Dompet digital atau lebih popular disebut sebagai e-wallet merupakan antara medium baharu yang digunakan pada masa kini berfungsi seperti mana dompet fizikal yang menyimpan wang, kad kredit, kad debit dan juga maklumat akaun bank dalam satu aplikasi. Secara mudahnya, e-wallet ini dibangunkan serta digunakan bagi memudahkan orang ramai supaya tidak perlu membawa dompet secara fizikal ke mana-mana.
Selain daripada kemudahan tersebut, e-wallet juga menawarkan kelebihan lain seperti mengatasi isu keselamatan kerana pengguna tidak perlu membawa wang tunai bagi mengelakkan kejadian ragut, tidak perlu beratur panjang untuk mengeluarkan duit di ATM atau di kaunter bank, kita tidak perlu lagi menyimpan resit ke arah mesra alam dan berbagai-bagai bonus serta diskaun yang ditawarkan oleh aplikasi e-wallet ini.
Bagaimanakah kita hendak menggunakan aplikasi e-wallet ini? Kita boleh muat turun aplikasi e-wallet ini sama ada daripada App Store atau Google Play Store (Android). Beberapa butir dan maklumat yang perlu diberikan kepada aplikasi e-wallet tersebut sebelum ia boleh digunakan. Kita seterusnya perlu memindahkan wang daripada akuan bank kepada aplikasi e-wallet ini untuk digunakan.
Terdapat berbagai-bagai jenis e-wallet yang ada di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Sebagai contoh terdapat e-wallet yang digunakan untuk membayar tambang pengangkutan awam, membeli makanan, mengisi petrol di stesen minyak tanpa perlu pergi ke kaunter dan membayar tempat letak kereta dengan mengimbas QR kod (kod Quick Response) tanpa perlu membayar di mesin serta lain-lain lagi kemudahan.
Namun, di sebalik kelebihan yang dinyatakan terdapat isu utama dalam penggunaan e-wallet iaitu berkaitan dengan data peribadi atau secara khususnya menyimpan kad pengenalan orang lain secara digital. Terdapat aplikasi e-wallet yang mana kita perlu mengimbas kad pengenalan kita pada bahagian hadapan dan belakang serta mengambil gambar diri sendiri atau selfie. Maka, timbul persoalan di sini apakah kita dibolehkan menyimpan kad pengenalan orang lain walaupun secara digital? Bagaimana sekiranya kad pengenalan digital tersebut disalah guna dan siapa yang perlu bertanggungjawab. Bagaimana pula sekiranya kad pengenalan digital ini dicetak, disunting, dijual di pasaran gelap serta berbagai-bagai lagi kemungkinan yang akhirnya menyumbang kepada pertambahan statistik jenayah siber.
Sebenarnya, memegang atau menyimpan kad pengenalan orang lain menjadi satu kesalahan, kecuali bagi pegawai yang diberi kuasa berdasarkan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika disabit kesalahan, mereka boleh di penjara tidak melebihi tiga(3) tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. Oleh sebab itu setiap orang bertanggungjawab terhadap Kad Pengenalan masing-masing.
Pada sesetengah aplikasi e-wallet in, kita perlu bersetuju memberi kebenaran kepada pihak e-wallet untuk menyimpan, memproses dan menggunakan data peribadi kita. Akan tetapi, saya berpandangan kebenaran yang dimaksudkan di sini ialah untuk mengakses butir-butir seperti emel, login ID, kata laluan, maklumat peribadi, jantina, umur, tarikh lahir, alamat, maklumat perniagaan, nombor telefon dan lain-lain maklumat yang dianggap berkaitan. Kebenaran ini tidak diberikan untuk menyimpan Kad Pengenalan digital kita buat selama-lamanya. Timbul persoalan di sini mengapa terdapat banyak e-wallet yang boleh beroperasi dengan selamatnya tanpa mengambil dan menyimpan Kad Pengenalan digital pengguna. Fikirkanlah.
Jika kita lihat daripada perspektif Islam pula, berurusan dengan data peribadi ini ialah satu amanah dan menuntut integriti yang tinggi sebagaimana Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisaa mafhumnya “sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat. (An-Nisaa’, 4:58).
Amanah ini juga dinyatakan dalam ayat yang lain sebagaimana Firman Allah SWT di dalam Surah al-Anfal mafhumnya “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya. (Al-Anfal, 8:27)
Amanah dalam konteks ini ialah berkaitan dengan menjaga butir-butir peribadi orang lain. Jika maklumat tersebut dibocorkan kepada pihak ketiga ia merupakan pecah amanah. Sebagai contoh, pekerja yang diberi kepercayaan untuk menyimpan segala bentuk maklumat sulit dia sepatutnya menjaga maklumat tersebut dengan sebaik mungkin sama ada data peribadi tersebut daripada orang Islam atau bukan Islam.
Akhir sekali, jenayah siber ini bermula daripada ketirisan data dan dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama, di mana sistem teknologi maklumat dan komunikasi dan harta intelek dicerobohi, dieksploitasi, identiti serta maklumat dicuri. Kedua, peranti ICT telah digunakan untuk melakukan jenayah siber untuk menceroboh komputer orang lain dan mencuri duit, identiti serta kata laluan. Ketiga, peranti ICT digunakan untuk membuat hasutan, celaan, mencetuskan pergolakan dan huru-hara termasuk serangan peribadi individu.
Hak peribadi sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dapat dijadikan pedoman kepada semua. Antara Firman Allah SWT mengenai hak peribadi dalam konteks rumah kediaman mafhumnya “wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan)” (An-Nur, 24:27)