Terdapat satu pepatah Inggeris yang berbunyi “laughter is the best medicine.” Ringkasnya, pepatah ini menyifatkan bahawa terdapat penawar pada ketawa. Hal ini sememanganya tidak dapat dinafikan dari sudut psikologi kerana ketawa dapat mengubat suasana hati yang resah dan sedih menjadi gembira. Oleh sebab itu, ketawa sekali gus menjadi ubat kepada kesakitan emosi yang bersifat dalaman.
Ketawa terjadi secara spontan dan berlaku antaranya disebabkan oleh jenaka dan komedi. Kemampuan berjenaka untuk membuat orang lain ketawa tidak dimiliki oleh semua orang. Kemampuan tersebut melibatkan kreativiti penggiat seni seperti pelukis, penulis, pelakon, dan ahli komedi untuk menyampaikan bahan komedi dalam pelbagai bentuk yang mencetuskan elemen kejutan pada minda audiens sehingga membawa kepada ketawa.
Islam tidak melarang umatnya berjenaka dan tertawa. Nabi SAW sendiri mempunyai sifat tabii seperti manusia lain yang cenderung untuk terhibur lantas tertawa dengan jenaka orang lain. Walau bagaimanapun, aktiviti berjenaka perlu dilakukan dalam ruang lingkup batas tertentu supaya tidak menjadi keterlaluan.
Antara batas berjenaka adalah tidak menjadikan Allah dan agama-Nya sebagai bahan jenaka sehingga ia kelihatan memperolok dan menghina kedua-duanya. Hal ini termasuklah mempermainkan syariat Islam, meremehkan ayat-ayat al-Quran, dan mengejek gaya hidup umat Islam. Perbuatan jenaka sebegini dibenci oleh Allah sehingga ia dirakamkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (menzahirkan) iman. (al-Taubah 9: 65-66)
Larangan berjenaka sehingga menghina agama tidak terhad dalam Islam sahaja, ia juga termasuk agama-agama lain. Hal ini difahami melalui firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (al-An‘am, 6: 108).” Oleh sebab itu, umat Islam yang menceburkan diri dalam seni komedi perlu menjauhkan diri daripada berjenaka dengan merendahkan agama-agama lain.
Selain menghina agama, Islam turut menggariskan agar komedi yang dilakukan tidak sampai kepada menghina atau mengejek orang lain. Hal ini termasuklah menjadikan peribadi, rupa paras, warna kulit, bentuk tubuh, dan bangsa orang lain sebagai bahan jenaka. Larangan mengejek orang lain sehingga menjadi bahan ketawa ditegaskan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat 49: 11)
Malangnya, perbuatan ejek dan hasut maya (troll) yang tujuan berjenaka banyak berlaku khususnya dalam penulisan dan ilustrasi komedi di media sosial. Dikhuatiri ketawa yang dirangsang melalui jenaka sebegini sudah tidak menjadi ubat, tetapi menjadi racun kepada emosi individu yang menjadi bahan jenaka tersebut. Tambahan pula, hal tersebut boleh berubah menjadi perbuatan buli secara lisan.
Akhir sekali, dalam aksi, penulisan dan ilustrasi komedi, penggiat seni perlu mengelak daripada bentuk komedi yang berunsurkan penipuan dan rekaan. Hal ini termasuklah mereka-reka cerita yang tidak wujud tentang orang lain, menyampaikan cerita yang dusta dan menyampaikan fakta yang tidak benar tentang sesuatu isu yang berlaku. Berdusta meskipun untuk berjenaka dilarang oleh Nabi SAW menerusi hadis yang bermaksud:
Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya. (Riwayat Abu Daud, Hadis 4990).
Kesimpulannya, kesederhanaan perlulah diutamakan dalam setiap perkara termasuk berjenaka dan ketawa. Meskipun ketawa itu menggembirakan, ia perlulah diraikan dalam lingkungan yang tidak melalaikan. Tambahan pula, Nabi SAW juga telah memberikan peringatan bahawa, “Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati (Riwayat Ibn Majah, hadis 4193).”