Jarang sekali kita dapat mengelak daripada membeli. Setiap hari, ada sahaja yang perlu dibeli. Malah ketika ini, kita hidup dalam dunia penggunaan sehingga sudah sampai ke tahap obsesi, iaitu obsesi membeli dan mengguna sehingga melampaui tahap keperluan hidup.
Setiap kali membeli, dapatkah kita melihat kesan-kesan daripada pembelian tersebut selain daripada kepuasan memiliki barangan itu? Pasti kita jarang berfikir sebegini kerana tumpuan ketika itu adalah kegembiraan atau kejayaan mendapatkan sesuatu barangan daripada satu pembelian.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian dalam setiap pembelian adalah kandungan bahan berbahaya dalam setiap barangan. Sedarkah kita kandungan bahan berbahaya yang terkandung di dalam barangan yang dibeli? Misalnya, barangan mainan kanak-kanak, yang kelihatan cantik dan murah pula harganya. Tahukah kita, barangan mainan kanak-kanak yang tidak diiktiraf boleh mengandungi plumbum dan logam berat. Kedua-dua bahan ini boleh menyebabkan keracunan kepada kanak-kanak. Manakala, bagi wanita yang ingin sentiasa kelihatan cantik, alat solek serta bahan kecantikan juga boleh mengandungi bahan berbahaya seperti hidrokuinon. Hidrokuinon berlebihan boleh menyebabkan masalah kulit, kegatalan dan penggunaan jangka panjang boleh menyebabkan masalah mata dan kanser.
Selain bahan berbahaya yang terkandung dalam barangan yang dibeli, kita juga harus sedar bahawa barangan yang dibeli akan menghasilkan sisa tertentu. Misalnya, apabila membeli makanan, plastik pembungkus makanan itu akan dibuang begitu sahaja. Begitu juga ketika membeli alatan elektik. Terdapat banyak sisa seperti kotak, plastik dan papan polisterin yang akan dibuang kerana tidak boleh digunakan. Ini semua antara penyebab peningkatan jumlah sampah. Keadaan menjadi lebih teruk kerana amalan kitar semula masih rendah di negara ini. Jumlah sampah yang banyak serta pengurusan yang tidak baik akan menyebabkan masalah alam sekitar lain misalnya penyekatan aliran air, bau busuk, merosakkan keindahan persekitaran dan sebagainya.
Dalam pada itu, bagi setiap barangan yang dikeluarkan, tentunya tenaga kerja tertentu diperlukan untuk menghasilkan barangan tersebut. Bayangkan usaha yang perlu dilakukan oleh seorang mahupun beberapa orang pekerja untuk menghasilkan barangan yang ingin kita beli. Walaupun tidak berlaku pada semua tempat, namun ada sesetengah tempat tidak menyediakan suasana pekerjaan yang baik. Di tambah pula, di sesetengah negara miskin, pekerja kanak-kanak juga digunakan dalam proses pengeluaran.
Akhir sekali, berkaitan dengan sumber yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu barangan. Hampir semua barangan yang kita perlukan terhasil daripada sumber semula jadi. Misalnya, kain daripada pokok kapas, kertas daripada pokok, beg kulit daripada kulit binatang, plastik daripada petroleum dan sebagainya. Oleh itu, bukan sedikit sumber alam yang perlu dikorbankan untuk menghasilkan barangan keperluan manusia. Bagi kertas misalnya, untuk menghasilkan 20 rim kertas bersaiz A4, satu batang pokok perlu ditumbangkan. Apa yang menyedihkan ialah kertas yang sudah digunakan itu akan berakhir sebagai sisa di tong sampah sahaja.
Sesetengah sumber yang digunakan untuk menghasilkan barangan itu pula adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui, misalnya petroleum. Manakala, sesetengah sumber yang lain, seperti pokok, apabila ditebang akan membawa masalah lain seperti kepupusan biodiversiti, gangguan habitat flora dan fauna, merosakkan keindahan estetika alam serta peningkatan suhu bumi.
Berdasarkan kefahaman tentang keperluan serta kepayahan untuk menghasilkan sesuatu barangan itu maka wajarlah kita “berkira-kira” dalam pembelian dan penggunaan. Jika begitu mudah kita membeli dan mengguna, tidak bermakna begitu mudah juga untuk menghasilkan sesuatu barangan tersebut. Dalam hal ini, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Pertamanya, mengelakkan pembaziran. Ini kerana, tidak baik kita membazirkan sesuatu yang begitu sukar untuk dihasilkan. Lagi pula, membazir juga dikaitkan dengan amalan syaitan (Surah al-Israa, 17:27). Membazir dalam pembelian dan penggunaan samalah juga membazirkan segala usaha dan sumber yang digunakan untuk menghasilkan barangan tersebut.
Selain mengelak pembaziran, sebagai pengguna, kita mestilah berkemampuan untuk membuat pilihan yang terbaik daripada barangan yang kita perlukan. Misalnya, memilih barangan yang telah disahkan selamat. Di samping itu, kita boleh juga memilih barangan yang mesra alam. Di sini wujud cabaran tertentu. Ini kerana barangan seperti yang dinyatakan itu harganya lebih mahal daripada biasa. Oleh itu, kita berharap lebih banyak barangan selamat serta mesra alam yang mampu dimiliki dapat dihasilkan agar lebih ramai pengguna dapat membeli dan menggunakannya.
Akhir sekali berkaitan dengan menghargai sesuatu barangan. Oleh sebab kita sudah mengetahui bahawa sesuatu barangan itu terhasil daripada usaha yang panjang, maka wajarlah barang tersebut dihargai. Gunakanlah barangan tersebut semaksima mungkin. Elakkan membeli barang baharu hanya kerana fesyen terbaharu telah ada di pasaran. Hal ini selalu terjadi kepada barangan pakaian dan alatan elektronik. Lihat sahaja di sekeliling kita, begitu ramai orang yang berebut-rebut menukar telefon bimbit setiap kali adanya keluaran terbaharu atau membeli pakaian supaya sentiasa “up-to-date,” sedangkan apa yang sedia ada masih baik dan boleh digunakan. Ingatlah, lebih lama kita menggunakan barangan itu, lebih lambat barang tersebut menjadi sisa di dalam tong sampah.
Sebagai kesimpulan, setiap barangan yang kita gunakan itu amat mudah dibeli tetapi sebenarnya tidak mudah dihasilkan. Cabaran bagi kita adalah untuk membuat pilihan antara pembelian atas keperluan atau pembelian kerana kehendak nafsu. Jika kita seorang yang “kemaruk” (atau obses) membeli, maka selalulah ingat akan kepayahan untuk menghasilkan barangan itu. Diharapkan dengan ingatan tersebut, kita akan lebih berhemah dalam pembelian dan penggunaan.