Negara-negara yang berada di tangga teratas jangkitan dan kematian akibat COVID-19 bukan tidak maju atau tidak mampu dari sudut infrastruktur kesihatan, tetapi mereka berhadapan dengan krisis kepimpinan, politik, perkauman dan komitmen rakyat. Kita tidak mungkin mampu bebas daripada wabak ini tanpa faktor tersebut.
Unsur-unsur yang sama diperlukan dalam tempoh pemulihan ditambah dengan sinergi kewangan, kedaulatan undang-undang dan peningkatan teknologi. Walaupun negara diunjurkan bakal mengalami pertumbuhan positif oleh Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, agensi penarafan dan penganalisis bebas, Malaysia memerlukan masa untuk pulih, tambahan pula dalam suasana ekonomi serantau dan antarabangsa yang teruk terjejas.
Beberapa industri yang menghentikan operasi dan memberhentikan pekerja memerlukan modal dan masa untuk bangun semula. Pembangunan sektor ekonomi seperti perusahaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhadapan dengan cabaran norma baharu perniagaan. Ekosistem ekonomi baharu perlukan ketelitian, inovasi dan agihan penguasaan. Dominasi tidak boleh berlaku hanya oleh puak atau bangsa tertentu sahaja.
Selain pembangunan perniagaan, bidang pertanian perlu dimasukkan dalam radar pelan pembangunan. Kita tidak mahu dikejutkan lagi dengan keengganan membekal oleh sesetengah negara pengeksport bahan makanan dan sumber asas ke Malaysia. Malaysia dianugerahkan dengan sumber, cuaca dan persekitaran yang baik untuk pertanian dan penternakan. Apa yang diperlukan ialah sedikit tumpuan usaha dan teknologi dalam bidang ini.
Teknologi fertigasi (drip irrigation) yang digunakan secara meluas di ladang-ladang di Malaysia sebenarnya teknologi yang diperkenal di negara Jerman pada 1860 dan kemudiannya dimurnikan oleh negara Israel bagi tujuan pengairan sekitar tahun 1959. Israel yang pada asalnya memiliki muka bumi padang pasir kini bertukar menjadi ladang malah mereka menjadi pengeksport buah-buahan, sayur-sayuran, produk dan teknologi pertanian.
Teknologi menjadi pemboleh ubah pembangunan pertanian sama seperti pentingnya teknologi dalam komunikasi atau perniagaan norma baharu. Tanpa peningkatan sumber asas dalam ekosistem ekonomi, negara akan terus bergantung kepada sumber luar negara untuk melancarkan kitaran ekonomi. Sudah tiba masanya tumpuan penyelidikan dan pembangunan teknologi digiatkan oleh badan pembangunan tanah di peringkat negeri atau persekutuan.
Begitu juga pembangunan dalam bidang teknologi itu sendiri. Kita tidak mahu hanya menjadi pengguna tetapi negara yang menginovasikan teknologi. Selain insentif dan pakej pembiayaan, suasana dan budaya berinovasi sangat membantu kejayaan ini. Singapura menduduki tangga teratas mengatasi Malaysia yang hanya berada di tangga yang ke-21 (Indeks Inovasi Antarabangsa bagi kategori campuran negara besar-kecil). Singapura juga terletak di tangga teratas dalam The Top 5 Global Innovation Indeks (GII). Hasil pemerhatian, beberapa perkara perlu diberi tumpuan seperti struktur pendidikan pengajian tinggi dan lepasan universiti, persekitaran, budaya dan infrastruktur inovasi.
Selain itu, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Belanjawan 2021 (yang bakal dibentangkan November 2020) memerlukan pemantauan input dan mekanisme pengukuhan kerjasama sepadu kerajaan-rakyat.
Inisiatif penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai penjana sosio-ekonomi perlu dimurnikan dengan kolaborasi inovatif mesra digital bagi merangsang syarikat baharu atau start-up tanpa mengabaikan agensi awam. Untuk menyokong pendekatan digital, agensi perlu bersinergi dengan syarikat swasta seperti ketersediaan mengguna pakai cloud data services yang boleh automasi selenggara, sijil keselamatan dalam talian (security certificate) yang menitikberatkan kerahsiaan data, tindak balas pintar melalui robo-services, smartbot dan AiChat responses.
Langkah pertama bermula dari sekarang. Estonia yang menjadi kerajaan digital pertama di dunia memulakan langkah sejak pertengahan 1990-an dan kini menduduki tangga pertama dalam UN’s E-Government Development Indeks (EDGI).
Pembiayaan projek dan perancangan pembangunan negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada suntikan fiskal, pakej rangsangan atau jangkaan pendapatan hasil cukai negara tetapi memerlukan mekanisme crowdfunding yang boleh menyokong dan meningkatkan kerjasama sama ada dalam sektor pembiayaan, perniagaan atau kebajikan. Apa yang dimaksudkan di sini ialah keperluan kepada satu produk pelaburan yang mengutip dana dengan pakej pulangan atau perkongsian tertentu.
Semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), penggunaan teknologi atau industri bercirikan fintech menerima sambutan yang menggalakkan kerana memudahkan pindahan dana yang berlaku hanya di hujung jari. Platform fintech mampu mengumpulkan dana lebih mudah, cepat dan berkesan pada kadar kos yang murah. Dengan adanya platform sebegini, mereka yang mempunyai lebihan dana boleh melabur manakala mereka yang memerlukan dana, boleh mendapatkan dana dengan cepat, mudah dan selamat.
Namun aspek keselamatan dan risiko jenayah siber menjadi antara cabaran pemulihan negara. Walaupun kadar jenayah yang rendah disokong dengan penguatkuasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mampu menarik minat pelabur namun, usaha menggugat keharmonian tidak pernah sepi. Malaysia dilaporkan oleh media asing mengamalkan diskriminasi kaum semasa tempoh pencegahan. Laporan ini bukan sahaja jauh daripada kebenaran, malah mampu menjadi pencetus ketegangan.
Begitu juga sudah terdapat tanda-tanda berlakunya percaturan politik pihak-pihak tertentu seusai pandemik. Ancaman-ancaman seumpama ini berkemungkinan menjejaskan kestabilan politik dan menyukarkan proses pemulihan. Penggunaan dan penguatkuasaan undang-undang pencegahan juga perlu diperketatkan bagi menghalang suasana dan kemungkinan tidak sihat terus berlaku. Tindakan tegas termasuk penarikan balik pas lawatan atau tapisan imigresen yang ketat boleh dikenakan.
Kesimpulannya, menutup ruang ancaman dan mengekalkan faktor kejayaan kawalan penularan adalah satu kemestian jika ingin terus mencipta kejayaan dalam fasa pemulihan. Keseimbangan pelan pembangunan merentasi sektor dan industri dalam kerangka holistik dan harmoni kerajaan-perniagaan-rakyat mampu mengurangkan risiko kegagalan.