Dunia telah dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 sejak Disember 2019. Ia bermula di wilayah Wuhan, China yang dikaitkan dengan pasar makanan laut Huanan. Covid-19 terus menjadi topik perbincangan hangat global ekoran peningkatan kes saban hari yang turut merebak ke beberapa negara lain sehingga meragut nyawa. Daripada data yang dikeluarkan oleh CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness and Response Centre) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization), didapati sehingga 8 Mac 2020 sebanyak 102 negara merekodkan kes Covid-19 dengan jumlah keseluruhan kematian adalah 3, 594 orang.
Ekoran daripada penularan wabak Covid-19 telah mendedahkan aktiviti perdagangan haiwan liar yang tidak terkawal di China. Ia didorong oleh permintaan yang tinggi untuk makanan eksotik dan juga perubatan tradisional. Malah, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan dagangan haiwan liar secara haram di seluruh dunia bernilai RM95 bilion (AS$ 23 billion) setahun dengan pasaran terbesar dipegang oleh China.
Pasar makanan laut Huanan merupakan tempat penjualan haiwan liar yang diseludup ini dikatakan sebagai tempat pembiakan penyakit dan inkubator untuk pelbagai virus yang boleh menjangkiti manusia. Daripada kajian yang dijalankan terhadap haiwan liar ini beserta sampel Covid-19 yang diperoleh menunjukkan kemungkinan Covid-19 terhasil daripada gabungan sejenis virus bawaan kelawar dan juga ular.
Kejadian penularan virus yang dikaitkan dengan perdagangan haiwan liar ini bukan kali pertama pernah berlaku di China. Sebelum ini pasar basah di wilayah tenggara Guangdong, China turut dikaitkan dengan virus yang menjadi penyumbang kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Ia membunuh hampir 800 mangsa di seluruh dunia pada tahun 2003. Pada kali ini, sekali lagi tabiat pelik masyarakat China yang suka memakan makanan eksotik telah mengundang musibah kepada masyarakat seluruh dunia dengan penularan wabak Covid-19 yang lebih teruk, sehingga masih belum dapat dibendung.
Didapati kegiatan perdagangan haiwan liar ini begitu sukar untuk dibanteras berikutan permintaan yang tinggi terhadap makanan eksotik oleh para penggemarnya. Ada yang sanggup membayar harga mahal bagi menikmati hidangan berkenaan. Malah lebih merumitkan keadaan apabila kegiatan perdagangan haiwan liar ini dilindungi di pasaran-pasaran gelap. Hal ini sekaligus menyebabkan para pemburu haram tidak takut untuk terus aktif dalam kegiatan ini bagi mengaut keuntungan mudah memandangkan perdagangan komponen haiwan liar menjanjikan pulangan yang begitu lumayan.
Meskipun pakar pemuliharaan dan pakar kesihatan telah sekian lama mengutuk perdagangan haiwan liar kerana kesannya terhadap biodiversiti dan potensi untuk menyebarkan penyakit di pasaran, namun kegiatan berkenaan masih berleluasa. Lebih menyedihkan apabila kebanyakan haiwan liar yang diburu untuk diperdagangkan terdiri daripada haiwan liar yang diancam kepupusan. Ekoran daripada kegiatan pemburuan, penyeludupan dan perdagangan haiwan liar yang tidak terkawal secara berleluasa di peringkat global telah mengundang ancaman kepada kelangsungan bodiversiti dan ekosistem.
Krisis penularan wabak Covid-19 ini seharusnya menjadi iktibar, bukan sahaja kepada China, tetapi juga kepada masyarakat di seluruh dunia. Antara iktibar yang dapat diambil adalah berkaitan kepentingan menitikberatkan aspek pengambilan makanan yang baik, sihat dan halal dalam kehidupan seharian. Perkara ini penting dititikberatkan supaya tidak mengundang mudarat khususnya kepada diri sendiri dan juga persekitaran. Kepercayaan karut masyarakat China tentang manfaat makanan eksotik terhadap kesihatan sewajarnya dihakis, sementelah tiada bukti saintifik terhadap perkara berkenaan.
Sebaliknya, lebih banyak kajian saintifik yang dilakukan membuktikan bahawa pengambilan makanan berasaskan haiwan liar adalah menjadi punca kepada pelbagai penyakit berbahaya. Antarannya, seperti laporan yang dikeluarkan oleh United States Government Accountability Office pada tahun 2000 mendapati bahawa 75 peratus penyakit manusia datangnya daripada haiwan liar. Misalnya, sindrom pernafasan akut teruk (SARS) yang menyerang pelbagai negara termasuk di rantau Asia pada tahun 2003 juga didapati berpunca daripada haiwan liar.
Malah, di sebalik krisis penularan wabak Covid-19 yang berlaku ini secara jelas memberi pengajaran mengapa Islam mengharamkan sebahagian haiwan untuk dimakan. Sesungguhnya setiap apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, seperti larangan ke atas sesuatu perkara adalah bukan dengan sia-sia, tetapi tersembunyi hikmah disebaliknya. Hal ini sebagaimana yang dinukilkan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168).
Selain itu, iktibar lain dari sudut positif yang dapat dilihat ekoran ancaman wabak Covid-19 adalah apabila kerajaan China telah mengumumkan pengharaman sementara penjualan haiwan liar di pasar, pasar raya, restoran dan semua platform di negara itu sejak Januari lalu. Walaupun, pengharaman itu hanya untuk sementara, namun ia dilihat merupakan suatu permulaan yang baik untuk menghentikan perdagangan haiwan liar, seterusnya memberi sinar baharu kepada masa depan haiwan liar untuk terus dilindungi pada masa hadapan.
Malah, dengan ancaman Covid-19 yang berlaku diharap kesedaran masyarakat dunia terhadap risiko dan kesan negatif amalan pemakanan haiwan liar kepada kesihatan dapat dipertingkatkan. Seterusnya meminimumkan permintaan terhadap spesies haiwan liar. Apabila tiada lagi permintaan terhadap haiwan liar, pastinya kegiatan pemburuan, penyeludupan dan perdagangan haram haiwan liar untuk bekalan makanan eksotik juga dapat dihentikan, sekaligus dapat melindungi haiwan liar daripada ancaman kepupusan.
Sesungguhnya ancaman Covid-19 yang berlaku sewajarnya menjadi peringatan dan pedoman yang berguna untuk kita muhasabah diri terutamanya bagaimana penerimaan kita terhadap ujian ini. Sama-sama kita renungkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah SWT; dan sesiapa yang beriman kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah At-Taghaabun, ayat 11)