Jika dahulu, penyakit diabetes tidak menjadi satu kegusaran dalam kesihatan masyarakat. Namun kini, ia menjadi satu ancaman yang meruncingkan akibat daripada prevalens yang menghidapinya adalah 2 kali ganda berbanding 5 tahun lepas. Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 mencatatkan kira-kira 3 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes berbanding hanya 1.5 juta pada tahun 2006.
Trend ini agak membimbangkan memandangkan masih terdapat sebilangan masyarakat kita yang tidak peka dan tidak menyedari akan penularan penyakit tersebut walaupun ia bukan dikategorikan sebagai penyakit berjangkit. Namun, disebabkan gaya hidup yang tidak sihat, tabiat pemakanan, merokok, tidak bersenam dan selesa dengan gaya hidup sedentari menyebabkan ia terus sebati sebagai amalan kebiasaan dalam kehidupan seharian seseorang. Lebih mengejutkan lagi, terdapat kira-kira 2 juta individu dewasa yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi tetapi masih belum menjalani pemeriksaan doktor. Bukan sedikit di antara kita yang melengah-lengahkan pemeriksaan kesihatan dengan alasan kesihatan masih berada pada tahap memuaskan dan tidak mengalami sakit. Padahal, perlu diingatkan bahawa kebanyakan kes pesakit diabetes tidak akan mengalami sebarang gejala atau komplikasi pada peringkat awal dan kadangkala mencapai sehingga 7 atau 10 tahun dari tempoh awal mula penyakit diabetes dikesan.
Ia dilihat sebagai suatu kebiasaan apabila kita tidak mengendahkan tentang kesihatan dan akan berubah apabila sudah disahkan menghidapinya. Tentu sekali boleh dimuhasabahkan diri, bilakah masanya kebanyakan daripada kita mula mengamalkan diet dan melakukan senaman? Ya, tentu sekali apabila merasakan berat badan semakin meningkat. Juga apabila doktor mula berpesan “Kalau kamu masih lagi tidak mengubah gaya hidup dan gemar makan apa sahaja, kandungan gula dalam darah akan makin meningkat.” Pada saat itu, barulah kita mula melakukan perubahan yang drastik sedangkan penyakit tersebut sudah pun bermaharajalela dalam badan.
Tentu sekali kita tidak dapat nafikan bahawa kesihatan itu adalah mahkota yang dijunjung oleh orang yang sihat, yang tidak dapat dilihat kecuali bagi orang yang sakit. Ia akan dihargai apabila sudah ditimpa sakit namun ketika sihatnya seolah-olah tidak dapat dilihat, dihargai dan disyukuri. Hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad perlu dijadikan iktibar. “Manusia tidak akan diberi yang lebih baik di dunia ini daripada keyakinan dan kesihatan, oleh itu mohonlah kedua-duanya kepada Allah.” Maka, wajarlah intipati daripadanya menjadi kekuatan untuk umat Islam bagi menjaga kesihatan agar tidak terus dibelenggu dengan ancaman yang berpunca daripada diri sendiri.
Secara kiraan purata menunjukkan seorang daripada tujuh rakyat Malaysia menghidapi diabetes. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semakin ramai masyarakat kita yang meninggal dunia pada usia muda akibat penyakit tidak berjangkit termasuklah diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular. Mungkin, ancaman tersebut sudah pun menular dalam kelompok sekeliling kita seperti di tempat kerja dan kejiranan. Namun, ia masih terus dipinggirkan kerana masyarakat kita masih merasakan sihat, muda dan belum sampai masanya untuk melakukan pemeriksaan secara berkala. Sikap “tak pe” dan bertangguh dalam masyarakat kita meruncingkan lagi penyakit diabetes dan apabila ia dikesan, sudah pun berada di peringkat yang kritikal.
Oleh itu, sebagai umat Islam yang menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah di atas segala nikmat kesihatan, wajar kita memelihara dan memulihara kesihatan dengan cara menjalani pemeriksaan kesihatan secara tetap. Bagi yang memiliki faktor risiko kesihatan seperti sejarah keluarga, masalah obesiti, diabetes semasa hamil dan kolestrol tinggi seharusnya menjalani ujian saringan seawal yang boleh bagi mengelakkan keterukan komplikasi berlaku. Tidak rugi kita menjalani ujian kesihatan, malahan ia memberikan manfaat yang cukup besar pada masa hadapan.
Obesiti juga merupakan salah satu daripada faktor risiko yang boleh menyumbang kepada peningkatan gula dalam darah. Ia menjadi satu kebiasaan apabila semakin ramai rakyat di negara kita mengalami masalah obesiti namun ia tidak dipedulikan. Fenomena ini juga berleluasa dalam kalangan kanak-kanak. Tidak dinafikan, ia berpunca daripada pemakanan yang tidak sihat dan gaya hidup yang tidak aktif. Malaysia menduduki tangga yang keenam di negara Asia kerana mencatatkan kadar obesiti yang tinggi dalam kalangan rakyat dewasa. Justeru, mendidik diri dan masyarakat agar mempunyai kesedaran dalam mencegah obesiti dengan pemakanan sihat menjadi kunci utama untuk memerangi penyakit diabetes daripada merajai kehidupan masyarakat kita.
Bagi yang disahkan menghidapi diabetes, ia bukan sebagai suatu penamat dalam usaha memerangi penyakit tersebut. Pengurusan penyakit diabetes penting dalam mengatasi komplikasi yang lebih teruk akhirnya boleh mengganggu kualiti kehidupan seseorang. Apapun keadaan, penyakit itu dianggap sebagai ujian. Apabila ujian menjenguk kita hadapilah dengan tenang. Bersangka baik dan bersyukurlah kerana Allah SWT sentiasa memberi suntikan sebagai tanda ingatan kepada kita agar tidak terus leka kealpaan. Dalam ingatan itu, wajar terus disebatikan dengan penjagaan kesihatan yang baik, menguruskan rawatan diabetes mengikut saranan doktor dan penjagaan pemakanan. Walaupun menghidap diabetes, kita digalakkan untuk meneruskan amalan pemakanan yang sihat bagi mengelakkan komplikasi dan melewatkan ancaman kesihatan lain yang akhirnya boleh memudaratkan kualiti kehidupan.
Tahap penjagaan penyakit bagi mereka yang disahkan menghidap diabetes perlu dipertingkatkan. Ia bukan setakat memerlukan kerjasama daripada masyarakat malah juga sokongan daripada pihak professional kesihatan, kerajaan dan badan bukan kerajaan serta penyelidikan yang berterusan. Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pada masa kini, pendekatan lebih serius dan agresif diperlukan bagi mengatasi cabaran penyakit diabetes. Secara tuntasnya, pada peringkat pencegahan, usaha memupuk kesedaran perlu dipergiatkan hingga ke akar umbi pada setiap lapisan masyarakat agar penyakit diabetes yang menjadi ancaman kesihatan awam tidak terus dipinggirkan dan tidak dipedulikan. Malah, perlu disemai dalam setiap individu untuk menjadikan penyakit diabetes sebagai satu tanda aras dan penunjuk kesihatan sepanjang masa.