Sekitar 30 tahun dahulu dan sebelumnya, seisi keluarga setia menunggu di hadapan televisyen atau berdekatan radio dengan penuh debaran untuk mendengar pengumuman tarikh permulaan berpuasa. Sebaik sahaja dikhabarkan puasa esoknya, kanak-kanak, orang dewasa dan orang tua berpusu-pusu menuju ke masjid dan surau terdekat untuk mengerjakan solat sunat Tarawih. Suasana malam dipenuhi dengan rasa barokah dan gembira menyambut datangnya Ramadan yang dirindui.
Biarpun suasana perkhabaran akan masuknya bulan Ramadan pada hari ini mungkin tidak lagi sama seperti 30 tahun dahulu dengan perkembangan teknologi dan kepantasan maklumat, semarak kehadiran Ramadan tetap dirasai oleh jiwa-jiwa yang merindui keistimewaan bulan Ramadan. Berbanding bulan-bulan hijriah yang lainnya, bulan Ramadan dijanjikan Allah SWT akan terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka, turunnya Al-Quran dan malam al-qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.
Bagi generasi muda, kedatangan Ramadan mungkin sedikit berbeza dengan generasi yang sebelumnya. Bagaimanapun, ini tidak bermakna anak muda tidak menghayati kedatangan Ramadan senikmat dengan generasi yang sebelumnya. Ini kerana keberkatan Ramadan tidak bergantung kepada peredaran zaman atau perkembangan teknologi. Sebaliknya, ia adalah rahmat kepada semua umat Nabi Muhammad SAW.
Namun begitu, tidak dinafikan peredaran zaman sedikit sebanyak mempengaruhi bagaimana umat Islam menyambut Ramadan. Jika dahulu, penggunaan teknologi adalah terhad, maka banyak perkara bergantung kepada usaha gigih dan kerja keras manusia secara bersama-sama. Sebagai contoh, pukulan beduk pada awal pagi untuk bersahur bukan sahaja satu tradisi kearifan tempatan masyarakat Melayu dan Nusantara yang pintar, tetapi juga menunjukkan elemen saling menjaga di antara satu sama lain.
Pada hari ini kebanyakan kita mungkin bangun dengan bunyi penggera sama ada jam loceng atau telefon bimbit. Namun, ia tidak membezakan keberkatan Ramadan apabila kita bangun bersama-sama untuk berqiam dan berjemaah subuh di masjid.
Bagaimanapun, dengan cabaran perkembangan teknologi yang pesat, sebahagian daripada umat Islam terperangkap dengan senarai sarat Ramadan yang bersifat material seperti tentang stok kurma, menu iftar sehinggalah kepada keperluan Hari Raya. Dalam hal ini, kita terarah menggunakan teknologi semasa untuk melihat perkara-perkara material tersebut sehingga menenggelamkan matlamat asal menyambut Ramadan iaitu berkaitan memenuhi tangki ibadah dan jiwa selama sebelas bulan yang telah “defisit” dan amat perlukan stok baharu untuk diisi semula.
Justeru apakah senarai semak persediaan Ramadan yang seharusnya umat islam tumpukan? Pertama ialah “pembersihan hati” dengan membuang sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, sombong, takbur, bakhil dan lain-lain. Seterusnya dipenuhi dengan sifat-sifat mahmudah seperti syukur, rendah diri, murah hati dan sebagainya.
Dalam hal ini, terdapat segelintir umat Islam mengamalkan sifat-sifat terpuji ini terhadap orang lain, namun bukan kepada ahli keluarganya sendiri. Keadaan ini menunjukkan sifat terpuji itu digunakan sekadar “topeng” bagi menutup sifat cela yang sebenar. Sebagai contoh, dalam kalangan penduduk setempat dikenali dengan sifat pemurah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Namun realiti sebenar sangat berkira kepada isteri dan anak-anak.
Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh umat Islam untuk berbuat baik kepada ahli keluarga sebagaimana hadis yang bermaksud, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku…” (Riwayat al-Tirmidhi).
Kedua, melakukan persediaan mental dengan membuat sasaran ibadah khusus Ramadan dipenuhi dan meningkat amal ibadah yang lainnya. Ini termasuklah menyusun jadual agar dapat mengerjakan solat sunat Tarawih, membaca al-Quran, qiam dan lain-lain.
Bagi wanita khususnya, usah biarkan persediaan iftar, sahur dan hari raya menyebabkan kita meninggalkan ibadah khusus Ramadan yang setahun sekali kita temui dan tempuhi. Para suami dan ahli keluarga yang lain hendaklah bersama-sama menggalakkan seisi rumah tangga dapat menyempurnakan ibadah khusus Ramadan dengan saling bertolong bantu dan seimbang dalam menyediakan iftar dan keperluan lain.
Pecutan untuk melakukan ibadah khas Ramadan ini mungkin memberi sedikit cabaran disebabkan keletihan tubuh badan kerana berpuasa. Bagaimanapun, keletihan itulah di antara hikmah berpuasa agar kita dapat menyelami mereka yang kurang bernasib baik. Oleh itu, mental perlu dipusatkan bahawa Ramadan adalah satu masa yang singkat untuk kita mengejar segala keberkatannya. Dengan persediaan itu, kita akan melaksanakan amal ibadah dengan rasa gembira dan tenang sekalipun sedikit keletihan.
Ketiga, walaupun berpuasa mendatangkan sedikit rasa letih namun ia memberi manfaat yang besar dari sudut kesihatan manusia. Oleh itu, individu wajar memelihara stamina tubuh badan melalui penjagaan pemakanan yang baik seperti mengurangkan porsi makan secara beransur-ansur dan mengurangkan pengambilan gula atau kafein bagi mengelakkan kejutan kepada tubuh menjelang tempoh berpuasa kelak. Perkara ini juga akan mengelakkan kita menjadikan iftar seumpama “pesta makanan” bagi menampung porsi makanan yang tidak diambil pada siang harinya. Selain itu, Ramadan yang bakal tiba seharusnya menjadi pendorong utama tabiat merokok dihentikan oleh umat Islam yang terlibat.
Keempat dan yang paling utama ialah persediaan rohani iaitu menjaga hubungan kita sebagai makhluk dengan Sang Pencipta melalui peningkatan kualiti solat, memperbanyakkan zikir, melazimi amalan membaca al-Quran dan meletakkan seluruh pergantungan kepada Allah SWT tanpa meninggalkan usaha untuk mencapai perkara yang dihajati.
Matlamat utama Ramadan adalah untuk meraih sebanyak-banyaknya peluang melaksanakan amal ibadah. Kaki yang bakal melangkah ke pintu Ramadan hendaklah dipenuhi dengan rasa syukur, gembira dan bersedia meraih keberkatannya.

