Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri setelah menjalani ibadah puasa dengan penuh kesabaran sepanjang bulan Ramadan. Namun demikian, dalam keghairahan menyambut hari raya perlu diingat agar kita lebih berwaspada dalam membuat persiapan dan meraikannya agar dapat mengelakkan berlakunya pembaziran.
Kebiasaanya, pembaziran semasa sambutan Aidilfitri berlaku disebabkan oleh tiadanya perancangan yang rapi dan kurangnya kesedaran dalam memahami konsep sebenar meraikan sambutan perayaan ini. Pembaziran yang ketara dapat dilihat adalah semasa penganjuran majlis rumah terbuka yang diadakan oleh pelbagai pihak sepanjang bulan Syawal.
Majlis rumah terbuka yang dianjurkan seolah-olah menjadi pesta makanan kepada tetamu yang hadir sehingga mereka rambang mata dan mengikut hawa nafsu dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang terlalu banyak, menyebabkan makanan tidak dapat dihabiskan dan menjadi punca makanan dibuang begitu sahaja.
Tabiat buruk seumpama ini telah menyumbang kepada penghasilan sisa makanan yang besar saban tahun. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dianggarkan bahawa rakyat Malaysia membuang lebih 8,000 tan makanan sehari yang jumlahnya dapat menampung keperluan kira-kira tujuh juta orang. Daripada statistik yang dikeluarkan juga mendapati bahawa sisa makanan merupakan penyumbang terbesar sisa pepejal yang dihasilkan di negarai ini yakni mewakili sebanyak 44.5 peratus daripada jumlah keseluruhan sampah yang dibuang ke tapak pelupusan sampah.
Keadaan ini tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan ekosistem. Sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah misalnya, akan melalui proses pereputan yang seterusnya menyumbang kepada penghasilan gas rumah hijau. Dianggarkan, penghasilan gas rumah hijau daripada tapak-tapak pelupusan sampah adalah sebanyak 12 peratus daripada jumlah keseluruhan penghasilan gas rumah hijau di Malaysia. Selain itu, sisa makanan yang mereput di tapak-tapak pelupusan sampah juga menjadi punca utama berlakunya pelepasan gas metana. Gas ini didapati 21 kali ganda berbahaya daripada gas karbon dioksida, dan menjadi gas perosak lapisan ozon yang utama. Gas-gas berbahaya ini menyumbang kepada perubahan iklim dunia dan pemanasan global.
Bukan itu sahaja, malah sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah boleh menyebabkan berlakunya pencemaran ke atas sumber air. Air yang tercemar akan mengalir dari tapak pelupusan sampah, seterusnya masuk ke dalam sumber air bawah tanah. Air hujan yang mengalir di tapak pelupusan sampah pula akan membawa sebahagian besar bahan cemar daripada sisa makanan, seterusnya mengalir ke sistem perparitan dan sungai. Hal demikian ini, akan menyebabkan ekosistem sungai tercemar dan menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai, yang akhirnya akan menjejaskan hidupan akuatik yang menghuni di dalam ekosistem berkenaan.
Sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah juga menjadi penyumbang terhadap pencemaran udara. Selain bau busuk sisa makanan, gas metana yang terhasil daripada proses pereputan sisa makanan di tapak-tapak pelupusan sampah juga boleh menyebabkan berlakunya letupan jika dibiarkan terkumpul dalam permukaan tanah yang tertutup. Letupan atau kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan akan menyebabkan jerebu dan membawa kemerosotan jarak penglihatan akibat daripada asap kebakaran tersebut. Udara yang tercemar ini boleh menjejaskan tahap kesihatan awam.
Penghasilan sisa makanan dapat dielakkan sekiranya semua pihak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi tentang kesan negatif akibat daripada tabiat suka membazir. Malah, usaha mengurangkan pembaziran makanan akan menjadi lebih berkesan sekiranya bermula dengan setiap daripada kita sebagai pengguna. Ambillah makanan secara berpada-pada agar tiada juadah yang dibazirkan, kerana setiap suap yang dibuang mampu mengenyangkan mereka yang terpaksa berlapar disebabkan oleh kemiskinan dan kekurangan makanan.
Bulan Ramadan yang kita lalui selama sebulan bukan sahaja menuntut kita menjalani segala ibadah, malah ia juga sewajarnya mampu mendidik kita untuk menjadi insan yang bersederhana mencakupi pelbagai aspek dalam menjalani kehidupan seharian. Konsep kesederhanaan amat diberi penekanan oleh ajaran Islam sendiri. Oleh yang demikian, umat Islam tidak seharusnya melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembaziran yang sia-sia.
Sementelah, sikap suka membazir amat ditegah oleh Islam. Hal ini sebagaimana yang telah dinukilkan dalam surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: “…makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”. Dalam surah yang lain pula Allah SWT menyifatkan orang yang membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (surah al-Israa’, ayat 27).
Mungkin timbul persoalan kepada kita mengapa Allah SWT sifatkan orang yang membazir sebagai saudara syaitan? Menurut Saidina Abdullah bin Mas’ud, membazir adalah sesuatu yang menjadikan harta digunakan di jalan yang tidak benar dan ia mirip dengan perlakuan syaitan yang mengajak manusia untuk menyimpang dari jalan yang benar sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.
Justeru, menyedari hakikat ini, maka kita hendaklah menjauhkan diri daripada perbuatan membazir semasa sambutan perayaan Aidilfitri sepanjang bulan Syawal nanti. Elakkan diri daripada mensia-siakan nilai harta dan limpahan nikmat rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita dengan tabiat membazir ini agar kita tidak disifatkan sebagai saudara syaitan. Sebaliknya, sambutlah kemeriahan Aidilfitri dengan penuh berhemah tanpa dicemari oleh perbuatan yang tidak sepatutnya, yakni dengan menonjolkan sikap istiqamah dalam menzahirkan rasa kesyukuran hasil tarbiah sepanjang bulan Ramadan.