika kita menyorot sejarah pilihan raya umum (PRU) yang telah dilalui oleh negara tercinta ini terutamanya di sepanjang PRU 1978 (PRU-5) sehingga 2013 (PRU-13), memperlihatkan kedinamikan keputusan-keputusan PRU. Dalam dua PRU yang terkemudian sebelum ini (PRU-12 dan 13), dominasi parti pemerintah tidak dapat dikekalkan dan ia disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran.
Kesan globalisasi dan ledakan teknologi maklumat dengan sifatnya yang begitu agresif serta bentuknya yang tiada sempadan adalah faktor yang amat signifikan menjadikan pilihan raya dalam era pasca moden menjadi begitu dinamik dan barangkali sukar ditelah oleh sesiapa. Malah Al Jazeera mengakui bahawa PRU-14 kali ini akan berlangsung secara sengit.
Suatu hakikat yang kita sama-sama tidak dapat nafikan, di sebalik rasa teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, ada pelbagai semangat yang terzahir atau tersembunyi. Itu semangat rakyat yang ingin bertempur tanpa perang, sama ada mahu mempertahankan malah memperkukuhkan barisan kepimpinan yang sebelumnya, ataupun mahu memberi peluang kepada pucuk pimpinan baharu. Iaitu, pimpinan yang diharapkan amat memahami hati rakyat, dan mampu meladani kehendak sebenar rakyat. Walaupun pada hakikat sebenarnya, memahami dan menunaikan hasrat adalah dua perkara yang amat berbeza, dan sesuatu yang mustahil untuk memenuhi setiap kehendak.
Sejarah pemerintahan Islam membuktikan bahawa memilih pemimpin adalah perkara yang amat penting. Sehinggakan ketika hendak menentukan pemimpin selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW itu, berlaku sedikit penangguhan terhadap pengurusan jenazah Baginda SAW.
Apabila seseorang individu dilantik sebagai pemimpin, tentunya ia mempunyai pelbagai tugas kepimpinan. Namun dalam konteks siasah syar’iyyah, menguruskan amar makruf wa nahyu mungkar adalah keutamaan dalam bidang tugas kepimpinan. Maka, bagi setiap individu Muslim yang akan mendapat mandat daripada rakyat perlu mempunyai kesedaran bahawa agama Islam sebagai agama Persekutuan mesti dikekalkan kerana agama ini mempunyai hak-hak tertentu yang perlu ditunaikan.
Perkara utama dalam maqasid al-shariah adalah pemeliharaan agama, maka dalam konteks negara tercinta ini agama negara perlu dilindungi dan dipertahankan sementelah pada masa ini, banyak cabaran termasuk dari sudut ideologi yang menganggap Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan sebagai musuh yang perlu dilenyapkan. Namun, hakikatnya ia perlu terus dipertahankan demi kelangsungan akidah yang sahihah wa salimah (benar dan sejahtera) kerana kehidupan bernegara membutuhkan keredaan Allah SWT.