Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini adalah satu anjakan paradigma yang mensasarkan pembangunan insan seimbang dan menyeluruh. Ia menghidupkan semula persoalan asas tentang makna pendidikan, iaitu pembinaan insan yang seimbang, berakar-umbikan identiti kebangsaan, dan berupaya memainkan peranan dalam dunia global yang kompleks.
Antara pembaharuan yang menonjol ialah penekanan kepada jati diri melalui pemerkasaan Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib merentas semua jenis sekolah, termasuk sekolah antarabangsa dan persendirian, di samping penegasan agenda TVET melalui Kurikulum Persekolahan 2027 dengan tumpuan kepada teknologi dan digital. Sinergi ini penting kerana negara tidak ada pilihan untuk memilih antara ‘identiti’ atau ‘daya saing’. Kedua-duanya mesti diperkukuh serentak. Secara dasarnya, RPN memberi isyarat bahawa kemajuan ekonomi digital perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan identiti kebangsaan dan nilai kemanusiaan.
Dalam kerangka pendidikan Islam, gagasan ini tidaklah asing. Ulama besar Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi menghuraikannya sebagai ḥifẓ al-huwiyyah, iaitu pemeliharaan identiti seperti yang dikupas dalam karya beliau al-Thaqafah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah bayna al-Asalah wa al-Mu‘asarah. Dalam kupasannya beliau menegaskan bahawa umat Islam perlu menguasai kemahiran yang diperlukan seiring perubahan semasa, namun mesti memelihara identiti agar tidak hanyut dalam arus modenisasi sehingga hilang iman dan akhlak. Maka, penetapan Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib adalah strategi murni untuk menginstitusikan identiti menerusi sistem pendidikan.
Kepentingan ḥifẓ al-huwiyyah berkait langsung dengan kekuatan akidah, kestabilan ummah, dan kelangsungan tamadun. Identiti yang mantap bertunjangkan iman, rasa bangga dengan agama, melaksanakan syariat, serta menghargai sejarah dan budaya. Identiti yang lemah pula mengakibatkan peniruan membuta tuli (taqlid) budaya dan dan fahaman asing. Dalam kerangka maqāṣid, memelihara agama dan maruah, serta menjaga urusan kemasyarakatan (ḥifẓ al-din, al-‘irḍ, al-shu’un al-ijtima‘iyyah) adalah tuntutan (daruriyyah) yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat bermaruah.
Namun, pemeliharaan identiti tidaklah seharusnya membawa kepada sentimen berpuak-puak. Hal ini selari dengan peringatan al-Qur’an dalam surah al-Hujurat ayat 13 bahawa manusia diciptakan pelbagai bangsa dan suku untuk saling mengenali, dan bukan untuk bermusuh. Oleh itu, penginstitusian mata pelajaran sejarah perlu melahirkan generasi yang mengiktiraf perbezaan dan menghormati bangsa dan masyarakat lain, manakala Bahasa Melayu pula perlu mendidik pelajar agar berfikir secara kritis, namun tahu berhujah dengan adab.
Kepentingan memelihara identiti ini turut disokong oleh Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali melalui perbahasan beliau tentang fiqh al-aqalliyat dalam konteks maqasid al-shari‘ah, yakni pendidikan perlu memelihara agama, akal, keturunan, harta dan nyawa serta kemaslahatan masyarakat. Pemeliharaan identiti melalui sistem pendidikan bukan sahaja sah dari sudut syarak, bahkan satu keperluan untuk membina masyarakat yang disegani. Dalam mendepani cabaran globalisasi dan sekularisme, pendidikan mesti berfungsi sebagai wadah pembinaan identiti dan perpaduan nasional.
Karya Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi memberi panduan yang jelas untuk memahami hala tuju RPN. Pertama, dalam Fi Fiqh al-Aqalliyyat al-Muslimah, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi mengemukakan kaedah fiqh dan prinsip taysir (memudahkan) dalam menjaga agama dan identiti secara realistik dalam konteks masyarakat majmuk. Walaupun kaedah ini asalnya berkenaan masyarakat Muslim minoriti yang tinggal di negara bukan Muslim, kerangka ini boleh dijadikan panduan kerana persoalan integrasi sering disalah tafsir sebagai asimilasi. Ini bermaksud bahawa pemerkasaan Bahasa Melayu dan Sejarah perlu dipandu oleh prinsip toleransi iaitu tanpa menuntut penghapusan identiti agama dan bangsa lain, apatah lagi hidup berpuak-puak sebagai alasan untuk memelihara identiti.
Kedua, melalui al-Waṭan wa al-Muwaṭanah, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi menegaskan bahawa identiti negara tidak seharusnya memadam identiti akidah dan ummah. Dalam konteks pendidikan kebangsaan, maknanya jelas: patriotisme mesti dibina sebagai kewarganegaraan beretika, membudayakan keadilan, tanggungjawab sosial dan adab dalam menangani perbezaan. Justeru, ia selari dengan tuntutan agama. Di sinilah Sejarah dan Bahasa Melayu bukan semata-mata mata pelajaran di sekolah, tetapi wahana membina ‘kontrak moral’ kebangsaan yang membolehkan kehidupan bersama dengan aman, saling menghormati, dan bermuafakat.
Agenda TVET yang ditekankan RPN pula adalah pemacu tamadun sebagaimana yang dikupas oleh Ibn Khaldun dalam Muqaddimah. Ibn Khaldun menegaskan bahawa kemahiran dan latihan praktikal adalah komponen penting dalam pembinaan ‘umran (peradaban/tamadun). Tamadun tidak terbina hanya dengan teori, tetapi dengan kepakaran dan kemahiran yang berkembang menjadi budaya kerja. Budaya kerja ini melahirkan masyarakat yang bertenaga mahir, mengamalkan pengurusan yang cekap, dan menghasilkan produktiviti yang berterusan. Justeru, pendidikan TVET bukanlah sekadar laluan pekerjaan. Lebih dari itu, ia adalah strategi ampuh untuk membina tamadun yang unggul.
Kesimpulannya, RPN 2026–2035 ialah satu gerak kerja yang besar untuk menyatukan dua misi yang sering dipisahkan: membina jati diri dan membentuk insan sebagai pembina tamadun. Jika keseimbangan ini dijayakan, RPN sudah tentunya akan melahirkan warga Malaysia yang mahir dan berdaya saing, dan seterusnya meneguhkan lagi peradaban Islam di mata dunia.

