Prasangka boleh ditafsirkan sebagai penghakiman awal sesuatu perkara, objek, individu, atau kelompok masyarakat sebelum membuat pemeriksaan fakta sebenar. Prasangka seringkali melibatkan orientasi pemikiran yang negatif. Ia sukar untuk diubah meskipun telah disanggah dengan fakta yang sebenar. Hal ini kerana perasaan itu telah berakar umbi dalam diri sehingga menafikan keterangan sebenar.
Disebabkan prasangka mengandungi keburukan yang besar, Allah telah melarang perbuatan ini. Larangan ini secara jelas disebut dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
Dalam ayat di atas, Allah SWT telah menyuruh agar orang yang beriman untuk menjauhi sikap prasangka. Hal ini kerana sebahagian besar prasangka yang muncul dalam minda ialah prasangka yang buruk. Ia berlaku akibat daripada pengaruh dan bisikan syaitan untuk melaga-lagakan manusia. Prasangka buruk yang muncul dalam hati seseorang boleh membawa pelbagai mudarat.
Apabila prasangka muncul dalam diri, ia perlu dihentikan dengan segera. Jika tidak dihentikan, prasangka akan dituruti dengan perbuatan buruk yang lain. Prasangka boleh mempengaruhi perasaan dan cara layanan terhadap pihak yang menjadi objek sangkaan buruk tersebut.
Sekiranya diperhatikan dalam ayat 12, surah al-Hujurat yang dinyatakan sebelum ini, larangan Allah terhadap prasangka disusuli dengan larangan terhadap beberapa perkara lain. Perkara lain yang dimaksudkan itu boleh berlaku sebagai kesan rantaian akibat daripada prasangka buruk yang sudah bermaharajalela dalam diri.
Prasangka buruk yang tidak dihentikan dengan serta merta boleh membawa kepada sikap ingin mengintip dan mencari-cari kelemahan dan keaiban orang lain. Perkara ini berlaku kerana prasangka buruk telah mempengaruhi fikiran dan cara layanan sehingga cenderung untuk memfokuskan pada kelemahan orang lain. Kelemahan dan keaiban itu diperbesarkan, meskipun terdapat banyak nilai positif yang telah ditonjokan oleh individu itu. Tidak cukup dengan itu, kelemahan berkenaan dicanangkan kepada pelbagai pihak lain sehingga mencetuskan gosip, umpatan, adu domba, dan rasa benci.
Rasa benci yang muncul dalam diri boleh menyebabkan seseorang itu menzalimi orang lain dan tidak berlaku adil. Berkaitan perkara ini, peringatan daripada Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8 perlu dijadikan panduan, iaitu:
Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan perkara yang kamu lakukan.
Ringkasnya, prasangka buruk yang tidak dihentikan membawa kepada banyak kesan negatif dalam perhubungan. Prasangka sebegini merosakkan hubungan baik dalam pelbagai peringkat masyarakat. Dalam intitusi keluarga, prasangka misalya boleh menyebabkan ketegangan hubungan antara suami dan isteri. Apabila tidak dibendung, prasangka boleh menjadi sebab kepada penceraian. Dalam institusi kejiranan, prasangka boleh membawa kepada perselisihan dalam kalangan penduduk di sesebuah kawasan perumahan.
Dalam konteks di tempat kerja pula, prasangka boleh merencatkan kerjasama berpasukan, merumitkan proses kerja, dan melambatkan produktiviti. Prasangka buruk turut memberikan kesan negatif dalam konteks komuniti yang lebih besar. Misalnya, apabila melibatkan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, prasangka buruk satu kaum terhadap satu kaum yang lain, atau satu penganut agama kepada penganut agama yang lain boleh membawa kepada ketegangan hubungan serta mencacatkan keharmonian.
Sebaiknya, setiap anggota masyarakat perlu menanam sikap berbaik sangka terhadap orang lain. Sikap berbaik sangka merupakan sikap yang terpuji. Sikap ini mengangkat darjat seseorang yang bersangka baik terutamanya apabila dia sedang berusaha berbaik sangka, dia diuji dengan pelbagai maklumat yang cenderung ke arah sangkaan buruk.
Saranan untuk berusaha untuk bersangka baik bertepatan dengan kata-kata seorang alim, iaitu Hamdun al-Qassar yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Shu‘ab al-Iman. Kata-kata tersebut boleh difahami seperti berikut:
Apabila kita berdepan kemungkinan kesilapan atau keaiban orang, carilah 70 alasan untuk bersangka baik terhadapnya. Sekiranya hati kamu tidak dapat menerimanya, maka ketahuilah bahawa kekerasan hatimu itu yang perlu dipersalahkan.
Berdasarkan kata-kata ini, tiada alasan bagi setiap individu untuk berprasangka buruk terhadap orang lain. Seseorang itu perlu berusaha sehabis dayanya untuk bersangka baik terhadap orang lain. Kegagalan untuk bersangka baik perlu disandarkan pada kelemahan hati sendiri. Sikap bersangka baik perlu dilakukan kepada semua orang tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama.
Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, sikap bersangka baik antara pelbagai kaum dan penganut agama perlu diterapkan sebagai usaha menjayakan kehidupan yang harmoni. Tahun 2020 menunjukkan usia yang sudah tua bagi kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Ia dilihat dengan usia kemerdekaan yang mencecah 63 tahun dan usia penubuhan Malaysia yang mencecah 57 tahun. Sepatutnya, dalam usia yang sudah tua ini, sudah tiada sikap prasangka buruk kerana ia dibimbangi membawa kerosakan kepada negara.