BERANIKAN dirimu demi perubahan! Itu maksud tema Hari Wanita Sedunia bagi tahun ini, 2017. Tema ini memayungi lima bidang tumpuan yang benar-benar berpotensi untuk mengarahkan wanita ke suatu perubahan yang hebat dan unggul. Lima skop tersebut menumpu kepada cabaran ketidaksaksamaan serta ketidaksamarataan, penglibatan dalam memerangi keganasan, pemacuan dalam bidang-bidang yang maju diteroka oleh golongan wanita, pengiktirafan terhadap kejayaan yang ditempa oleh golongan wanita, dan galakan serta sokongan padu dalam bidang pengajian juga penyelidikan yang disertai oleh kaum Hawa ini.
Kelima-lima perkara ini merupakan segmen-segmen yang amat signifikan dalam membina sebuah negara yang berperadaban dan sejahtera. Setiap sumbangan yang diberikan tanpa mengira sama ada tujuannya untuk memperbaiki, memperkukuh atau menambah nilai bagi setiap segmen ini, perlulah diperakui dan diiktiraf kerana kesejahteraan dalam sesebuah masyarakat atau negara menentukan kelangsungan serta kelestarian sesebuah peradaban bangsa. Maka, jika sumbangan itu diberikan oleh kaum wanita bermakna taraf sumbangan tersebut adalah setara dengan sumbangan yang diberikan oleh ahli masyarakat yang lain.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, penglibatan dalam memerangi keganasan merupakan tindakan paling utama untuk diberikan perhatian berbanding segmen-segmen yang lain, kerana ia yang akan menentukan keamanan dan kesejahteraan sesebuah masyarakat. Inilah pemula atau asas yang akan membenarkan empat segmen lain untuk membangun. Jika segmen ini kurang dipeduli, maka sukar bagi segmen-segmen lain dapat digerakkan dengan baik, melainkan ia akan berlaku (tetapi) dengan kepincangan. Dalam hal ini memang tidak dinafikan bahawa wanita adalah golongan yang paling mudah dijadikan sasaran atau mangsa keganasan selain kanak-kanak serta kelompok individu yang dikategorikan sebagai golongan yang lemah.
Pendekatan yang boleh diambil dalam segmen ini antaranya adalah dengan mendidik golongan remaja berkaitan perhubungan yang positif. Remaja perlu memahami tentang hak dan tanggungjawab secara adil dalam perhubungan, serta perlindungan dan jaminan undang-undang terhadap hak-hak mereka.
Meyakini bahawa wanita memiliki harga diri sebenarnya amat penting untuk membina sikap yang tegas. Ketegasan ini yang sangat diperlukan apabila wanita terpaksa berjuang demi keadilan bagi dirinya dan mempertahankan hak-hak mereka. Penglibatan dalam segmen ini juga bermaksud memberi sumbangan kepada pihak-pihak yang berjuang memerangi kezaliman dan penganiayaan yang berlaku terhadap wanita. Selain bersikap responsif terhadap aktiviti berkaitan, tidak menyokong semua bentuk keganasan dan menawarkan bantuan secara sukarela dalam kawasan kejiranan.
Penglibatan wanita dalam memerangi keganasan tidak akan bermula tanpa adanya kesedaran. Kesedaran perlu tercetus dalam jiwa wanita. Kesedaran akan melahirkan keberanian, selain wanita perlu memperkayakan diri mereka dengan ilmu. Ilmulah yang akan membawa dan meletakkan mereka di kedudukan yang tepat, memberi faham tentang hak dan tanggungjawab secara adil, dan memahamkan bahawa ia dilindungi oleh undang-undang. Kesedaran dan pengetahuan sebenarnya tidak sempurna jika tidak dikolaborasi bersama kebijaksanaan. Kebijaksanaan ibarat perkakas dan alat bantu yang akan memudahkan wanita bagi mencapai hasrat dan maksud mereka.
Beranilah untuk berubah demi kelangsungan hidup secara bermaruah dan terhormat.